Khamis, 1 September 2011

Utusan Melayu, Utusan Malaysia, Utusan UMNO...

Baru-baru ini Berita Harian cuba mengapi-apikan isu agama yang kononnya masjid-masjid di Pulau Pinang disekat dan dinafikan hak untuk menggunakan pembesar suara pada waktu subuh. Berita tersebut disertakan juga wawancara dengan Naib Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi. Mengikut Ahmad Zahid, "Perkara itu berlaku kerana kerajaan yang memerintah negeri berkenaan adalah parti yang langsung tidak sensitif terhadap isu-isu agama Islam".

Tambahnya, "Larangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) itu adalah arahan daripada pentadbiran kerajaan negeri". Dengan perkiraan politik ala-UMNO, tambahnya sekali lagi, "Larangan tersebut akan menjadi ikutan kepada negeri lain yang diperintah oleh Pakatan Rakyat".

Selepas berita tersebut disiarkan, seperti biasalah, isu ini berjaya dipolitikkan dan mengajak pihak-pihak berkepentingan untuk mengulas dan mengkritik dilema Islam di bawah pemerintahan DAP. Malangnya, rupa-rupanya "larangan terhadap masjid atau surau di negeri itu menggunakan pembesar suara untuk bacaan Al-Quran sebelum subuh adalah berlandaskan hukum syarak dengan nas-nas yang sahih". Lebih-lebih lagi, larangan tersebut sudah wujud di negeri Perlis yang di bawah pemerintahan UMNO.

Maka dengan jelas sekali, kegagalan Ahmad Zahid dalam memahami isu sebenar. Tanpa menyiasat dengan lebih mendalam dia melaungkan bahawa, "sebagai sebuah negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi, amalan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara harus dihormati" Kenyataan ini akhirnya bukan sahaja tidak releven bahkan mendedahkan hipokritnya kepada semua rakyat.

Cara yang sama digunakan MCA, Gerakan...

Beberapa hari selepas isu tersebut, timbul pula satu isu yang berkaitan dengan perayaan hari bulan ketujuh iaitu Bulan Hantu Lapar. Akhbar berbahasa Cina memaparkan kesukaran ahli jawatankuasa perayaan di beberapa kawasan di Pulau Pinang mendapat permit polis. Ini diikuti pula dengan orang-orang politik dari parti MCA, Gerakan dan DAP memulakan permainan politik. Cara dan modelnya adalah serupa.

Sebenarnya pencemaran bunyi yang berkaitan dengan adat dan agama amat ketara di Malaysia. Saya berpendapat bahawa semua pencemaran-pencemaran bunyi yang dapat dielakkan patut dikawal. Ini termasuk bunyi persembahan semasa perayaan Bulan Hantu Lapar, bunyi bacaan sutra yang terlalu kuat sehingga mengganggu ketenteraman jiran semasa upacara pengebumian kaum Cina, musik tarian singa dan naga semasa perayaan Tahun Baru Cina, permainan mercun api dan sebagainya.

Kita semua ingin hidup dengan aman dan damai. Bunyi yang terlalu kuat yang disebarkan terlalu awal atau larut malam akan mendera telinga kita. Disebabkan itu, perasaan kita mungkin terusik dan jikalau tidak dapat tidur atau kualiti tidur kita tidak baik, prestasi pelajaran atau kerja mungkin terjejas. Bayi-bayi yang kecil lebih terdedah lagi dengan ancaman bunyi kuat yang akan menakut-nakutkan mereka.

Berita Harian bukannya media yang selalu sengaja membangkit-bangkitkan isu sensitif yang berkaitan dengan agama dan kaum. Utusan Malaysia sebenarnya lebih "pandai" dalam hal ini. Harap selepas isu tersebut Berita Harian tidak terikut-ikut dengan kewartawanan Utusan Malaysia.

Dari Utusan Melayu ke Utusan Malaysia

Saya memulakan tabiat membaca bahan bacaan Bahasa Melayu/ Malaysia semasa masih belajar di sekolah menengah. Saya melanggan Dewan Siswa semasa tingkatan dua dan mengikuti semua isu Dewan Masyarakat di perpustakaan semasa tingkatan empat untuk menyediakan diri dengan mata pelajaran Bahasa Malaysia di SPM. Sebagai generasi Malaysia yang mengikuti pendidikan di bawah dasar kebangsaan, saya dan kebanyakan kawan saya dapat membaca surat khabar Bahasa Malaysia dengan tiada sebarang kesukaran.

