TIADA sebarang pingat.
Itulah hakikat yang perlu ditelan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) setelah melihat keempat- empat acara yang disertai atlet mereka pada temasya Sukan Asia 2010 menemui kegagalan.
Ia turut menjadi pencapaian terburuk KOAM berbanding Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar yang menyaksi- kan atlet olahraga negara pulang dengan dua pingat iaitu perak daripada Roslinda Samsu dan gangsa menerusi Noraseela Khalid.
Namun pada temasya di Guangzhou, China kali ini, Roslinda dan Noraseela gagal mengulangi kejayaan menaiki podium sebagaimana yang dilakukan mereka empat tahun lalu di Doha.
Rabu lalu, Roslinda, 28, sekadar menduduki tempat kelima dalam saingan final acara lompat bergalah wanita dengan hanya mencatat ketinggian 4.00 meter.
"Tiada apa masalah berlaku. Saya sudah cuba beri yang terbaik tetapi dengan tidak banyak diberi peluang menyertai kejohanan sepanjang tahun, ini saya yang termampu," kata Roslinda.
Noraseela, 31, pula pada saingan final acara 400 meter lari berpagar wanita kelmarin sekadar menduduki tempat kelima biarpun membuat catatan terbaiknya tahun ini iaitu 57.22 saat.
"Saya tahu MSN (Majlis Sukan Negara) sentiasa beri sokongan kepada saya tetapi KOAM, mungkin mereka ada agenda sendiri," kata Noraseela.
Pada Selasa lalu, jaguh lompat tinggi lelaki negara, Lee Hup Wei gagal melaku- kan lompatan terbaik apabila sekadar melakukan 2.15 meter untuk menduduki tempat kesembilan.
"Lompatan saya cukup teruk pada saingan final ini. Saya tak tahu kenapa tetapi saya rasa tak dapat nak fokus dan beri tumpuan ketika membuat lompatan," jelas Hup Wei.
Kemalapan skuad olahraga negara ditutup dengan kegagalan kuartet 4x100 meter wanita memperbaharui rekod kebangsaan apabila mereka sekadar menamatkan saingan final di tempat keenam dengan 45.54 saat semalam.
Buat KOAM, 'strategi' menghantar terus atlet ke kejohanan besar seperti Sukan Asia tanpa memberi peluang kepada mereka mera- sai suasana kejohanan dengan menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa sepanjang tahun perlu diubah.
Itupun jika badan induk itu berasa bertanggungjawab untuk memastikan sukan olahraga negara kembali bersinar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.