Ahad, 31 Oktober 2010

Umno-Bn Tidak Mahu Membela Rakyat

GUA MUSANG – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin mendakwa Umno-BN selama-lamanya tidak mahu membela rakyat negeri Kelantan.

"Cuba kita lihat dalam isu PPSMI, satu bangsa membuat polisi untuk tidak membenarkan bangsa sendiri menggunakan bahasa bangsa sendiri. Tidakkah pelik apabila kita melihat bangsa Melayu berjuang habis-habisan untuk mempertahankan bahasa sendiri sedangkan pemimpin kita adalah dalam kalangan sebangsa dengan kita. Isu PPSMI menyaksikan ribuan rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi, untuk menyatakan bantahan mereka. Demonstrasi yang dilakukan pada 7 Mac 2009 itu turut disertai oleh sasterawan negara A. Samad Said.

Mengulas berkenaan isu royalti minyak yang dituntut oleh rakyat negeri ini, beliau menyatakan bahawa Umno-BN yang berbangsa Melayu tidak mahu membela rakyat Kelantan yang majoritinya adalah sebangsa dengan mereka.

“Inilah negara Malaysia. Sebuah negara yang pelik.” tegasnya malam tadi di hadapan lebih seribu hadirin yang hadir dalam siri ceramah kempen yang diadakan di Markaz Penerangan, Gua Musang.

"Sepatutnya kerajaan Pusat akan menerima lima peratus daripada hasil tersebut dan kerajaan Negeri pun mendapat hasil yang sama. Tetapi, oleh kerana kejahatan Umno ini, mereka sapu keseluruhan hasil."

Tambah beliau lagi, kerajaan Pusat telah dibayar oleh Petronas sebanyak RM57.6 billion. Daripada keseluruhan jumlah tersebut, Petronas sepatutnya mengagihkan RM4.1 billion kepada kerajaan negeri.

"Macam-macam benda yang dijanjikan Umno-Bn tapi janji tidak dikotakan. Jadi, sama-samalah kita tolak kepimpinan Umno-Bn" ujarnya mengakhiri ceramah yang disampaikan malam tadi.

Najib tidak hormat demokrasi negara-Nizar

GUA MUSANG - "UMNO biadap dan khianat terhadap rakyat. UMNO akan mempertahankan Putrajaya biarpun tubuh berkecai daripada badan."

Kata-kata yang dilafazkan oleh Najib di Perhimpunan Agung ke-51 baru-baru ini jelas menunjukkan Najib tidak menghormati demokrasi negara. Sepatutnya Najib berserah kepada kehendak rakyat, barulah 'gentleman', kata Yang Berhormat Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin sewaktu memberi ceramah di Lepan Tupai semalam.

"Najib beritahu bahawa UMNO parti muslim dan UMNO berkehendakkan Islam. Namun perkara yang Allah larang Najib buat juga contohnya meluluskan penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo yang memperagakan busana yang tidak langsung mencerminkan identiti Islam. Malah Umno turut meluluskan lesen-lesen judi dan ini merupakan salah satu lagi kebiadapan UMNO.

Beliau menegaskan bahawa Pakatan Rakyat datang untuk menyelamatkan negara.

"Kami masih berbahas di Dewan Rakyat bagaimana Najib tidak menghormati hak rakyat. Rakyat harap Najib luluskan bonus kepada kakitangan kerajaan tapi tak bagi. Najib bangga ada pertumbuhan ekonomi tetapi tiada bonus untuk rakyat, yang ada hanya elaun. Rakyat tidak suka kerana tiada wang untuk rakyat" ujar beliau lagi.

Dalam keadaan rakyat miskin, tak cukup makan, masih dia nak buat bangunan pencakar langit. Di bandar-bandar besar tiada pencakar langit. Tetapi Umno kalau tiada projek besar mereka tak boleh hidup.

Tambah beliau lagi, tidak pernah dalam sejarah negara seorang Perdana Menteri memberi peruntukan kepada isteri masing-masing dalam pembentangan bajet negara. Namun, Najib telah mencatatkan "sejarah baru" dalam bajet kewangan negara dengan memberi peruntukan sebanyak 111 juta bagi projek Permata Pintar di bawah kelolaan Rosmah.

Berkaitan isu minyak di Kelantan pula, beliau memetik kenyataan jurutera Petronas bahawa minyak di bawah perut bumi Kelantan 30 kali ganda lebih banyak berbanding Terengganu. Jika rakyat memperoleh royalti minyak tersebut, lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan dan kebajikan rakyat lebih terbela. Sayangnya wang itu masuk ke poket Umno.

Dato' Seri Nizar mengakhiri ucapannya dengan menyeru kepada setiap pengundi untuk memberi sokongan kepada Dr Zulkifli kerana katanya "bila kita di hadapan Allah kelak kita boleh jawab bahawa kita telah tinggalkan UMNO dan sokong Dr Zul untuk menangkan PAS.

Kegoyahan UMNO yang Ketandusan Isu

GALAS- Yang Berhormat Latiff Abdul Rahman, ADUN Mengkebang dalam ceramahnya berdekatan dengan Markaz Penerangan PAS dekat sini, menyatakan bahawa UMNO seolah-olah ketandusan ‘modal’ atau isu untuk dimainkan pada kempen pilihan raya kecil kali ini.

“UMNO berjanji tidak akan memainkan isu peribadi tetapi mereka sendiri melalui UMNO Online mengeluarkan kenyataan bahawa calon PAS, Dr. Zulkefli Mohamed pernah ditangkap khalwat dengan ibu sendiri. Walaupun kenyataan ini telah ditarik balik, namun ianya jelas mencerminkan pemikiran serta siapa UMNO itu sendiri.

UMNO seolah-olah mempertikaikan pencalonan Dr. Zulkefli MOhamed, apabila menimbulkan isu calon PAS sebagai orang luar.

Seperti kebiasaan, UMNO terus memainkan isu pembangunan di negeri ini khususnya di Gua Musang. Memberi contoh kerajaan Thailand yang boleh membangunkan negaranya tanpa kehadiran UMNO, YB Latiff menegaskan bahawa pembangunan merupakan tanggungjawab kerajaan dan bukannya parti.

