Ahad, 26 Jun 2011

8 tuntutan Bersih 2.0 sangat munasabah

Abd Shukur Harun


Lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang diumumkan oleh pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan baru-baru ini, adalah sebuah tuntutan yang sangat adil, munasabah dan wajar. Ia datang dari rakyat yang cintakan demokrasi.

Pada pendapat saya, tidak patut diputarbelitkan tuntutan Bersih 2.0 itu kerana tuntutan tersebut semata-mata untuk kepentingan demokrasi dan selaras dengan tuntutan Islam sendiri yang memfokuskan kepada keadilan dan kesaksamaan.

Hanya mereka yang berkepentingan untuk mempertahankan kedudukan yang ada, anti demokrasi dan perkauman yang menentang hasrat Bersih 2.0 ini.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 itu, seperti yang diumumkan oleh Ambiga, ialah supaya pihak SPR membersihkan senarai undi, mereformasi undi pos, menggunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempuh kempen minima 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.

Ini sebuah tuntutan yang sangat bersih, murni dan menjadi harapan kepada rakyat berbilang kaum yang cintakan demokrasi.

Sepanjang sejarah pilihan raya di negara ini banyak ditandai dengan hal-hal yang menggambarkan pilihan raya itu – kecil dan umum - tidak bersih. Isu undi pos, media tradisional yang hampir seratus peratus dimonopoli oleh kempen Barisan Nasional, senarai pengundi yang sangat meragukan, pengundi hantu dan pelbagai lagi menyebabkan pilihan raya tidak berjalan secara demokratik.

Oleh itu tuntutan Bersih 2.0 ini wajar disokong oleh rakyat pelbagai kaum, justru ia untuk pelbagai kepentingan semua rakyat. Ia tidak ada unsur perkauman mengenai Perhimpunan 9 Julai ini. Kerana ia tulin dari semua pihak yang mahukan demokrasi berjalan seperti yang
dikehendaki.

Pilihan raya Umum di Singapura baru ini sudah menunjukkan kemampuan berjalan ke arah dasar demokrasi. Liputan media, baik media elektronik mahupun cetak kelihatan seimbang.

Pembangkang diberi ruang yang luas, pemimpin parti pembangkang dan calonnya ditemu ramah, orang awam di tengah bandaraya itu ditemu ramah, diminta pendapat mereka dengan bebas, tidak ada sebarang tapisan dan tekanan.

Pilihan raya MPR dan Pemilu Presiden Indoneia, di mana saya mengikutinya dua kali di Jakarta dan di bandar lain, sangat demokratik. Debat antara parti politik yang bertanding sangat menyegarkan, media menyiarkan dengan adil semua iklan dan berita serta rencana mengenai calon dan parti politik yang bertanding.

Membandingkan semuanya ini, seorang teman saya berkata: “Malaysia ketinggalan 30 tahun dalam hal ini dan ini sangat menyedihkan.”

Di Malaysia, setiap kali pilihan raya, rakyat menyaksikan bagaimana media cetak dan TV dimonopoli sepenuhnya oleh kempen Barisan Nasional. Menggambarkan seolah-olah dalam pilihan raya itu tidak ada pembangkang yang menentang BN kerana semua kempen, ucapan, poster, spanduk yang disiarkan hanya dipihak BN.

Ini bukan rahsia lagi dan ini berterusan, menggambarkan betapa naifnya perjalanan demokrasi di negara ini. Kepincangan inilah yang perlu dibetulkan dan inilah antara tuntutan Bersih 2.0.

Sementara itu, kepada saya, kenyataan Ambiga Sreenevasan itu sangat rasional, munasabah dan adil.

"Perhimpunan Bersih 2.0 ini bukan untuk saya, ia adalah untuk rakyat. Ia untuk kepentingan rakyat Malaysia," katanya.

Ambiga yang juga seorang peguam menegaskan demikian sewaktu berucap merasmikan pelancaran perhimpunan Bersih 2.0 di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur kelmarin.

Ambiga menegaskan bahawa masyarakat sivil akan mengetuai perhimpunan tersebut dan bukannya diketuai oleh parti politik seperti mana yang dilaporkan.

Beliau memberi jaminan kepada polis bahawa perhimpunan mereka adalah aman sepertimana yang telah ditunjukkan dalam Perhimpunan Bersih pertama pada November 2007.

Sementara itu, sangat menarik sikap Pemuda PAS yang mempertahankan Perhimpunan Bersih 2.0 dan akan menentang sebarang usaha untuk mengheretnya kepada isu perkauman.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda, Ustaz Riduan Mohd Nor mengingatkan bahawa Pemuda PAS bersedia menjadi perisai kepada rakyat pelbagai kaum yang hadir dalam Perhimpinan Bersih 2.0, sekaligus menolak sebarang tindakan provokasi oleh pihak tertentu untuk menimbulkan suasana tegang pada hari tersebut.

Ini memancarkan sikap matang Pemuda PAS, bahawa ia bersedia melindungi rakyat pelbagai kaum yang mempunyai hasrat yang sama untuk melihat terlaksananya demokrasi di Malaysia ini.

Sementara menanti tibanya 9 Julai ini, rakyat Malaysia wajar memikirkan bahawa adalah penting untuk menyokong Himpunan Bersih 2.0 nanti. Ia bukan dianjurkan oleh sesuatu parti politik tetapi dianjurkan oleh NGO dan golongan rakyat prihatin yang mahu melihat terlaksananya pilihan raya bersih.

Adapun penyertaan yang dijangka ramai dari PAS dan parti politik pembangkang yang lain itu hanya kerana jumlah pendukung PAS begitu ramai dan mereka ini juga menjadi sebahagian dari tulang belakang gerakan memperjuangkan demokrasi di negara ini.

Bagi rakyat yang waras, rasional dan prihatin terhadap kepentingan demokrasi, Perhimpunan Bersih 2.0 sangat perlu disokong.

Kepada SPR, bertenanglah dan terimalah hakikat tuntutan Bersih 2.0 ini dengan fikiran dan sikap terbuka demi untuk pemulihan demokrasi di negara ini. Ini juga, seperti kata Ambiga, untuk kebaikan negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.