Ahad, 1 Mei 2011

Usaha Perbaiki Jalan Rosak Di Selangor

SELANGOR KINI

KLANG – Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1 Juta untuk projek membaik pulih jalan raya semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya yang merangkumi jalan luar bandar dan pinggir bandar, kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu Tian Khiew.

Menurut Ronnie, pihaknya sudah memberi arahan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Penyelaras DUN untuk menyerahkan senarai pembaikan jalan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing hujung bulan ini.

Katanya, senarai tersebut adalah perkara penting yang meliputi pembaikan jalan, penurapan jalan, pembersihan longkang dan sebagainya di kawasan DUN mereka.

“Sepanjang pengetahuan saya, buat masa sekarang semua ADUN di Klang menyerahkan senarai tersebut termasuk saya sendiri di DUN Pandamaran.

“Difahamkan PBT juga telah mula membuat perbincangan dengan kontraktor untuk proses pembaikan ini, saya juga telah meminta PBT menyiapkannya dalam masa tiga bulan bermula akhir April ini,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan sedia ada akan ditambah oleh Kerajaan Negeri menjelang pembentangan Belanjawan negeri akan datang.
“Saya rasa peruntukan sedia ada sememangnya tidak mencukupi tetapi kita mencuba terlebih dahulu peruntukan RM1 Juta ini disiapkan dalam masa tiga bulan.

“Mereka (PBT) perlu menyiapkan dalam masa tiga bulan, jangan melengah-lengahkan projek ini,” katanya.

Menurutnya, PBT bukan hanya boleh membina jalan raya di bawah penjagaan mereka tetapi juga boleh bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan menggunakan peruntukan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.