MOGADISHU – Kelab Putera 1Malaysia sedang berusaha untuk membawa balik 11 kanak-kanak Somalia yang kehilangan ibubapa akibat kemarau dan kebuluran untuk dijadikan anak angkat di Rumah Permata kelolaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).
Untuk tujuan itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata perbincangan sedang diadakan dengan Menteri Kesihatan dan Menteri Pendaftaran Somalia.
“Kerajaan di sini tiada masalah; yang masalah ialah proses dokumentasi supaya apabila mereka besar kelak, mereka tidak berhadapan dengan kesukaran di Malaysia,” katanya dipetik Bernama Online.
Katanya, sekiranya proses dokumentasi berkenaan tidak dapat diselesaikan kerana cuti musim perayaan yang panjang, lawatan kedua ke Somalia akan dilaksanakan bagi membawa mereka pulang.
Abdul Azeez ditemui selepas menyampaikan bantuan pakaian dan makanan kepada 300 keluarga yang menjadi pelarian akibat bencana kemarau, di perkarangan Hospital Darul-Al Shifa di sini.
Selain itu, 18 doktor sukarelawan yang mengikuti misi berkenaan turut membuat kerja-kerja kemasyarakatan dengan membuat pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa kebuluran.
Antara penyakit yang dikesan menjangkiti kanak-kanak berkenaan termasuk pelbagai jenis penyakit kulit.
Abdul Azeez mengetuai misi bantuan yang dianggotai 55 sukarelawan dan anggota media serta 26 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia.
Misi berkenaan menyediakan 250 tan bekalan bahan makanan dan ubat-ubatan bagi keperluan 45,000 keluarga di Somalia yang menderita akibat bencana kemarau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.