Semasa melanjutkan pelajaran di universiti tempatan, saya sering membaca Utusan Malaysia. Secara kabur dalam ingatan pada masa itu masih menggunakan nama "Utusan Melayu". Utusan Malaysia pada suatu ketika adalah media yang masih dihormati ramai. Kualiti Utusan Melayu atau Utusan Malaysia mulai menyusut pada akhir tahun 1990-an. Utusan Melayu yang pada suatu waktu mempunyai pendirian tersendiri yang menyuarakan ketidakpuasan masyarakat Melayu sudah menjadi media UMNO.

Bermula dari saat gerakan reformasi, ianya hanya menjadi saluran penyampaian maklumat untuk parti pemerintah. Dan ianya dijalankan dengan berat sebelah tanpa mempertimbangkan rasional pembaca. Pada zaman teknologi ini, pembaca tidak menerima maklumat yang disalurkan oleh media arus perdana dengan membuta tuli. Pembaca-pembaca yang berpendidikan mampu menilai mesej yang ingin disampaikan dengan rujukan kepada media baru di Internet.

Entah bila nama Utusan Melayu sudah bertukar kepada Utusan Malaysia. Walaupun demikian, Utusan Malaysia ini bukan sahaja kurang Malaysia malah lebih Melayu daripada Utusan Melayu yang wujud pada suatu ketika dahulu. Penukaran nama tidak diikuti dengan perubahan pemikiran yang lebih Malaysia.

Kualiti Utusan Malaysia merosot dengan lebih serius lagi selepas Pakatan Rakyat berjaya memerintah di beberapa buah negeri selepas pilihan raya pada tahun 2008. Pada hari ini, Utusan Malaysia sepatutnya ditukar nama menjadi Utusan UMNO. Segala berita yang disiarkan pada masa kini amat memihak kepada UMNO tanpa pertimbangan kerasionalannya.

Berita sensasi yang disukai oleh Utusan Malaysia ialah isu-isu perkauman dan agama yang dianggap kegagalan yang disebabkan oleh persaingan UMNO dengan Pakatan Rakyat. Di sebaliknya, kegagalan yang disebabkan oleh UMNO dibiarkan atau hanya sengaja menutup sebelah mata. Kegagalan Utusan Malaysia dapat dibuktikan dengan kekecewaan yang ditunjukkan oleh (bekas) wartawannya sendiri Hata Wahari (gambar kanan, kanan).

Mimpi hari kemerdekaan saya...

Struktur media Malaysia yang dibelah bahagi mengikut pembaca kaum tertentu menjadi masalah. Akhbar Cina menyuarakan permintaan masyarakat Cina, Tamil Nesan untuk masyarakat India, manakala Berita Harian menyuarakan keperluan masyarakat Melayu (Utusan Malaysia sudah merosot menjadi wadah untuk UMNO). Selama ini, kita sering menggunakan nama agama dan kaum untuk menyekat sesama sendiri.

Memang tinggalan sejarah yang menyebabkan struktur media sedemikian wujud. Tetapi banyak perubahan telah berubah sejak merdeka dan selepas Mei 13. Sesuatu isu bukan hanya dapat difahami daripada perspektif satu-satu kaum sahaja. Misalannya isu berkaitan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ianya bukan hanya memanfaatkan elit-elit UMNO tetapi juga taukeh-taukeh Cina dan peniaga India yang rapat dengan UMNO. Isu DEB lebih kompleks daripada yang pernah kita fikirkan. Ia bukan hanya melibatkan kepentingan satu kaum.

Ramai daripada kita sudah bosan dan muak dengan Malaysia yang selalu diputarbelitkan oleh isu perkauman dalam media arus perdana. Kita memerlukan media yang menyuarakan kepentingan semua dan bukannya hanya memihak kepada satu kaum.

Harap pada suatu hari nanti media yang menampung suara semua rakyat dapat wujud. Perspektif berita adalah berdasarkan pertimbangan keadilan dan kesaksaman hak seseorang individu dan komuniti yang dinilai tanpa mengira kaum. Bagi isu nasional, kepentingan negara lebih diambil kira daripada hanya mementingkan hak sesuatu kaum.

Ini mimpi saya buat Hari Kemerdekaan- Merdeka Review

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.