Naib presiden PKR, Tian Chua mendakwa polis bertindak dengan niat untuk menyebabkan bahaya ke atas sekumpulan peserta demonstrasi BERSIH 2.0 yang berhimpun di KL Sentral pada 9 Julai lalu.
Tian (kanan) yang turut berada di situ pada waktu kejadian itu berkata, dakwaan bahawa pasukan itu menggunakan kekerasan yang minimum ketika menyuraikan kumpulan tersebut, juga tidak benar.
Oleh itu, beliau meminta polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam inkuiri awam yang akan diadakan berhubung tindakan pasukan itu dalam menangani peserta demonstrasi itu.
"Saya percaya fakta akan dikemukakan dari semua pihak berkepentingan dalam satu siasatan awam. Biarlah rakyat menghakimi berasaskan fakta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menjelaskan rakaman video yang didedahkan oleh polis itu, Tian mendakwa anggota pasukan itu telah menembak gas pemedih mata ke arah kumpulan berkenaan tanpa henti walaupun dalam keadaan peserta demonstrasi sedia terkepung.
"Sesiapa saja dalam keadaan itu akan melihat bahaya jika berada di kawasan tertutup itu sekiranya polis melepaskan gas pemedih mata.
"Rakaman video itu hanya menunjukkan beberapa orang yang meluru keluar ke kawasan lapang, dan gas pemedih mata kemudiannya ditembak tepat ke arah orang ramai," katanya.
Beliau mendakwa tindakan polis ini berniat untuk menyebabkan bahaya teruk ke atas kumpulan yang aman tanpa sebarang amaran.
"Ianya tindakan tanpa provokasi dan tidak wajar. Ianya adalah kekejaman polis," kata ahli parlimen Batu itu lagi.
Tambahnya, video polis yang disunting itu juga menunjukkan bahawa kumpulan berkenaan berarak keluar dari KL Sentral dan disekat oleh sekumpulan polis.
Bagaimanapun, katanya, video yang disiarkan oleh stesyen TV itu tidak memberi gambaran sebenar terhadap apa yang berlaku di kawasan berkenaan dalam kejadian itu.
"Video berkenaan dikatakan menunjukkan saya mengetuai peserta demonstrasi ke hadapan. PRDM menekankan bahawa ia merupakan bukti provokasi," kata Tian lagi.
Tian yang pernah didakwa kerana tuduhan menggigit polis itu juga berkata, tindakannya itu digambarkan sebagai berniat untuk "menyerang" atau menyebabkan bahaya fizikal ke atas anggota polis.
"Kerajaan perlu menerima tanggungjawab bahawa kekerasan melampau telah digunakan ke atas demonstrasi BERSIH. Pemburuan ke atas saya atau peserta lain tidak boleh melepaskan (kerajaan) daripada keganasan yang dilakukan pada 9 Julai," katanya lagi.
Turut berada di kawasan tersebut ialah pengerusi BERSIH Datuk Ambiga Sreevenasan serta pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat – Datuk Seri Wan Azizah Ismail, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga Lim Kit Siang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.