KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Siasatan bagi kes kematian Teoh Beng Hock akan memulakan tugasnya pada 14 Feb dan menyerahkan laporan terakhirnya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 25 April.
Mengumumkan perkara itu hari ini, ketua suruhanjaya berkenaan Tan Sri James Foong, yang mempengerusikan mesyuarat pertamanya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, berkata terserahlah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan tentang langkah seterusnya yang perlu diambil selepas laporan itu dikemukakan.
Foong (gambar), yang juga hakim Mahkamah Persekutuan, berkata para anggota suruhanjaya itu telah berbincang tentang terma rujukan dan meneliti seksyen yang mempunyai kaitan dengan Akta Suruhanjaya Siasatan.
Katanya sebuah kamar Mahkamah Tinggi di tingkat tiga kompleks itu akan digunakan bagi tujuan prosiding yang akan diadakan dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang, Isnin hingga Jumaat.
“Kami bercadang mengadakan siasatan setiap hari (Isnin hingga Jumaat) hingga selesai sebelum 25 April,” kata Foong.
Beliau memberitahu pemberita bahawa pada mesyuarat hari ini, lima anggota suruhanjaya itu telah mengadakan perjumpaan dengan tiga pegawai pengendali dari Jabatan Peguam Negara untuk mengetahui siapakah yang akan dipanggil sebagai saksi dalam siasatan itu.
“Mereka memberitahu kami yang mereka akan bermesyuarat Isnin ini untuk menyenaraikan saksi dan pegawai yang akan membantu kami dalam mendapatkan dokumen tentang undang-undang dan peraturan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Foong.
Pegawai pengendali berkenaan ialah Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh dan Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa.
Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Empat lagi anggota suruhanjaya itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Pathologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.