Jumaat, 1 Julai 2011

SPR sedia pelawa wakil antarabangsa pantau PRU-13

THE MALAYSIAN INSIDER

BANGKOK — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji kemungkinan untuk memanggil pemerhati antarabangsa pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata usaha itu bertujuan membolehkan mereka melihat dan menilai perjalanan pilihan raya daripada segi bebas, telus dan adil.

Bagaimanapun, SPR akan mengkaji kesesuaian perkara tersebut serta faktor kewangan sebelum membuat keputusan walaupun kehadiran pemerhati antarabangsa merupakan satu amalan yang baik, katanya dipetik Bernama Online.

Beliau berada di sini sebagai pemerhati antarabangsa atas jemputan Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand untuk memantau perjalanan pilihan raya yang akan diadakan Ahad ini. Malaysia adalah antara 13 negara yang dijemput.

Abdul Aziz berkata SPR tidak pernah menjemput pemerhati antarabangsa pada pilihan raya umum sebelum ini.

Katanya SPR Thailand menjemput pemerhati antarabangsa bagi meningkatkan lagi keyakinan pengundi mereka dan masyarakat antarabangsa bahawa pilihan raya mereka adalah adil dan telus.

Beliau berkata jemputan itu adalah satu penghormatan kepada SPR kerana SPR dipercayai sebagai badan yang banyak mengendalikan pilihan raya dan mereka yakin pilihan raya Malaysia telus dan bebas.

“Kalau mereka tak iktiraf pilihan raya kita, tak kan mereka panggil kita datang sebagai pemerhati antarabangsa,” katanya.

Ditanya secara umum kayu pengukur pemerhati antarabangsa sama ada sesuatu pilihan raya itu telus dan bebas, beliau berkata asasnya adalah pengundi bebas untuk mengundi dengan tidak dipengaruhi oleh perkara-perkara yang tidak bebas untuk mengundi atau terpaksa mengundi sesuatu pihak sahaja.

Calon-calon pula, katanya, bebas untuk berkempen dengan tiada sekatan dan pengundi pula dapat mendengar kempen dengan bebas.

Aspek kayu pengukur lain termasuk tiada penipuan dan rasuah, katanya.

Mengenai permintaan lapan perkara oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Abdul Aziz berkata ruang untuk penambahbaikan memang sentiasa ada kerana SPR tidak menganggapnya sebagai badan yang sempurna.

Beliau menghuraikan satu persatu usaha yang dibuat oleh SPR terhadap lapan permintaan tersebut:

* Pembersihan daftar pemilih — usaha itu dilakukan setiap hari tetapi SPR tidak boleh membersihkannya sendiri kerana pengundi yang perlu memaklumkan status mereka dalam daftar tersebut. Katanya tidak ada bukti dakwaan wujudnya pengundi mengundi lebih daripada sekali dan tiada satu pun kes seumpama itu yang dibawa ke mahkamah.

* Tempoh berkempen sekurang-kurangnya 21 hari — perkara itu sedang diteliti kerana ada juga parti yang meminta supaya tempoh berkempen dipendekkan dan pandangan aspek keselamatan juga terpaksa diambil kira.

* Penggunaan dakwat celup jari pengundi — SPR sedang meneliti untuk menggunakan kaedah biometrik yang lebih sainstifik.

* Kemudahan akses yang bebas dan adil kepada media — Abdul Aziz berkata beliau tidak boleh mengarahkan media untuk memberi liputan kepada sesuatu pihak. Bagaimanapun, beliau boleh berbincang dengan media untuk memberi ruang kepada semua pihak.

* Cadang banteras rasuah — SPR memang bersetuju tetapi ia tidak mempunyai kemahiran dalam bidang itu dan terpaksa meminta bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

* Cadang perkukuh institusi polis — SPR tidak mempunyai kuasa terhadap perkara tersebut.

* Pembaharuan sistem undi pos — SPR sedang meneliti perkara tersebut termasuk cadangan untuk mengadakan undian awal seperti amalan di Thailand dengan pengundi bebas untuk mengundi pada hari yang ditetapkan lebih awal atau pada hari pengundian tetapi perkara tersebut juga mempunyai masalah tersendiri.

* Kebebasan berkempen — Parti politik sememangnya bebas berkempen tetapi terpaksa memohon permit polis atas sebab-sebab keselamatan kerana polis, antara lain, meneliti kesesuaian tempat, isu-isu yang menyentuh perpaduan kaum dan agama serta aspek lalu lintas.

Oleh itu, Abdul Aziz berkata ada perkara yang berada dalam bidang kuasa SPR dan ada juga perkara yang bukan dalam bidang kuasa SPR berhubung lapan perkara tersebut.

Beliau berkata pada mulanya Bersih mengemukakan 17 perkara tetapi setelah berbincang, tinggal lapan perkara sahaja sejak akhir tahun lepas kerana yang lainnya sudah diselesaikan oleh SPR.

“Kalau Bersih meneruskan perbincangan dengan SPR, mungkin tinggal tiga perkara yang belum selesai.

“Demonstrasi tidak akan menyelesaikan masalah. Tidak bermakna buat demostrasi, SPR akan bersetuju,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.