Kelantan yang dipimpin oleh PAS, meletakkan dasar 'Membangun Bersama Islam' di mana pembangunan fizikal dan pembangunan insan dijalankan serentak kerana ia merupakan tanggungjawab sesebuah kerajaan yang memerintah.

UMNO juga dikatakan mengamalkan demokrasi berat sebelah, apabila menyaksikan
penguasaan UMNO terhadap media perdana termasuk akhbar, stesen televisyen serta radio terutamanya dalam memainkan sebarang isu apabila berdepan dengan pilihan raya.

“Kita tiada platform lain untuk meluaskan pengaruh kita melainkan dengan ceramah-ceramah seperti ini serta sebaran risalah-risalah. Dia memburukkan kita, tapi kita tidak boleh jawab. Perkara yang perlu kita jelaskan kepada rakyat, kita hanya boleh buat melalui ceramah seperti ini sahaja."

Beliau turut mengulas beberapa peruntukan pada bajet 2011 yang jelas menunjukkan kepentingan peribadi, dalam masa yang sama membazirkan wang rakyat terutama ketika menyentuh perihal penambahbaikan kediaman rasmi Perdana Menteri yang berjumlah RM 65 juta serta uasaha untuk mewujudkan Pusara Negara yang bernilai RM 70 juta. “Inikah yang dikatakan rakyat didahulukan?” soal beliau.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau ada menyebut tentang istilah ‘roti canai’ yang digunakan oleh masyarakat Cina di Galas, simbolik kepada ‘bulan’ iaitu PAS. Justeru beliau menyeru semua kaum agar turun mengundi dan memilih ‘roti canai’ pada 4 Oktober nanti.

Damage Control - Pantau Pilihan Raya

GALAS- Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, YB Dato' Ustaz Hj Abdul Halim Abdul Rahman pada sidang media hari ini menyentuh tentang isu pemilikan tanah orang asal. Jabatan Tanah dan Galian negara selama ini tidak menyenaraikan orang asal ebagai bumiputera menyebabkan pindah milik tanah kepada orang asal tidak dapat dilaksanakan.Hanya pada awal tahun ini barulah UMNO mengiktiraf orang asal sebagai bumiputera. Cadangan Penubuhan Urusetia Hal Ehwal Orang Asal oleh calon PAS merupakan satu inisiatif untuk memastikan orang asal sebagai penduduk asal negara ini tidak dilupakan dalam soal pembangunan.

Dalam sidang media pagi tadi, beliau memperkenalkan pendekatan Damage Control yang bertujuan untuk memantau sebarang kelemahan yang berlaku di sepanjang pilihanraya kali ini. Setiap pelanggaran yang berlaku akan dikenakan kad kuning dan kad merah bagi kesalahan yang lebih serius. Menyentuh tentang kaedah kempen PAS dalam pilihanraya kali ini, beliau menjelaskan PAS menggunakan pendekatan biasa yang digunakan selama ini iaitu memberi penerangan kepada rakyat, merayu dan memujuk. Para petugas sama sekali tidak dibenarkan membuat sebarang kecaman ketika berkempen.

Menjawab dakwaan yang menyatakan bahawa Tok Guru sayang Guan Eng yang ditimbulkan oleh Datuk Usman Abdul pula, beliau berkata ini kerana pentadbiran di bawah Guan Eng tidak pernah mendiskriminasi siapa yang layak untuk memasuki masjid dan surau. Namun di bawah pemerintahan UMNO BN, PAS dihalang dari memasuki masjid meskipun untuk menyampaikan dakwah, malah didakwa oleh UMNO sebagai ekstrimis.

Beliau turut membangkitkan persoalan tentang ketiadaan gambar calon BN, Abdul Aziz yang menurut beliau menggambarkan terdapat masalah di dalam BN berkaitan pemilihan calon mereka pada pilihanraya kali ini.

Menjawab persoalan yang dikemukakan oleh wartawan berkaitan undi rosak, beliau menjangkakan bahawa undi rosak pada pilihanraya kali ini hanya sekitar 1 hingga 3% sahaja.

Wartawan turut menimbulkan persoalan adakah Islam membenarkan untuk memhentam orang lain di dalam ceramah. Beliau menjelaskan ia adalah perlu bagi menjelaskan keadaan sebenar kerana kebenaran itu perlu ditegakkan namun begitu Islam tidak membenarkan menyerang peribadi seseorang individu.

Di akhir sidang media tersebut, beliau menyebut tentang jumlah pengundi luar iaitu bagi Parlimen sebanyak 312 orang dan DUN sebanyak 282. Beliau berharap agar semua pengundi luar ini dapat pulang untuk mengundi pada hari pengundian nanti.

PRK Galas - Pengundi Pos Mula Mengundi Esok

Oleh Bernama

UndiPosGUA MUSANG - Seramai 127 pengundi pos membabitkan anggota polis dan 50 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang bertugas semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, akan mengundi mulai esok.

Setiausaha SPR Datuk Noordin Che Ngah berkata anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, Isnin ini manakala petugas SPR akan berbuat demikian esok, di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini.

Kedua-dua proses pengundian akan bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Bercakap kepada pemberita selepas mengeluarkan kertas undi pos kepada dua pihak terbabit di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang hari ini, Noordin berkata semua kertas undi itu akan dikira bersama-sama kertas undi lain selepas pukul 5 petang hari pengundian 4 Nov ini.

"Semua kertas undi (pos) akan ditempatkan di Bilik Kebal di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang dan dikawal polis," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima daripada PAS, yang meninggal dunia pada 27 Sept lalu.

Calon BN, Abdul Aziz Yusoff, 49, akan berhadapan calon PAS Dr Zulkefli Mohamed, 44, pada pertandingan satu lawan satu 4 Nov ini.

Mengenai 50 pengundi pos kalangan petugas SPR yang mungkin menjadi persoalan, beliau berkata mereka adalah pengundi berdaftar di DUN Galas yang telah memohon untuk mengundi sebagai pengundi pos kerana bertugas pada hari mengundi Khamis depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Noordin berkata proses berkempen yang memasuki hari kelima hari ini setakat ini berjalan lancar kecuali tindakan Parti Kedilan Rakyat (KEADILAN) dan DAP yang menaikkan bendera masing-masing, dan telah pun diturunkan pasukan pemantau SPR.

