Pengamal media stesen radio dan televisyen diminta untuk menonjolkan adegan "kerosakan yang dilakukan peserta demonstrasi" dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011, dan mengelakkan adegan "keganasan polis ketika menyuraikan peserta demonstrasi".
Adegan "kerosakan" yang dimaksudkan termasuklah pembakaran kereta, kedai, kesesakan lalu lintas dan sebagainya; sementara adegan "keganasan polis" termasuklah adegan polis atau FRU memukul peserta ketika menyuraikan perhimpunan.
Demikianlah panduan yang diberikan oleh seorang pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada pengamal media elektronik, dalam Seminar Kawal Selia Kandungan 2011 yang diadakan di auditorium SKMM, hari ini. Sebanyak 22 kumpulan syarikat media elektronik dijemput untuk menyertai seminar ini.
Seminar ini berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang, mengandungi tujuh sesi taklimat, "bertujuan untuk mewujudkan platform perbincangan rasmi antara SKMM dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan badan-badan penyiar swasta mengenai pematuhan kepada syarat-syarat lesen serta lain-lain peruntukan yang relevan agar mutu dan kualiti kandungan penyiaran dapat diterjemahkan oleh badan-badan penyiar dalam idea yang segar, kreatif serta berkesan."
Seorang pengamal media yang menyertai seminar tersebut memberitahu MerdekaReview, bahawa panduan di atas diberikan oleh pegawai SKMM setelah salah seorang pengamal media membangkitkan soalan ini. Malah, pegawai SKMM yang memberi panduan itu meminta agar kata-katanya tidak didedahkan kepada umum (off the record).
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) bakal mengadakan satu perhimpunan di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011, menuntut agar sistem pilihan raya direformasikan. Kerajaan dan polis telah memberi amaran sekeras-kerasnya, malah mengambil tindakan untuk menangkap dan menahan pemimpin yang terlibat, sebagai langkah untuk memastikan agar perhimpunan ini digagalkan.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.