M Faqih |
SEORANG rakan seperti yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kerusi di Kerdau dan Merlimau. Alasannya kerana calon BN di Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad seorang ustaz. Ilmu agamannya dianggap setaraf dengan pemimpin PAS. Manakala calon BN di Merlimau, Roslan Ahmad mempunyai keluarga besar dan dikenali ramai. Tanpa mengambil kira banyak isu yang membelit di kaki Umno dan Perdana Menteri, rakan tadi mempertahankan hujahnya. Katanya, apa isu sekali pun dibangkit PAS dan Pakatan, orang Melayu Felda akan buat seperti pekak badak sahaja. Mereka tidak kisah terhadap laporan Ketua Audit Negara mengenai hutang kerajaan BN Pahang sebanyak RM2.17 bilion. Mereka persyaitan Pahang mengalami defisit belanjawan 13 tahun berturut-turut. Apa yang mereka mahukan harga getah kekal lebih RM8 sekilogram sekarang. Harga sawit juga melonjak tinggi. Hari ini ada pekebun yang mendapat RM10,000 sebulan. ”Buat apa susah-susah undi parti lain lagi,” ujar rakan tadi. Peneroka Felda di Kerdau nampaknya lebih terpesona dengan pengumuman Datuk Seri Najib Razak melulus peruntukan RM10 juta kepada warga Felda di Kerdau. Mereka tidak ambil kisah kalau Pahang bankrap atau tidak. Pengundi Melayu di Felda seperti lupa pekan itu tidak berubah biar pun sejak merdeka berada di bawah ketuanan Umno. Masjid di Kerdau masih ada yang berdinding kayu. Kalau hendak dibandingkan dengan pekan Felda di Chiku, Gua Musang ia agak jauh berbeza. Begitu juga dengan pekan Paloh di bawah Kesedar. Kerdau pekan lama Kerdau masih lagi seperti pekan alakoboi. Tengok stesen kereta api dahulu lebih cantik berbanding sekarang. Jadi mengapa pengundi Melayu di Kerdau mahu mempertahankan status quo. Lebih baik mereka pilih wakil rakyat yang berani bersuara membawa masalah mereka ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun). Hassanuddin Salim boleh lakukan sekiranya pengundi sepakat mahu perubahan. Beliau sudah lama dikenali rakyat di Kerdau. Sudah dua pilihan raya beliau berusaha membawa paradigma baru buat rakyat di Kerdau, namun pengundi belum mampu tinggalkan Umno. Dan kali ini pusingan ketiga Hassanuddin tampil dengan harapan pengundi Kerdau ada sedikit kesedaran baru. Biar apa pun rakan yang rapat dengan Umno tadi melembutkan nada, PAS masih ada peluang kerana rakyat di akar umbi tidak kenal Ustaz Syed Ibra. ”Lagi pun kemunculannya kerana rapat dengan Datuk Seri Adnan Yaakub. Dia bertugas sebagai pegawai agama Menteri Besar. ”Namun dia bersikap elit sedikit. Cuma sekarang sahaja yang berlakon mesra dengan penduduk kerana mahu menarik simpati mereka,” ujar rakan itu. Apa yang diceritakan rakan terbabit berlainan dengan cerita yang dipaparkan media saban hari. Laporan media memberi wajah baru kepada Syed Ibra dan Abang Ron di Merlimau. Inilah peranan media harian berbahasa Melayu sekarang. Dahulu mereka diiktiraf kerana membawa suara menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Sekarang peranan media harian Melayu memastikan perjuangan Umno diterima orang Melayu. Maka tidak hairanlah kalangan wartawan akhbar harian yang berpangkalan di Kota Bharu juga dikhabarkan mencari jalan bagi ’mengkuburkan’ kerajaan PAS. Menjelang pilihan raya umum 2004, syarikat akhbar sama juga mencetus agenda serupa. Ada wartawan kanan yang dibawa khas ke Kelantan. Hebatlah petugas syarikat akhbar terbabit. Kalau benarlah apa yang dikata, sahlah akhbar berkenaan merupakan satu unit daripada tubuh badan Umno. Sedangkan sebelum ini kita hanya mendengar