Berhubung dakwaan PAS wujud pengundi hantu pada pilihan raya kecil ini, beliau berkata dakwaan itu tidak benar.

Noordin berkata SPR memerlukan masa antara tiga hingga lima bulan bagi mengesahkan status pengundi sesuatu kawasan dan setelah itu nama mereka akan dipamerkan untuk bantahan.

PRK Batu Sapi - 1,535 Pengundi Pos Mengundi Esok

Oleh Bernama

UndiPosSANDAKAN - Bahang pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi yang tinggal lima hari kian terasa dengan ketibaan kertas undi 1,535 pemilih pos di sini petang tadi.

Kertas undi pemilih pos itu dibawa dari Kota Kinabalu dan dihantar ke Dewan Persidangan Majlis Perbandaran Sandakan pada 4.30 petang dan disambut sendiri oleh pegawai pengurus pilihan raya kecil bagi kawasan berkenaan, Sapi Mohd Hamsan Awang Supain.

Di dewan persidangan itu, semakan dilakukan terhadap kertas undi pos, antaranya membabitkan ejaan nama calon dan parti, susunan calon yang bertanding serta simbol parti.

Selain Mohd Hamsan dan penolong pegawai pengurusnya serta pegawai dari Suruhanjaya Pilihan Raya, semakan turut membabitkan wakil parti bertanding iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Kertas undi pos itu kemudian dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk disimpan.

Pengundian bagi pemilih pos akan dijalankan pada Isnin depan, dan membabitkan 663 anggota Pasukan Gerakan Am, Tentera Laut DiRaja Malaysia (601) serta dan IPD Sandakan (271).

Tiga pusat undi pos ialah di IPD Sandakan, ibu pejabat PGA Batu Sapi dan Kuarters TLDM di Batu 5.

Bagi 24,047 pemilih biasa, mereka akan membuang undi pada 4 Nov ini di 12 pusat mengundi membabitkan sebelas bangunan sekolah dan sebuah bangunan perpustakaan.

Isu DAP peralat PAS tidak berkesan di Galas

Abd Shukur Harun

Umno/BN tidak habis-habis menimbulkan isu PAS lebih bersedia berkawan dengan DAP, tetapi tidak bersedia untuk berbaik dengan Umno walaupun sebangsa.

Isu ini dibangkitkan lagi oleh Umno/BN dalam kempen pilihan raya kecil Galas, Kelantan dan kemungkinan akan berterusan sehingga masa yang lama. Namun isu ini diyakini tidak akan menjejaskan peluang PAS untuk menang, justru majoriti pengundi sudah sangat memahaminya.

Sama ada dalam kempen berbisik mahupun kempen terbuka, isu ini dibangkitkan lagi oleh Umno/BN untuk merebut undi simpati dari orang Melayu. Namun hujah ini sukar diterima oleh pengundi Kelantan, khususnya, justru rakyat Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat adalah zero perkauman.

Sementara itu, walaupun sudah berulang kali dijelaskan oleh para pemimpin PAS mengapa PAS menolak sama sekali Umno – yang telah melakukan pelbagai angkara dan kezaliman terhadap PAS
selama ini dalam pelbagai bentuk – namun sentimen ini masih dilaungkan lagi oleh Umno di mana saja ada kesempatan termasuk dalam kempen mereka di Galas.

(Gambar: Di mana sahaja, Dr Zul sedia menjalankan tugasnya sebagai doktor)

Sebagai biasa mereka menuduh PAS diperalat oleh DAP, sebuah phrasa yang merela ulang-ulang sejak kekalahan teruk Umno/BN dalam PRU Ke-12 2008 yang lalu. Pada hal tiada sebarang petunjuk yang membuktikan tuduhan mereka.

Ketika berkempen di Galas, untuk kesekian kalinya, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat terpaksa menegaskan sekali lagi akan dasar parti menolak untuk bersatu dengan Umno. Dalam masa yang sama beliau menerangkan mengapa PAS berbaik-baik dengan bukan Islam dengan memberikan hujah yang kukuh.

Beliau hairan dengan sikap Umno yang dianggap sebagai sebuah parti tua, lama memerintah tetapi pendek akal untuk memahami konsep atau matlamat kerjasama PAS-DAP.

“Kadang-kadang saya terfikir juga kenapa Umno susah sangat hendak faham, pada hal telah berkali-kali kita beri penjelasan. Perbezaan kerjasama antara Umno dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional dengan kerjasama antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat amat jelas,” katanya.

Kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan, katanya, tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan “kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud.”

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas PAS kerana dikatakan terus mengeluarkan 'fatwa' sesuka hati berhubung kerjasama Umno dengan MCA dalam BN.

Dalam kenyataannya di Gua Musang semalam, Timbalan Presiden Umno itu dilaporkan berkata, PAS menganggap kerjasama Umno dengan MCA adalah salah tetapi pada masa sama 'menghalalkan' kerjasama PAS dengan DAP.

Menurut Tuan Guru Nik Abd Aziz, tindakan PAS menyertai BN sebelum ini menimbulkan perpecahan di kalangan PAS di mana wujud empat kumpulan di kalangan penyokong parti itu, termasuk Islah, Hamim dan Berjasa.

Tuan Guru berkata, kerjasama dengan DAP yang konon dikatakan sebagai chauvinis Cina tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Beliau menyifatkan Umno masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit sehingga tidak tahu menilai kesyumulan Islam secara keseluruhan. Disebabkan sikap ini, katanya, Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. “Umpama Lebai Malang, ke hilir pun lapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, Melayu dan Islam ialah perkara yang sama.”

Sementara itu, pemimpin Pakatan Rakyat meletakkan kesalahan ke atas Timbalan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Husin mengenai isu lesen judi sukan.

Ketika berucap di kawasan orang Melayu di Sungai Terah di Galas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengingatkan pengundi mengenai pendirian tegas PR dari awal menentang langkah kerajaan pusat memberikan lesen judi bola sepak sehingga Putrajaya membatalkannya kemudian.


