Nazri Abdullah |
PUTRAJAYA: Dewan Pemuda PAS menyerahkan memorandum bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kesalahan Umno BN menggunakan premis awam dalam kempen PRK Kerdau yang sedang berlangsung. Memorandum mengandungi bukti bergambar itu diserahkan oleh Naib Ketuanya, Sabki Yusof kepada wakil SPR di pejabat suruhanjaya itu di sini hari ini (gambar). Turut serta semasa penyerahan itu, ketua penerangannya, Suhaizan Kaiat. Antara tempat yang didakwa disalahguna oleh Umno BN adalah, padang awam Teluk Sentang, Masjid dan Sekolah Rendah Batu Sawar, Dewan Orang Ramai Felda Jengka 23, Pusat Jalur Lebar Komuniti Jengka 25 dan Balai Raya Kuala Tekal. Kesemua premis-premis itu digunakan sebagai bilik gerakan BN. Pada sidang medianya, Sabki berkata tindakan Umno BN itu bersalahan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan SPR digesa segera bertindak. "Saya yakin mereka guna tempat-tempat ini tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan. "Saya mewakili jentera kempen PAS dan Dewan Pemuda PAS, minta SPR ambil tindakan dan halang mereka kempen guna tempat awam," katanya. Tindakan itu juga katanya telah menimbulkan rasa tidak senang hati dan telah mencemarkan proses demokrasi. Memorandum sama juga, kata Sabki akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran wujud elemen salah guna kuasa. Sementara itu, Suhaizan pada sidang media sama pula menggesa SPR tidak berlengah lagi untuk bertindak kerana bukti telah mereka berikan. Malah katanya, aduan sama telah dibuat kepada SPR negeri, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil. "Kes seperti ini bukan kali pertama berlaku. Jadi saya mintak SPR ambil tindakan terus, bukan berlengah-lengah lagi," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.