Jumaat, 1 Julai 2011

Teresa Kok: Bersih 2.0: Dakwaan Wan Ahmad bukti SPR tidak telus

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — DAP Selangor menegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya melaksanakan segera lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sekiranya agensi itu benar-benar telus dan adil.

Bagaimanapun menurut Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok (gambar), dakwaan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar bahawa Himpunan Bersih 2.0 diperalatkan oleh Pakatan Rakyat bagi membolehkan perikatan itu menawan Putrajaya membuktikan sebaliknya.

“Wan Ahmad telah menghina Himpunan Bersih 2.0 apabila mengatakan ia adalah matlamat Pakatan Rakyat dan ia jelas bahawa SPR sendiri bukan satu badan bebas dan tidak boleh diharap untuk mendukung hak rakyat bagi melaksanakan pilihan raya bersih dan adil.

“Wan Ahmad meminta agar Bersih menjauhkan diri dengan Pakatan Rakyat kerana Bersih adalah satu pertubuhan yang mewakili rakyat dan ia perlu menggugurkan penyertaan semua parti politik bagi mengelak tuduhan selepas Himpunan Bersih kali pertama pada 2007. Saya mahu tegaskan Bersih kini terdiri daripada 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tiada parti politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Wan Ahmad mendakwa Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan telah diperalatkan oleh pemimpin politik dalam Himpunan Bersih 2.0 kerana ingin meneruskan perhimpunan pada 9 Julai.

“Saya rasa Datuk Ambiga dah terikat benar, dia dah tak boleh tarik diri lagi, dia dah diperalatkan.

“Bersih sekarang bukan Bersih yang saya kenal dulu. Bersih sekarang sudah berubah, dah jadi begitu kusut, saya rasa dah tak bersih lagi,” katanya.

Wan Ahmad berkata, Bersih perlu fokus dalam perjuangan mereka sama ada mahu membantu menambah baik sistem demokrasi di negara ini atau menjadi alat kepada pihak lain menjelang pilihan raya umum ke-13.

Ujarnya, dalam suasana sekarang, pihak pembangkang sentiasa mencari peluang untuk mempengaruhi rakyat termasuk mengambil contoh kebangkitan rakyat di Mesir, Yemen dan Syria menumbangkan kerajaan sedia ada walaupun perbandingan itu jelas tidak betul.

“Bagi SPR, apa yang berlaku di negara ini termasuk perhimpunan Bersih 2, semuanya adalah agenda politik.

“Pada tahun 2007, Bersih (yang pertama) telah diadakan. Seramai 50,000 orang keluar ke jalan raya menyokong perhimpunan itu. Mereka putar belitkan isu. Hasilnya mereka menang 82 kerusi dan berjaya takluk lima negeri pada pilihan raya yang diadakan pada tahun berikutnya,” katanya lagi.

Wan Ahmad berkata, hakikatnya perhimpunan haram yang dirancang pada 9 Julai ini menjadi landasan kepada parti-parti pembangkang untuk menunjukkan usaha mereka menawan Putrajaya.

Tegas Teresa, dakwaan bahawa Bersih membawa matlamat Pakatan Rakyat adalah tidak benar sama sekali kerana NGO itu secara konsisten turut mengajak Barisan Nasional (BN) untuk sama-sama menyertai perhimpunan aman itu.

“Tambahan pula, Bersih secara konsisten mahu bekerjasama dengan semua parti politik di Malaysia termasuk Barisan Nasional untuk memberikan sokongan terhadap lapan tuntutan reformasi pilihan raya tapi ia ditolak pemimpin Barisan Nasional.

“Jika SPR dan kerajaan tidak melaksanakan lapan tuntutan ini, kerajaan yang dipilih ini akan melakukan kesalahan yang lebih besar dalam pemerintahan yang mana kerajaan yang mengamalkan rasuah dan mementingkan kuasa menang melalui pilihan raya yang kotor dengan SPR dilihat berat sebelah sehingga membolehkan pilihan raya diadakan dengan kotor dan tidak telus,” katanya.

Jelas beliau, lapan tuntutan yang dikemukakan Bersih adalah relevan dan ia harus dilaksanakan SPR.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

Kata Teresa, SPR sepatutnya mengambil kira pandangan yang dikemukakan Bersih itu dan bukan bertindak menolaknya.

“Maka Wan Ahmad seharusnya bersyukur bahawa Bersih mempunyai keberanian dan integriti untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya yang SPR tidak mampu lakukan dan memberi jaminan akan mendapat sokongan penuh pada 9 Julai.

“Sebagai timbalan pengerusi SPR, Wan Ahmad seharusnya mengiktiraf dan menerima lapan tuntutan Bersih untuk melakukan reformasi dalam sistem pilihan raya yang akan menjadikan SPR benar-benar bebas, lebih berkuasa dan menjadi agensi yang dihormati,” katanya.

Selain Bersih, Perkasa dan Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan balas membantah penganjuran Himpunan Bersih 2.0.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.