“Siapa yang mahukan judi bola sepak? Secara kebetulan dia dari Kelantan. Lelaki dari Bachok,” kata Tuan Guru merujuk kepada Awang Adek. “Saya rasa malu dengan tindakan dia,” kata beliau pada majlis ceramah di kampung tersebut.

Mei lalu, Awang Adek yang juga timbalan menteri kewangan mengumumkan bahawa kerajaan dengan serius sedang mempertimbangkan langkah membenarkan judi sukan menjelang kejohanan Piala Dunia 2010.

Bagaimanapun keputusan itu dibatalkan kurang dua bulan selepas itu dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pentadbirannya tidak akan mengeluarkan lesen bagi tujuan tersebut.

Sementara itu calon PAS. Dr. Zulkefli Mohamed dan para petugas Pakatan Rakyat terus menerus menemui pengundi baik di kawasan pengundi Melayu, Cina, India, malah kawasan penempatan Orang Asli.

Sambutan yang diterima oleh mereka sangat menggalakkan, di mana mereka berjanji akan menyokong calon PAS.

“Saya merasa sangat selesa berada di tengah rakyat, bukan ketika kempen ini saja, tetapi sepanjang masa. Klinik saya sentiasa dikunjungi rakyat biasa,” katanya.

Kalangan pengundi Cina di Kampung Baru sudah ramai yang mengenali beliau, sementara pengundi Melayu dan Orang Asli juga kenal lama dengan Dr. Zulkefli yang membuka klinik di Felda Chiku 3, tidak jauh dari Dun Galas.

Bagaimanapun, kalangan pemerhati politik menganggap pertandingan di Galas itu memang sengit. Namun seorang pemimpin PAS berkata, harapan PAS untuk memang adalah cerah jika tidak ada penipuan, sogokan, pengundi hantu, ugutan dan elemen negatif yang lain.

Sudah tentu keputusan pilihan raya kecil Dun Galas pada 4 November itu akan menghantar banyak isyarat kepada pelbagai pihak, baik PAS mahupun Umno/BN. Namun meninjau kempen tersebut, jelas menunjukkan perpaduan anggota Pakatan Rakyat – PAS, DAP dan PKR begitu erat. Ini yang sangat merunsingkan pihak Umno/BN.

Laporan polis kes Michael Chia

Warta Rakyat

SANDAKAN: Ketua Angkatan Muda Keadilan Sabah, Abdul Razak Jamil membuat laporan polis hari ini berikutan penangkapan seorang rakyat negeri Sabah, Michael Chia di Hong KOng tahun lalu.

Michael yang dikatakan rapat dengan Ketua Menteri Sabah, di tahan di di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong kerana disyaki membawa wang haram di dalam mata wang Singapura berjumlah RM16 juta.

Ekoran penangkapan itu, Shamsul Iskandar Mohamad Akin Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia telah membuat laporan kepada Independent Commission against Corruption (ICAC) Hong Kong yang kemudiannya telah membuka kertas siasatan terhadap Michael Chia.

Saya berharap agar pihak Polis Diraja Malaysia dapat membuat siasatan keatas sumber dan kepada siapa "wang haram” berkenaan seterusnya membawa mereka yang berkaitan ke muka pengadilan," kata Abdul Razak dalam laporannya hari ini.

Julang Piala Malaysia: Kelantan isytihar cuti

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan cuti peristiwa hari ini sempena kejayaan pasukan bola sepak The Red Warriors menjulang Piala Malaysia edisi ke 84 malam tadi.

Pengumuman dibuat Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini selepas menyaksikan sendiri detik gemilang Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

"Saya mewakili Menteri Besar Kelantan, mengumumkan esok cuti peristiwa supaya rakyat dapat tenang, gembira, bersyukur dan dapat balik ke Kelantan dengan selamat.

"Kita juga ucap terima kasih kepada semua yang memberi kejayaan kepada Kelantan khususnya kepada Presiden Kafa dan rakyat Kelantan," katanya.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya.

Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.

Manakala Kelantan memperoleh gol penyamaan hanya pada separuh masa kedua apabila hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan pada minit ke-57.

Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad.

Kedudukan kekal 2-1 sehingga wisel penamat, mengembirakan sekurang-kurangnya 60,000 penyokong Kelantan yang hadir ke stadium.

Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut berjanji akan memberi imbuhan wang tunai kepada pemain Kelantan ekoran berjaya ke saingan peringkat akhir akhir Piala Malaysia musim ini.

Pusingan Pertama Zaid dahului Azmin, Mustaffa


pemilihan 2010Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Permulaan baik buat Ketua Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim apabila mendahului pesaing terdekatnya yang juga naib presiden Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub apabila berjaya mengutip 577 undi pada hari pertama pengundian pemilihan pusat yang bermula semalam.

Selepas sembilan cabang selesai membuat pemilihan semalam, Azmin memperoleh 374 undi manakala Mustaffa Kamil Ayub mendapat 61 undi.

Bagi jawatan naib presiden, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar cemerlang dengan memproleh 494 undi dan diekori rapat Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh dengan 467 undi.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Mansor Othman mendapat 462 undi, Pengarah Strategik PKR Tian Chua pula berjaya memperoleh 430 undi dan ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan dengan 304 undi.

Penyandang jawatan naib presiden, R Sivarasa bermula dengan baik apabila memperoleh 267 undi. Calon-calon lain pula seperti berikut; R Suresh Kumar (207), Johnson Chong (145), Baru Bian (143), Xavier Jayakumar dan calon PKR bagi pilihan raya Batu Sapi Ansari Abdullah masing-masing berjaya memungut 84 undi.

Diikuti Yusmadi Yusoff (79), Yahya Sahri (58), Dominique Ng (51), S Manikavasagam (47), Saiman Marjuki (36), dan James Ghani (29).
Walau bagaimanapun keputusan bagi ahli majlis pimpinan pusat (MPP) berbeza situasinya.

Calon bukan personaliti dalam kalangan wakil rakyat mendahului senarai dengan Zamri Yusuf meninggalkan pesaing lain dengan 501 undi.
Diikuti, Wan Salleh Wan Isa (440), Pengarah penerangan kerajaan Selangor, Dr Badrul Amin Baharon (430), ahli parlimen Sungai Petani Johari Abdul (358), dan Adun Bukit Lanjan Elizeberth Wong (356).

