Jumaat, 29 Oktober 2010

Pengundian pemilihan langsung PKR mula di sebalik demam pilihan raya kecil

TERKINI

KUALA LUMPUR — Pemilihan menggunakan sistem langsung, yang julung kali dilaksanakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), memasuki peringkat akhir hari ini dengan sebahagian daripada lebih 400,000 ahlinya akan keluar mengundi memilih pucuk kepimpinan pusat.

Proses pengundian akan membabitkan 69 cabang hujung minggu ini, dijadual bermula pagi ini di sebalik negara khususnya PKR memberi tumpuan ke atas dua pilihan raya kecil serentak — Galas di Kelantan dan Batu Sapi di Sabah.

Di Galas, rakan PKR, PAS menurunkan calonnya manakala PKR sendiri berhadapan dengan saingan tiga penjuru di Batu Sapi.

Pada hari pertama hari ini sahaja 10 cabang dijadual membuang undi iaitu masing-masing lima di Kelantan dan Kedah.

Cabang-cabang itu ialah Tumpat, Kota Baru, Pasir Mas, Rantau Panjang, Pengkalan Chepa, Langkawi, Kubang Pasu, Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena.

Kesemua cabang itu merupakan bahagian pertama mengadakan pemilihan peringkat cabang pertengahan bulan lalu tanpa sebarang masalah besar.

Esok, sebanyak 32 cabang akan mengadakan pengundian iaitu sembilan di Perak, Perlis (tiga), Kedah (dua), Pahang (tujuh), Negeri Sembilan (enam) dan Kelantan (lima).
Pada hari ketiga Ahad ini, 27 lagi cabang terlibat dalam proses pengundian dengan lapan di Perak, Pahang (tujuh), Pulau Pinang (enam), Melaka (empat) dan Negeri Sembilan (dua).

Pengundian seterusnya akan diadakan pada 6, 7, 12, 13, 14, 20 dan 21 November.Pemilihan akan berlangsung setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad selama tiga minggu.

Ahli-ahli PKR di cabang-cabang itu akan mengundi mulai 10 pagi hingga 4 petang dan proses pengiraan akan dibuat selepas itu di setiap cabang terbabit, tetapi keputusan rasmi hanya akan diumumkan ketika kongres parti akhir bulan depan.

Proses pengundian diteruskan meskipun ada pihak yang meminta ditangguhkan sementara pilihan raya kecil berakhir dan beberapa masalah yang dibangkitkan oleh pihak dalaman parti diselesaikan.

Dalam kenyataan media sebelum ini, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan bermula hari ini dan berterusan sehingga 21 November, selama 10 hari secara berperingkat-peringkat pada hujung minggu, bagi semua cabang di seluruh negara.

“Saya ingin menyeru semua 400,000 anggota PKR yang layak mengundi dalam pemilihan 2010 untuk turun beramai-ramai memenuhi hak mereka memilih pemimpin parti.

“Semangat meraikan demokrasi menerusi pengenalan dasar satu anggota satu undi yang pertama di Malaysia yang dilihat sewaktu Pemilihan peringkat Cabang kini diteruskan di peringkat nasional,” kata beliau.

Kata Saifuddin, pada masa parti-parti Barisan Nasional masih lagi terbelenggu dengan budaya politik kolot dan ketinggalan zaman, PKR sekali lagi mencipta pembaharuan dengan membudayakan semangat politik baru.

Ekoran pilihan raya kecil Batu Sapi, PKR telah memutuskan untuk menangguhkan proses pengundian pemilihan pusat membabitkan 21 cabang Sabah pada 30 dan 31 Oktober selama minggu.

Proses pengundian hujung minggu depan dibawa kepada 6 dan 7 November.

Sebelum ini sekretariat pemilihan telah menggantung sembilan cabang yang bermasalah ketika pemilihan peringkat bahagian termasuk disebabkan pergaduhan.

Pengarah Komunukasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya telah mengambil segala langkah bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan lancar berbanding “sedikit masalah” ketika pemilihan cabang sebelum ini.

“Kita sudah mengambil langkah memastikan logistik mencukupi di tempat mengundi, bilangan kakitangan juga mencukupi... saya yakin proses kali ini akan berjalan dengan lancar.

“Lagipun yang bermasalah di peringkat cabang sebelum ini cuma sekitar enam peratus, 94 peratus menyaksikan tiada masalah, jadi saya yakin tidak harus ada masalah,” kata beliau ketika dihubungi di Batu Sapi malam tadi.

“Saya berharap proses pengundian yang lebih baik di peringkat ini,” katanya lagi.

Mengenai peratusan keluar mengundi, Nik Nazmi berkata, pihaknya menjangkakan antara 10 hingga 20 peratus akan keluar mengundi di peringkat pusat.

“Saya menjangkakan sekitar peratusan ini berdasarkan apa yang disaksikan ketika peringkat bahagian sebelum ini... kalau kita mencapai tahap itu, saya rasa cukup bagus,” katanya.

Malah beliau yakin akan mencapai peratusan itu memandangkan setiap calon akan berusaha untuk menggerakkan seramai mungkin ahli untuk mendapatkan sokongan.

Di bawah sistem pengundian langsung ini setiap ahli PKR layak untuk mengundi memilih pucuk kepimpinan pusat iaitu presiden, timbalan presiden, naib presiden, anggota MPP dan kepimpinan Angkatan Muda Keadilan dan sayap Wanita.

Kesemua mereka yang dicalonkan telah mengesahkan penerimaan pencalonan masing-masing sebelum 16 Oktober lalu.

Tumpuan pemilihan pusat kali ini adalah pada jawatan timbalan presiden yang saingi Azmin Ali, Mustaffa Kamil Ayub dan Datuk Zaid Ibrahim.

Seramai 17 calon bertanding kerusi naib presiden iaitu calon PKR di Batu Sapi Ansari Abdullah sendiri, Baru Bian, Dominique Ng, Fuziah Salleh, N. Gobalakrishnan, James Ghani, Jonson Chong, Datuk Mansor Othman, Nurul Izzah Anwar, R. Sivarasa, S. Manikavasagam, Saiman Marjuki, R. Suresh Kumar, Tian Chua, Xavier Jayakumar, Yahya Sahri dan Yusmadi Yusoff.

Seramai 33 bertanding kerusi MPP.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mempertahankan jawatan presiden tanpa cabaran.

Dalam pada itu, jawatan ketua Wanita menyaksikan persaingan tiga penjuru antara penyandang Zuraida Kamaruddin, Animah Ferrar dan Suraya Sudin manakala penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dicabar oleh Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai “Chegubard” bagi kerusi ketua Angkatan Muda Keadilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.