Jumaat, 1 Julai 2011

Gotong-royong BERSIH-kan dewan, selepas forum dibatalkan

Chan Kim Ming, Chen Shaua Fui


Forum berjudul "Rakyat hanya jadi bos apabila pilihan raya bersih", yang diadakan menjelang perhimpunan BERSIH 2.0, berakhir dengan kegiatan "gotong-royong membersihkan dewan", setelah menerima tekanan daripada pihak polis, semalam.

Forum ini pada asalnya mengambil tempat di Sekolah Menengah Pay Fong Melaka, namun beralih ke Dewan Perhimpunan Cina Melaka, setelah polis memberi tekanan kepada pihak sekolah.

Bagaimanapun, suasana tegang terus menyelubungi kawasan sekitar Sekolah Menengah Pay Fong Melaka, semalam, yang satu kilometer jaraknya dari Dewan Perhimpunan Cina Melaka. Polis membuat sekatan di tiga jalan masuk yang utama ke Sekolah Pay Fong, dan empat atau lima kereta polis berhenti di depan sekolah tersebut. Polis membuat rondaan di sekitar kawasan itu, dan sebuah trak polis juga berada di situ.

Pada jam kira-kira 8 malam, Ketua Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Melaka, Kua Sin Kheng bersama beberapa pimpinan berjaya menembusi sekatan polis dengan bendera, penyapu, pencuci dan sebagainya, dan tiba di Dewan Perhimpunan Cina Melaka untuk memaklumkan hadirin bahawa forum tersebut dibatalkan. Malah, beliau memohon maaf kepada hadirin.

Seterusnya, Kua Sin Kheng mengumumkan bahawa mereka akan memulakan kegiatan "gotong-royong bersihkan dewan". Panelis forum, iaitu Wong Chin Huat yang juga ahli jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 turut menyertai "gotong-royong" tersebut.

Kua Sin Kheng berkata, Sekolah Menengah Pay Fong Melaka berdepan dengan tekanan setelah bersetuju untuk meminjam tempatnya untuk diadakan forum tersebut. Bagaimanapun, Kua Sin Kheng berkata mereka memahami keadaan yang dihadapi pihak sekolah, maka mengalih forum itu ke Dewan Perhimpunan Cina Melaka. Disebabkan kesuntukan masa, maka mereka tidak sempat memaklumkan perkembangan terbaru kepada hadirin. Kira-kira 100 orang hadir, dan mereka bersama menyanyikan lagu "Negaraku".

Sampaikan mesej "BERSIH"

Walaupun forum terpaksa dibatalkan pada akhirnya, namun mereka menggantikannya dengan kegiatan "gotong-royong", untuk menyampaikan mesej "kekotoran perlu dibersihkan".

Forum ini dijadualkan untuk berlangsung pada 7.30 petang, 29 Jun 2011, dianjurkan bersama oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Melaka, Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG dan beberapa pertubuhan tempatan.

Timbalan Ketua Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Melaka, SK Chin ketika dihubungi MerdekaReview berkata, polis sebelum ini telah memberi katanya bahawa forum ini tidak akan berjaya diadakan. Pihaknya telah menjangkakan bahawa polis akan melakukan sesuatu untuk menghalang forum ini, cuma tidak pasti sejauh manakah tahapnya.

Bagaimanapun, penganjur telah bersedia untuk berdepan dengan apa-apa keadaan yang berlaku, setelah memutuskan untuk mengadakan forum ini, menurutnya. SK Chin sebagai penganjur juga meluahkan kemarahannya, kerana ia bukan kesalahan untuk mengadakan forum, dan apa yang berlaku semalam adalah pencabulan terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun.

Beliau menambah, masyarakat seharusnya mengecam sikap polis yang keras semalam.

*Chen Shaua Fui dan Chan Kim Ming ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 29 Jun 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.