Sementara itu, pertandingan jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) antara Shamsul Iskandar Md Akin dan Badrul Hisham Shaharin sengit apabila hanya perbezaan sembilan undi.

Shamsul memperoleh 136 undi manakala Badrul Hisyam atau lebih dikenali Chekgu Bard mendapat 127 undi.

Timbalan Ketua AMK Khairul Anuar 193 undi manakala Adun Teja Chang Lih Kang 54 undi

Jawatan ketua wanita pula, ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mendahului dengan 178 undi jauh meninggalkan pesaing terdekat Suraya Sudin (98) dan Animah Ferrar (32).

Manakala bagi jawatan timbalan ketua wanita pula, Adun Batu Tiga Rodziah Ismail memperoleh 192 undi dan Azmah Abd Kadir pula dengan 35 undi.

Namun keputusan tersebut hanya ukuran awal memandang baki tiga minggu pemilihan bakal berlangsung sebelum Kongres Nasional PKR pada 26 sehingga 28 November ini diadakan.

Calon-calon mempunyai peluang cerah dalam menambah undi mereka dengan dijadualkan hari ini enam negeri (Pahang, Negeri Sembilan,Perak,Perlis,Kelantan dan Kedah) sudah memulakan pengundian jam 10 pagi tadi.

Namun Sabah yang sepatutnya menjalankan pengundian hari ini ditangguhkan ke 6 November ini bagi memberi ruang ahli PKR menumpukan pilihan raya di Batu Sapi yang sedang berjalan.

Hari ini 32 cabang akan menjalankan pemilihan pimpinan pusat seperti biasa dan dijangka pengundian ditutup 4 petang ini jika tiada sebarang masalah yang timbul.

*keputusan rasmi daripada ibu pejabat PKR*

Pemilihan PKR: Pengundi kurang kerana final Piala Malaysia


1 bola Oleh Fazy Sahir dan Rahmah Ghazali

PETALING JAYA: Kehangatan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia diantara Kelantan dan Negeri Sembilan malam ini, merencatkan proses pengundian pimpinan pusat PKR terutama di kedua-dua negeri terbabit.

Di Kelantan, rata-rata cabang yang dihubungi memaklumkan ahli yang mengundi kurang memuaskan memandangkan ramai yang ke Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur menyaksikan perlawanan bola sepak tersebut.

Timbalan ketua cabang Kubang Kerian Wan Mohd Aziz Wan Abdullah nyata kesal dengan situasi itu, sedangkan ahli yang keluar hanyalah golongan vateran dan sudah berumur.

Katanya, golongan muda yang terdiri daripada ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) amat kurang serta menyifatkan mereka lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ahli parti.

"Saya kecewa hanya sedikit yang datang hari ini. Hanya 50 orang daripada 429 ahli di cabang Kubang Kerian yang datang mengundi.
Kebanyakkan yang hadir hari ini orang-orang tua, yang muda belia semua tiada. Mereka semua ke Bukit Jalil…menyedihkan.

"Jika setuju lebih baik tunda pengundian ini…seperti tersilap masa. Saya pun nak cakap susah dah tanggungjawab, maka rugi siapa-siapa yang diundi dalam AMK namun ramai yang tidak membantu dalam pengundian ini," katanya kecewa.

Perkara yang sama turut berlaku di beberapa cabang di Kelantan yang mengadakan pengundian hari ini seperti Bachok, Pasir Puteh dan Ketereh dan Tanah Merah.

Untuk rekod FMT menghubungi cabang-cabang itu dan di Bachok dari 2,440 ahli berdaftar hanya kira-kira 100 orang yang turun mengundi.

Manakala di Pasir Puteh 108 pengundi menjalankan tanggungjawab mereka daripada keseluruhan pengundi berdaftar -500 orang.

Di Ketereh kira-kira 100 orang hadir daripada 946 pengundi, manakala di Tanah Merah, selain masalah kekurangan ahli mengundi cabang itu turut mengalami masalah kelewatan kertas undi.

Menurut ketua cabangnya yang juga Adun Tanah Merah Amran Ghani, kelewatan itu disebabkan masalah logistik ekoran kertas undi yang dihantar menaiki kapal terbang.

"Ahli yang datang hari ini kira-kira 100 orang daripada 1,200 yang mendaftar. Ramai pengundi yang tengok bola malam ni… Kita ada masalah kelewatan kertas undi sebab ibu pejabat hantar naik kapal terbang. Tetapi semua berjalan dengan baik dan kita habis jam 5 petang tadi," katanya yang dihubungi FMT.

Sementara itu, dicabang Rasah Negeri Sembilan turut mengalami situasi yang sama seperti di Kelantan.

Memandangkan perlawanan akhir ini membabitkan dua negeri itu, pengundian pusat ini menerima tempiasnya.

Ketua cabang Rasau Muhammad Kamel Yasin berkata daripada 2,000 ahli PKR yang berdaftar hanya 100 orang yang keluar mengundi hari ini.

"Saya kesal dengan hal ini. Kita beritahu pada ahli bahawa perjuangan kita bukan seperti Umno. Jika sebab perjuangan datang sendiri dan sanggup ke depan dalam memperjuangkan parti.
"Namun disebabkan perlawanan ini ramai ahli dan penyokong turun ke Kuala Lumpur," katanya yang turut kesal dengan perkembangan tersebut.

Empat pelajar IPT edar risalah ditahan


GUA MUSANG — Empat pelajar dari Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) ditahan polis Kelantan hari ini ketika sedang mengedarkan risalah pada kempen pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Kesemua pelajar tersebut ditahan ketika mengedarkan risalah di Bandar Lama Gua Musang kira-kira pukul 1.50 tengah hari.

Mereka dibebaskan pukul 9.15 malam tadi selepas diambil keterangan.

Empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia ditahan ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu kerana bersimpati dengan parti komponen Pakatan Rakyat.

Empat pelajar tersebut adalah Ahmad Syukri Abdul Razak, 25, Mohd Syahrulden Ahmad Rosdi, 22, Mohd Yusof Hadhari, 22, dan Mohd Rijaluden Mohd Anwar, 19.

