Jumaat, 29 Julai 2011

PAS sokong larang wanita Islam jadi GRO

Khairil Abdul Rahim


KUANTAN: Walaupun dianggap terlambat, PAS tetap mengalu-alukan dan menyokong penuh tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang melarang wanita Islam bekerja sebagai GRO mulai tahun depan.

Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuantan, Syed Anis Syed Husin, berkata apa yang diharapkan ialah peraturan tersebut dikuatkuasakan secara menyeluruh dan tidak bermusim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob semalam yang akan menguatkuasakan larangan wanita Islam menjadi pelayan pelanggan atau GRO di semua pusat hiburan di bandar ini pada tahun depan.

“Peraturan yang baik menurut Islam tetap kita sokong, seperti diwartakan kerajaan Kedah baru-baru ini yang menghalang orang Islam masuk ke pusat-pusat hiburan.

“Sebenarnya bukan setakat pusat hiburan, Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) juga telah menggazetkan peraturan agama larangan orang Islam memasuki kedai judi, tetapi penguatkuasaanya sampai sekarang terus didiamkan.

“Sebab itu kita sokong tindakan terbaru MPK tetapi tidak mahu pernguatkuasaan bermusim, biar konsisten,” katanya kepada Harakahdaily.

MPK dalam kenyataan rasminya semalam bersetuju dengan cadangan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebelum ini agar umat Islam dilarang bekerja di pusat hiburan yang menghidangkan minuman keras di bandar ini.

Tambah kenyataan tersebut, hasil kajian yang dilakukan mendapati 85 peratus pekerja pusat hiburan terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam dan mereka terdedah untuk meminum minuman yang memabukkan itu.

Selain itu, ianya juga secara tidak langsung memberi kesan negatif apabila GRO beragama Islam, sekalipun tidak meminum tapi mengangkat dan menghidangkan minuman keras kepada pelanggan.

Menurut kenyataan yang memetik Datuk Zulkifli itu, berdasarkan beberapa siri pemeriksaan yang dijalankan pihak JAIP, kastam, polis, imigresen dan MPK mendapati ramai pekerja pusat hiburan terlibat meminum minuman keras.

Zulkifli berkata selain itu GRO juga sering dikaitkan dengan masalah sosial dan perbuatan tidak bermoral.

Dalam pada itu, Syed Anis berkata, satu masa dulu Kuantan pernah terkenal dengan panggilan ‘Hatyai Pantai Timur’, yang menggambarkan betapa bandar ini menjadi pusat maksiat.

Justeru inilah masanya untuk membendung atau membuang imej yang tidak baik seperti itu.

“Inilah menunjukkan pentingnya ada kuasa untuk mencegah maksiat. Kita tidak mahu kuasa agama di bawah kerajaan negeri hanya setakat tengok anak bulan untuk tentukan puasa dan raya sahaja, barulah Islam duduk di tempat tertinggi.

“Kita tidak nafikan mungkin ada tekanan dalam penguatkuasan. Jangan berpilih, contoh tangkap orang tak berpuasa di restoran murah saja sedangkan di hotel-hotel besar terlepas.

“Ambil perhatian juga pondan-pondan yang berkeliaran di Jalan Wong Ah Jang,” ujarnya.

Mengenai kemungkinan GRO yang diterpaksa berhenti kerja, Syed Anis berkata kerajaan juga kena fikir apa persediaan untuk masa depan dan kehidupan mereka termasuk memberi pendedahan dan latihan kerja.

Tambahnya, Islam bukan saja mencegah tetapi juga menyediakan jalan penyelesaian jalan keluar betapa prihatinnya Islam.

“Kalau betul-betul peraturan dilaksanakan menurut Islam, PAS mesti sokong penuh. Kita doakan semoga yang dipilih menjadi penguatkuasa itu diberi kekuatan oleh Allah,” katanya.

Pada satu ketika dulu penguatkuasa di Pahang pernah dihebohkan apabila menangkap seorang model sambilan, Kartika Sari, kerana meminum arak di tempat umum.

Beliau kemudiannya dijatuhkan hukuman sebat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.