Ismail Hashim |
SHAH ALAM: Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor maju selangkah lagi ke hadapan dengan pelancaran Tabung Amanah Pembangunan Islam (Tapis) versi baru, malam tadi. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah berucap dan menyempurnakan acara pelancaran yang berlangsung di Dewan Utama Masjid Negeri dekat sini. Bertemakan 'Amal Jariah Ummah, Dari Rakyat Untuk Islam', Tapis menjadi wadah amal jariah umat Islam khasnya rakyat Selangor namun terbuka kepada sesiapa sahaja di seluruh dunia. Tapis menjadi sebuah institusi berwibawa, telus, sistematik dan menyeluruh dan juga wadah membangun modal insan di Negeri Selangor. Menghimbau sejarah, Tapis telah ditubuhkan di bawah Kumpulan Wang Disatukan seksyen 9 (3) Akta Acara Kewangan 1957 dengan tajuk Akuan Tapis berkuatkuasa pada 1 April 1991. Tabung ini dilancarkan oleh Menteri Besar ketika itu pada 22 Mei 1991 di Dewan Jubli Perak Shah Alam. Tapis membawa nilai tersendiri dengan pelancaran versi baru, khususnya dalam membina kualiti umat Islam di Negeri Selangor. Skopnya amat luas dengan memberi keutamaan kepada program dan aktiviti kelangsungan penguasaan ilmu dan peningkatan syariat Islam. Tapis juga menjadi faktor penguat kepada institusi zakat, wakaf serta agenda dan perancangan Jabatan Agama Islam sendiri. Selain itu, Tapis adalah unsur pelengkap yang ditunggu-tunggu hasil ketaatan dan kehambaan seluruh umat Islam di Negeri Selangor. Tapis akan membuka ruang lebih luas ke arah membudayakan keikhlasan menderma selain mengisi tabung-tabung derma di masjid dan surau. Meneliti tema bantuan yang digariskan, ia adalah banyak dan umum, antaranya seperti penguasaan Al-Quran, penguasaan ilmu teras seperti akidah, syariah dan akhlak, ilmu alat, ilmu aini dan kifai, pemimpin dan kepimpinan Islam, mendaulatkan syiar Islam, dakwah dan tarbiah. Ia juga termasuk Islam sebagai cara hidup, pengamalan hukum hakam Islam, budaya menuntut ilmu sepanjang hayat dan lain-lain tema yang difikirkan sesuai oleh jawatankuasa akaun. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Exco Agama negeri dengan enam AJKnya seperti Timbalan Pengerusi (Pengarah Jais), Ahli (SUK, Mufti dan CEO Lembaga Zakat Selangor), timbalan pengarah (Jais) dan setiausaha (Jais). Bentuk sumbangan antaranya untuk Tapis pula seperti kewangan kelengkapan perpustakaan surau, sekolah dan pejabat, pembelian buku Islam, pembaikan dan pengimarahan masjid, surau serta banyak lagi. Selepas masjid pelancaran, diadakan juga forum perdana khas bertajuk MengIsrak-Mikrajkan Rakyat, panelis oleh Ustaz Haslin Bahrim dan Dr Azhar Yaakob, Dr Hasan sebagai moderator. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.