Mereka merupakan pelajar Kolej Universiti Islam Selangor, Universiti Teknologi Malaysia kampus Kuala Lumpur dan Universiti Malaya.

Seramai 200 pelajar dari Gamis yang menggelarkan diri sebagai “Jentera Mahasiswa PRK Galas” mengedarkan risalah di beberapa kawasan di Galas.

Menurut jurucakap Gamis Ahmad Shukri Kamaruddin, kesemua pelajar itu ditahan sebelum diarahkan ke IPD Gua Musang untuk memberikan keterangan.

“Pada asalnya polis ingin menahan semua pelajar yang mengedarkan risalah namun selepas berbincang hanya empat pelajar yang dibawa bersama mereka.

“Sebenarnya risalah yang kami edarkan tidak ada unsur politik pun cuma mengajak penduduk di Galas ini untuk keluar mengundi pada 4 November ini.

“Dalam risalah yang diedakan tidak menunjukkan kami sokong mana-mana parti,” katanya kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi malam ini.

Tambah Shukri, kesemua pelajar akan pulang ke Kuala Lumpur esok.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyadangnya dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September lepas akibat barah.

DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala PAS meletakkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

Pengundian akan diadakan pada 4 November ini.

Pemilihan PKR: Mustaffa Kamil ‘kuasai’ Perak, mula rapatkan jurang

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub yang ketinggalan pada hari pertama pengundian pemilihan pusat PKR semalam — di bawah sistem pemilihan langsung — mula mendekatkan jurang undi bagi jawatan timbalan presiden dengan memperoleh sokongan besar di Perak.

Sebanyak sembilan cabang melangsungkan pemilihan di Perak hari ini — pada hari kedua pengundian.

“Nampaknya pengundian hari ini campur-campur dengan Mustaffa dapat undi dalam jumlah yang banyak di Perak,” kata seorang pemimpin PKR kepada The Malaysian Insider.

Misalnya di Bagan Serai, Mustaffa mendapat 217 undi manakala Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim masing-masing dapat 22 dan 27 undi.

Pada hari pertama semalam Zaid kuasai pengundian dengan Azmin di tempat kedua.

Selain Bagan Serai, lapan cabang di Perak, negeri yang pengerusinya Mustaffa, mengundi hari ini ialah Gerik, Lenggong, Larut, Parit Buntar, Bukit Gantang, Taiping, Padang Rengas dan Sungai Siput.

Padang Besar: Timbalan Presiden (Mustaffa, 15; Zaid, 6; Asmin 6); Naib Presiden (Mansor, 30; Fuziah, 23; Tian Chua, 23; Sivarasa, 23).

Indera Mahkota: Timbalan Presiden (Azmin, 53, Zaid, 33, Mustaffa 0); Naib Presiden (Nurul Izzah, 56; Sivarasa, 55; Mansor, 53; Tian Chua 43).

Jerantut: Timbalan Presiden (Zaid, 57, Azmin, 12; Mustaffa, 1); Naib Presiden (Fuziah, 38, Sivarasa 31, Tian Chua, 28, Nurul Izzah, 26).

Jempol: Timbalan Presiden (Azmin, 47, Zaid, 1; Mustaffa, 2).

Bachok: Timbalan Presiden (Zaid, 92; Azmin, 3; Mustaffa, 2).

Grik: Timbalan Presiden (Mustaffa, 69; Azmin, 48; Zaid 20).

Tanah Merah: Timbalan Presiden (Azmin, 127; Zaid, 27; Mustaffa, 4).

Arau: Timbalan Presiden (Azmin, 12; Mustaffa, 3; Zaid 1).

Teluk Kemang: Timbalan Presiden (Zaid, 95; Azmin, 35; Mustaffa, 3).

Parit Buntar: Timbalan Presiden (Azmin, 70; Zaid 2).

Grik: Timbalan Presiden (Azmin, 67; Zaid, 20).

Kuala Lipis: Timbalan Presiden (Azmin, 119; Zaid 3).

Ketereh: Timbalan Presiden (Azmin, 120; Zaid 3).

Rasah: Timbalan Presiden (Azmin, 39; Zaid, 15).

Kelantan julang Piala Malaysia, tebus kekalahan 2009

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Kelantan, yang sedang menyaksikan pilihan raya kecil DUN Galas, mencipta sejarah — buat julung kali muncul juara Piala Malaysia dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Pasukan Red Warriors yang tewas tahun lalu di tangan Negeri Sembilan — pasukan Hobin Jang Hobin — menebus kekalahan itu walaupun ketinggalan 0-1 di separuh masa pertama.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala HMS Malaya.

Kelantan kecundang dalam tiga perlawanan akhir sebelum ini.

Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.

Pengadil perlawanan Subkhiddin Mohd Salleh memberi sepakan itu kepada Negeri Sembilan setelah penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjatuhkan S. Kunalan dalam kotak penalti.

Negeri Sembilan terus mengasak pintu gol Kelantan menerusi beberapa serangan namun gagal menembusi kekentalan benteng lawan yang dibarisi Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Farisham Ismail dan Rizal Fahmi Abdul Rosidi.

Bersambung babak kedua, “The Red Warriors” yang ditemani sekurang-kurangya 60,000 penyokong terdesak untuk mencari gol dan melakukan beberapa asakan yang akhirnya membuahkan gol penyamaan pada minit ke-57.

Hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan Ketua Pasukan “The Red Warriors” Indra Putra Mahayuddin yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan.

Kelantan semakin garang apabila Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad.

Ketiadaan tonggak utama Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak yang terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan menyebabkan Negeri Sembilan semakin tertekan apabila ketinggalan 1-2.

Bagi mengukuhkan kubu pertahanan, jurulatih Kelantan B. Sathianathan mengambil tindakan bijak memasukan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Khairan Eroza Razali.

Strategi itu berjaya apabila tamat masa permainan menyaksikan Kelantan muncul juara Piala Malaysia musim ini selepas berjaya mempertahankan kedudukan 2-1 menewaskan Negeri Sembilan.

Nazri: Malaysia tiada halangan Clinton jumpa Anwar

THE MALAYSIAN INSIDER


LENGGONG — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Malaysia tidak menghalang Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton untuk bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatannya ke negara ini bermula Selasa ini.

