Jumaat, 25 Februari 2011

Bekas Pekerja LBJ Tuntut Raja Nong Chik Tunai Janji

TVS NEWS


PUCHONG : "Kerajaan mungkir janji lagi". Demikian laungan kira-kira 100 bekas pekerja Ladang Bukit Jalil (LBJ) yang menuntut agar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin menunaikan janji untuk membayar wang ehsan bernilai hampir RM1 juta.

Malah mereka juga turut menuntut tiga ekar tanah daripada 26 ekar tanah sedia ada untuk membina penempatan baru sebelum kediaman mereka dirobohkan pihak kerajaan.

Hal ini kerana, kedatangan menteri itu pada Rabu lalu, tidak menyelesaikan sebarang masalah yang membelit bekas pekerja ladang terbabit.

Menurut jurucakap Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Arutchelvan Subramaniam, sebagai rakyat, mereka berhak menyuarakan hak mereka dan membantah tindakan Raja Nong Chik beserta timbalannya, Datuk M. Saravanan dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.

“Dalam mensyuarat itu, mereka panggil kita untuk buat rundingan, tapi sebenarnya mereka hendak membuat pengumuman. Mereka akan menambah pampasan. Tapi isu yang kita ungkitkan adalah isu tanah ini. Kita minta 3 ekar daripada 26 ekar yang ada. Saya rasa apa yang diminta bekas pekerja LBJ tak salah. Mereka hanya minta 3 ekar tanah untuk bina rumah," kata Aruchelvan.

Aruchelvan yang juga Setiausaha Umum Parti Sosialis Malaysia (PSM) menjelaskan, hanya sepuluh buah keluarga sahaja telah berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah, manakala majoriti yang lain masih menetap di kawasan ini.

Dalam pada itu, beliau juga menerangkan, kerajaan sebenarnya tiada hak untuk campur tangan dalam sebarang urusan pemberian tanah. Ini kerana, tanah yang diduduki sekarang telah diswastakan kepada Bukit Jalil Development Sdn Bhd.

“Adakah dia sekarang menjadi jurucakap untuk pihak swasta? Apakah kepentingan kerajaan dalam tanah ini? Dan saya rasa itu adalah isu pokoknya. Kalau kita tak pindah, mereka akan datang bagi notis dalam masa seminggu. Kita membantah notis yang diberikan sebelum ini kerana kita diberi adalah ordinan pemberian setinggan. Hanya boleh guna untuk penempatan setinggan. Ini pekerja ladang," tambah beliau.

Justeru, bekas pekerja LBJ menuntut supaya kerajaan memberi kenyataan hitam putih bagi membuktikan segala penjelasan yang diberi sebelum ini adalah benar dan bakal ditunaikan dalam masa terdekat.

“Jadi kami mahu kerajaan tunjuk hitam putih dengan segera. Kami tidak mahu berunding lagi. Kami mahu isu ini diselesaikan dengan segera. Mereka semua yang tinggal ini adalah generasi akhir pekerja ladang yang ada di Lembah Klang. Kami mahu jasa mereka diingati," tambahnya lagi.

Kerajaan sebelum ini bersetuju membayar wang ehsan tambahan berjumlah RM922, 088 kepada 116 bekas pekerja LBJ atau waris mereka sebagai tambahan kepada pampasan yang diberikan terdahulu.

Raja Nong Chik dalam satu kenyataan akhbar berkata, bayaran itu membabitkan dua pihak iaitu 27 bekas pekerja ladang yang berkhidmat selama 15 tahun dan 89 pekerja yang berkhidmat selama 7 tahun setengah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.