Oleh Aishah
Merdeka berasal dari bahasa Sanskrit, Maharddhika iaitu “kaya, makmur dan berkuasa”.
Di Kepulauan Melayu, istilah ini berarti seorang hamba yang dibebaskan. Istilah ini ketara semasa gerakan anti-kolonial dan pro-kemerdekaan di jajahan Indonesia, Malaya, dan Singapura.
Ia menjadi laungan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan rakyat dari pentadbiran kolonial Belanda dan British. Maharlika iaitu istilah Filipina juga bermaksud “yang kaya, makmur, dinaikkan”, mempunyai asal-usul sama dengan Sanskrit sebagai Melayu Merdeka.
Kemerdekaan di wilayah ini ditandakan dengan bendera Union Jack diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur tepat 12 malam 31 Ogos 1957. Dan diganti dengan satu bendera kebangsaan yang mana 40 tahun kemudian dinamakan Jalur Gemilang. Ia ciptaan Allahyarham Mohamed Hamzah, sepuluh tahun lebih awal, pada 1947.
Panji-panji Sang Saka Merah Putih di bawah semangat Melayu Raya hanya kekal sebagai latar bendera UMNO dan bendera kebangsaan Singapura, dan tentunya panji-panji Republik Indonesia merdeka.
Di Stadium Merdeka 54 tahun lalu, Tunku Abdul Rahman gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester. ‘God Save The Queen’ berkumandang. Turut hadir Raja-raja Melayu.
Tunku kemudiannya membacakan Pengisytiharan Kemerdekaan, antaranya menyebut “Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka”.
Selang beberapa minit kemudian, kedengaran Merdeka! Merdeka! Merdeka! bersama-sama rakyat lainnya. Bangsa 31 Ogos 1957 menyaksikan segalanya di depan mata, hujan renyai turun bermesra dengan air mata.
Stadium Merdeka pada detik keramat itu dibanjiri mereka yang datang dari setiap pelusuk negeri. Menjadi saksi, satu peristiwa tersemat dalam hati sampai mati. Merdeka telah kita miliki. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Itu lima puluh empat tahun lepas. Pilihan raya umum pertama pada 1955 menaikkan Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC, menjatuhkan parti-parti lain, antaranya parti di bawah pimpinan Dato’ Onn bin Jaafar, yang keluar UMNO kerana hasratnya menjadikan parti itu berbilang bangsa telah ditolak.
Hasrat Dato’ Onn bin Jaafar melampaui zamannya, beliau mampu melihat perlunya parti tidak berasaskan kaum. Tetapi itu tidak sempat diaktualisasikan.
Kerajaan kemudiannya dibentuk dengan Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri pertama.
Lalu apakah hadiah untuk kemerdekaan kali ini, pada pilihan raya akan datang? Menyambung wasiat yang telah lama di simpan di dalam laci, dalam robok usang atau membiarkan niat murni dijamah anai-anai.
Ia mengambil masa agak lama,untuk kita menyaksikan keadaan yang hampir serupa, tetapi di luar stadium Merdeka, dengan pekikan menuntut agar rakyat dibebaskan daripada autokrasi.
Pemerintah masih pekak, tuli dan bisu dengan suara rakyat. Maka hadir Bersih 2.0. Tenggelam timbul dalam lautan manusia yang hadir tanggal 9 Julai 2011.
Syurga?
Apakah aku memiliki syurga?
Ataukah aku hanya diizinkan memasuki syurga orang lain?
Apakah kaum perempuan memiliki syurga?
Apakah arti syurga bagiku?
Jawapannya sangat sederhana
Tak ada keraguan yang aku katakan
Syurga adalah tempat di mana aku dan setiap orang
Bebas dari seluruh penghambaan duniawi
~Fatima Mernisi & Riffat Hassan
Ya, bebas dari seluruh penghambaan duniawi itu ialah syurga setiap orang. Sebaliknya, neraka.
Bagaimana dengan keadaan di Malaysia ini? Penentunya di tangan kita dan semua. Sic transit gloria mundi! Yang tetap hanya perubahan. Merdeka! – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.