Nazri memberitahu, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi Malaysia tidak mempunyai masalah jika Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu berhasrat menemui Anwar.

Seperti pemimpin dunia yang lain, Clinton yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia minggu depan boleh menemui Anwar atas sifatnya sebagai Ketua Pembangkang.

“Permintaan itu pun bukan nak jumpa Anwar, tapi nak jumpa ketua pembangkang... ini biasa macam kita pun kalau pergi ke Amerika Syarikat pun di antara orang yang kita berjumpa selain Presiden, kita juga berjumpa dengan ‘Majority Leader’... Senat, ‘Minority Leader’... itu biasa.

“Jadi, kita tak ada apa-apa halangan untuk dia nak berjumpa dengan Anwar tapi jumpa Anwar bukan kerana peribadi tapi kerana sebagai ketua pembangkang, kerana ketua pembangkang merupakan jawatan yang diiktiraf dan dibayar gaji dalam ‘Standing Order’ kita,” kata beliau selepas menyampaikan hadiah dan sijil sempena Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Abdul Aziz di sini hari ini.

Nazri (gambar) berkata Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pemimpin yang mahu mengadakan lawatan rasmi ke negara ini termasuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang di Parlimen.

Beliau berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan negara berdaulat Malaysia tidak perlu takut dengan sesiapa.

Lagipun kata beliau, Malaysia tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan daripada pengetahuan mana-mana pemimpin dunia termasuk Clinton.

Justeru kata Nazri, sebarang kenyataan yang menghalang Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu mahu berjumpa Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, bukannya datang dari Malaysia.

Nazri diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dari California Chuck DeVore yang menasihati Clinton supaya tidak menemui Anwar dalam lawatan rasminya itu.

DeVore dalam portalnya mendakwa Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu tidak perlu menemui Anwar yang mendakwa dirinya

sering menerima tekanan daripada kerajaan.

Menurut DeVore yang mewakili Parti Republikan, Malaysia tidak seburuk Myanmar dan Anwar tidak mengalami nasib sama seperti Aung San Suu Kyi.

Ia merupakan lawatan sulung Clinton ke Malaysia sejak dilantik sebagai Setiausaha Negara di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama.

Amerika Syarikat merupakan rakan dagang dan niaga Malaysia ketiga paling utama, dengan jumlah eksport negara melebihi AS$25 bilion (RM77.5 bilion) setahun.

Sabtu, 30 Oktober 2010

PAS minta 1,557 pengundi luar pulang

Dzulfikar Mashoor

GUA MUSANG: Seramai 1,557 pengundi luar dirayu supaya pulang membuang undi dalam Pilihan Raya Kecil Galas pada 4 November depan, kata Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Menurut Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat (JPPP) itu, PAS negeri sedia menanggung kos perjalanan pulang khususnya mereka yang pulang dari Lembah Klang dan Johor.

"Semua minta rayu mereka balik, kita bayar kos perjalanan mereka," ujarnya.

"Kalau pengundi luar tak balik (mengundi), kita ada risau juga, kalau peratusan pengundi luar menurun, akan memberi kesan.

PAS negeri, katanya sedia memberi RM200 dan RM250 kepada pengundi luar dari Lembah Klang dan Johor.

"Kita ada kaedah tersendiri, apabila balik (ke Galas) datang ke UPU dan kita buat semakan daftar pemilih," ujarnya.

Majoriti mereka katanya, merupakan pengundi muda yang mempunyai kecenderungan politik kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

"Terus terang mereka ini adalah pengundi muda dan pengundi muda kebanyakannya sokong Pakatan Rakyat," ujarnya.

Bagaimana pun, beliau optimis dengan kepulangan pengundi luar akan mengekalkan 81 peratus keluar mengundi sebagaimana dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).

Malah katanya, peningkatan peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil kali ini mampu memenangkan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed pada pilihan raya kecil kali ini.

Pun begitu, beliau berkata, PAS menyimpan sedikit rasa risau sekiranya peratus keluar mengundi di kalangan pengundi luar menurun.

"Kalau peratusan turun mengundi mereka turun (berkurangan), akan memberi kesan," beliau menambah.

Sebanyak 675 pengundi luar berdaftar adalah berbangsa Melayu manakala 217 adalah Cina.

Hari pembungan undi yang jatuh pada hari bekerja dijangkakan akan mempengaruhi mood rakyat keluar mengundi.

Pergi baju merah, pulang baju hijau

Hafiz Irwan

GUA MUSANG: Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman mengingatkan 200 penyokong bola sepak Kelantan dari Dun Galas yang akan ke Bukit Jalil supaya menjaga disiplin sebagai seorang penyokong yang berhemah.

Katanya, para penyokong seharusnya menjaga kewajipan sebagai seorang Islam sebagaimana tuntutan agama.

"Islam tidak menghalang umatnya menyertai apa-apa aktiviti termasuklah bermain atau menonton apa jua bentuk permainan sukan termasuk bola sepak asalkan ia tidak bercanggah dengan norma-norma agama.

"Sebab itu kerajaan PAS sentiasa menyokong aktiviti yang boleh mendatangkan manfaat kepada semua ummah. Cuma satu perkara yang perlu kita jaga ialah, elakkan diri daripada keghairahan yang melampau sehingga menyebabkan kita lalai terhadap kewajipan kita sebagai umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan pelepasan konvoi lima buah bas membawa 200 penyokong bola sepak Kelantan ke Stadium Nasional Bukit Jalil pagi tadi, untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan.

Hadir sama calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed serta barisan kepimpinan Pemuda PAS negeri.

Abdul Latiff mengharapkan Kelantan dapat mencipta sejarah menerusi aksi perlawanan akhir yang akan berlangsung malam ini untuk menjulang juara piala Malaysia yang sememangnya menjadi idaman rakyat Kelantan selama ini.

"Insya Allah kita akan bertemu dengan dua kemenangan selepas ini. Satu, menang Piala Malaysia. Kedua menang Pilihan Raya Kecil di Galas.

"Jadi, hari kita pergi dengan memakai baju merah sebagai tanda sokongan kepada skuad bola sepak kita, insya Allah pulang nanti dengan memakai baju hijau," katanya sambil disambut laungan takbir.