Umno dan parti kompenan BN yang mencipta agenda seperti itu. Lainlah Harakah kerana permitnya dilulus Kementerian Dalam Negeri sebagai akhbar milik parti. Malah perkataan ’Untuk Ahli PAS Sahaja’ diwajibkan KDN. Harakah dianggap seperti subversif oleh kerajaan BN. Buktinya kekerapan penerbitannya dipancung selepas undi Melayu berolak kepada Barisan Alternatif pada pilihan raya umum 1999. Ketika itu KDN pantau Harakah seolah-olah akhbar itu pembawa ajaran sesat. Penerbitan lapan kali sebulan cuma tinggal dua kali sahaja. Nyonya baca Harakah ”Saya suka baca Harakah, ceritanya banyak betul,” tiba-tiba seorang wanita Cina meluahkan isi hatinya. Beliau ditemui ketika kebetulan datang membayar cukai bandar di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, dua minggu lalu. Ketika ditanya mengapa tidak membaca akhbar berbahasa Cina, kata perempuan Cina itu, ada juga sekali sekala beli Sin Chew Jit Poh. Nampaknya orang bukan Melayu lebih percayakan Harakah kerana akhbar harian katanya sama seperti sayap Umno. Begitu juga beberapa agensi kerajaan milik pusat di negeri ini. Kemas, Kesedar, Risda, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Kada dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) juga sama peranan dengan akhbar harian Melayu. Masing-masing ada pelan bagaimana hendak lemaskan kerajaan PAS di Kelantan dan Pakatan Rakyat di negeri lain. Kesedar tidak mampu sembunyikan lagi peranannya. Dua calon pilihan raya kecil di Kelantan pada tahun lepas dan 2009 ialah bekas pegawai Kesedar. Tuan Aziz Tuan Mat, calon BN di Dun Manek Urai bekas pengurus kilang Kesedar. Begitu juga Abdul Aziz Yusof, bekas penyelia Kesedar di RPT Sungai Terah menjadi calon BN di Galas. Pada hari mengundi pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai 2009, Pemuda PAS Kuala Krai mendakwa pejabat Kesedar di Sungai Peria dijadikan tempat mengagihkan duit kepada penyokong BN. Jelaslah sekarang sebutlah nama akhbar harian berbahasa Melayu yang ada di negara kita, semuanya siap sedia menjadi alat kepada Umno dan BN. Sebuah akhbar lokal yang baru diterbit nampaknya cuba mempertahankan dasar kebebasan bersuara. Namun, riak-riak sikap bias pun sudah kelihatan. Akhbar harian juga sudah menghambur peluru tabur kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Kalau sebelum 2008, sasaran lebih terarah kepada Kelantan sahaja, namun kini melencong pula ke Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Serangan propaganda mereka dipertingkatkan lagi sekarang. Bukan sekadar isu tertentu yang diulang tayang, sebaliknya peluru dihala terus kepada tubuh badan pemimpin PAS. Tembakan mereka ke arah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Peluru murah yang mereka dapat termasuk daripada bekas pensyarah, Ustaz Noor Idris dan Ustaz Abdullah Sa’amah dari Pondok Geting, Tumpat. Sekarang ada pula NGO yang dikenali sebagai Minda Pondok. Semuanya diperguna sebagai peluru bagi mencalar imej Menteri Besar Kelantan dan PAS. Tidak terhenti setakat itu, malah wartawan kanan akhbar Melayu yang didatang ke Kelantan menunding pena ke arah Tok Guru Nik Abdul Aziz. Kadang-kadang agenda setting mereka menjadi bahan ketawa orang kampung. Begitu juga dengan peperangan politik yang berlaku di Kerdau dan Merlimau sekarang. Media Melayu awal-awal lagi sudah julangkan Ustaz Syed Ibra dan Abang Ron. Kalau begitu eloklah akhbar harian Melayu tulis di halaman depan seperti Harakah, Hanya Untuk Ahli Umno Sahaja. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.