Sabtu, 30 April 2011

Hak PKR terbit Suara Keadilan

Untuk menyatakan bahawa kami tidak bekerjasama dengan KDN adalah tidak benar - Dr Syed Husin Ali



PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali hari ini menegaskan bahawa menerbit akhbar Suara Keadilan, yang menjadi lidah rasmi adalah hak parti, yang tidak boleh dinafikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Untuk menyatakan bahawa kami tidak bekerjasama adalah tidak benar, kerana pihak kami telah beberapa kali membuat inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan pihak KDN untuk mengadakan perbincangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Syed Husin berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop yang disiar oleh media pada semalam, yang menyatakan kegagalan PKR membuat penjelasan mengenai satu berita menggemparkan adalah punca permit Suara Keadilan tidak disambung.

“Untuk memudahkan rujukan, secara spesifiknya berita tersebut adalah mengenai ‘Felda Bankrap’. Untuk makluman, semua surat tunjuk sebab seperti yang dinyatakan oleh Abu Seman telah dijawab oleh pihak kami,” katanya.

Beliau berkata, untuk penjelasan juga, isu ‘Felda Bankrap’ telah dibawa ke mahkamah dan dengan itu ia adalah urusan mahkamah dan tidak boleh dijadikan alasan oleh KDN untuk tidak mahu menyambung permit Suara Keadilan.

“Dalam tempoh akhir tahun lepas dan awal tahun ini saja, pihak kami telah mengusahakan sekurang-kurangnya lima kali untuk membuat temu janji dengan KDN untuk berbincang mengenai status permit akhbar Suara Keadilan, tetapi tiada respon,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.