Aziz Muda |
KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan tindakan pihak Kerajaan BN yang sengaja meninggalkan beberapa nama nelayan dari menerima sumbangan RM200 sebulan seperti yang telah diputuskan dalam persidangan Parlimen tahun lalu. Perbuatan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas memperlihatkan sikap diskriminasi pihak Kerajaan BN kepada rakyat negara ini, di samping ketidakprihatinan pihak Kerajaan BN terhadap nasib para nelayan yang memerlukan pembelaan. Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) ketika menyuarakan kekesalan itu berkata, keputusan untuk memberikan sumbangan RM200 sebulan kepada para nelayan di negara ini telah dibuat dalam persidangan Parlimen tahun lalu dan ia turut dipersetujui Ahli-Ahli Parlimen PAS dan Pakatan Rakyat. Menurut beliau, keputusan tersebut telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK Ke-10) untuk tujuan menolong nelayan dan ia dipersetujui untuk diberikan kepada kesemua nelayan di seluruh negara, dengan syarat mereka mestilah warganegara Malaysia dan yang berdaftar dengan persatuan nelayan di kawasan masing-masing. Katanya, namun setelah dilaksanakan, ternyata tidak semua nelayan yang diberikan sumbangan itu, malah antaranya ada yang sudah tidak menerimanya sejak berbulan-bulan lalu. "Contohnya di kawasan Parlimen Parit Buntar yang saya wakili sendiri. Terdapat lebih 1,000 orang nelayan di kawasan ini, tetapi 30 orang daripadanya tidak pun mendapat sumbangan itu. Sebahagiannya ada yang tidak menerimanya sejak 6 bulan lalu, ada yang 7 bulan dan ada yang sehingga 8 bulan. "Jumlah itu masih belum dapat dipastikan dengan nelayan-nelayan lain di seluruh negara yang tidak menerimanya kerana saya sendiri tidak mempunyai data mengenainya untuk seluruh negara, tetapi jika dihitung di seluruh negara tentunya berlipat kali ganda lagi jumlahnya," katanya ketika dihubungi, hari ini. Untuk membantu nelayan yang teraniaya khususnya di kawasan Parit Buntar, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan nelayan-nelayan di kawasan itu semalam di Tanjung Piandang, meliputi nelayan-nelayan dari Bagan Pian, Bagan Selatan, Kuala Kurau dan Bagan Utara. "Dalam perjumpaan itu, kami telah mengambil nama-nama mereka yang terlibat. Selepas itu, kami akan hantar nama-nama mereka melalui faks ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Kemajuan Ikan Negara (LKIN) dan persatuan nelayan daerah untuk diambil tindakan seterusnya. "Nama-nama mereka itu telah saya fakskan hari ini. Sesudah itu, pihak kami akan turut memantau perkembangan seterusnya sehingga nelayan-nelayan yang tidak mendapat sumbangan itu akan mendapat haknya seperti yang telah diputuskan itu," tegasnya. Setiap nelayan di negara ini, katanya, perlu tahu dengan sumbangan tersebut yang telah mula diberikan kepada para nelayan sejak tahun lalu, setelah ia diputuskan dan dipersetujui Ahli-Ahli Parlimen PAS atau Pakatan Rakyat dalam persidangan Parlimen. Kepada para nelayan yang tidak mendapatnya, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menyeru mereka tampil ke hadapan untuk menuntut hak mereka sendiri. "Mereka boleh membuat aduan kepada pihak PAS untuk membolehkan mereka dibantu. Jadi kepada para nelayan, saya menyeru mereka supaya jangan takut untuk membuat aduan jika tidak mendapat sumbangan itu kerana itu semua adalah hak mereka sendiri dan mereka sememangnya berhak mendapatnya," tegasnya. Namun dalam hubungan ini, beliau turut kesal kerana terdapat juga nelayan yang takut untuk membuat aduan terutama kepada pihak PAS, sehingga menyebabkan mereka terus menjadi mangsa penganiayaan pihak Kerajaan BN. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.