Beliau turut mengingatkan para penyokong yang mengikuti rombongan tersebut agar selain pergi dengan semangat kesukanan tetapi tidak lupa untuk menjaga sembahyang sebagai ibadat fardhu.

Abdul Latiff berkata, Pemuda akan menempatkan seorang wakilnya sebagai ketua pada setiap buah bas yang membawa rombongan bagi menjaga segala keperluan yang berkaitan.

"Wakil Pemuda ini akan menyusun segala perisian yang perlu kepada penyokong seperti menjaga waktu sembahyang dan tazkirah semasa dalam perjalanan," jelasnya.

Sementara itu, dalam ucapan ringkas Dr Zulkefli berpesan kepada para penyokong supaya menjaga akhlak diri ketika menyaksikan perlawanan akhir yang dilihat agak sengit ini.

"Jaga disiplin. Jaga nama baik negeri kita, negeri Kelantan. Saya doakan selamat pergi dan selamat kembali untuk meneruskan perjuangan bagi memastikan pilihan raya kecil Galas menjadi milik kita," ujarnya.

Umno peralat agama, orang agama untuk politik

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Umno bukan sahaja mahir memperalat agama, malah orang agama juga dipergunakan untuk kepentingan politik mereka, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Katanya, dakwaan berhubung perkara itu bukan fitnah, tapi realiti yang sudah diketahui umum.

Beliau merujuk kepada cara kempen Umno di Galas yang memainkan isu agama.

"Ustaz-ustaz Umno disuruh berkempen untuk menghalalkan apa yang Umno buat.

"Merekalah orang yang mencari dalil untuk menghalalkan arak, judi dan program maksiat yang ditaja oleh kerajaan umno BN," katanya.

Namun apa yang menghairankan katanya, ketika isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menjadi penaung kepada Festival Fesyen Islam di Monte Carlo, Monarco pada 9 Ogos 2010, orang agama di dalam Umno membisu, seolah-olah mulut penuh dengan sagon, tidak berani tegur.

"Mana suara ustaz umno apabila kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP)?," soalnya.

Katanya, banyak lagi bukti orang agama di dalam Umno hanya menjadi tukang baca doa dan marhaban sahaja tidak lebih daripada itu.

Orang agama di dalam umno ujarnya hanyalah membesarkan tembolok sahaja.

Mereka hanya mencari hujah untuk melawan dengan PAS.

Ianya termasuk isu orang bukan Islam masuk masjid yang dibenarkan melalui keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Hujah berkenaan dengan sumber judi telah makan diri sendiri.

"Rakyat mula berkata, umno haram duit judi, tetapi halalkan lesen judi," katanya.

Beliau turut mempersoal ke mana pergi orang-orang agama di dalam umno yang berkelulusan tinggi, seperti Dr Hamid Osman, Dr Abdullah Mohd Zin, Dr Yusuf Nor, Ustaz Zainal Abidin Abd Kadir, Datuk Dasuki Haji Ahmad, Ustaz Fadhil Hanafi, Dr Amran Kasimin.

"Kenapakah isteri Presiden Umno tidak bertudung mereka membisu," katanya.

Puting beliung landa Kangar

BERNAMA


Lebih 50 buah rumah, kedai makan dan bengkel membaiki kenderaan di sekitar Jejawi dekat Kangar rosak akibat angin puting beliung semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Perlis Mansor Jusoh berkata kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 6 petang menyebabkan kerugian sekitar RM100,000.

Baitul Mal Perlis dan Unit Pembangunan Insan Perlis akan membantu mereka yang terlibat membaiki rumah, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menilai kerugian sebenar, katanya kepada pemberita ketika melawat mereka yang terlibat hari ini.

Katanya walaupun sebuah pusat pemindahan dibuka sejak malam tadi, kebanyakan penduduk lebih selesa tinggal sementara bersama saudara-mara.

Sementara itu seorang penduduk, Rohana Abdul Rahman, 52, berkata ketika kejadian dia berada seorang diri di rumah dan terdengar bunyi bising serta rumahnya bergegar.

"Saya melihat macam ada benda putih di luar rumah dan dalam sekelip mata pintu hadapan pecah dan bumbung diterbangkan angin," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, semua yang terlibat hari ini menerima bantuan awal daripada Yayasan Pok dan Kassim (YPK) dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 seorang dan beras.


Pemilihan AMK: Shamsul hanya dahului 9 undi

Abdul Rahim Sabri

Persaingan merebut jawatan Ketua Pemuda PKR (AMK) antara penyandangnya Shamsul Iskandar Md Akin dengan pencabarnya ahli Majlis Pimpinan Pusat Badrul Hisham Shaharin bermula dengan amat sengit.

Selepas sembilan cabang selesai bermesyuarat semalam, Shamsul Iskandar mendahului Badrul Hisham - atau lebih dikenali sebagai Chegubard - hanya dengan perbezaan sembilan undi sahaja.

Menurut keputusan rasmi daripada ibu pejabat PKR, Shamsul Iskandar mendapat 136 undi, manakala Badrul Hisham memperolehi 127 undi.

Manakala, bagi jawatan nombor dua pula, Ketua AMK Selangor Khairul Anuar Ahmad Zainuddin - yang merupakan regu Shamsul - meraih 193 undi.

Sementara ADUN Teja Chang Lih Kang - gandingan Chegu Bad - mendapat 54 undi.

Tiga calon yang memperolehi undi terbanyak bagi mengisi jawatan naib ketua AMK, setakat ini, ialah Azmizam Zaman Huri (156), Erveana Ansari Ali (113) dan V Sivam mendapat 96 undi.

Wanita: Zuraida bermula baik

Bagi jawatan ketua Wanita pula,- seperti yang dijangka, penyandangnya Zuraida Kamaruddin setakat ini mendahului dua lagi pesaingnya dengan 178 undi.

Suraya Sudin mendapat 98 undi, manakala Aniamah Ferrar memperolehi 32 undi.

Bagi jawatan timbalan ketua Wanita, penyandangnya, Rodziah Ismail mendahului pencabarnya Asmah Abd Kadir.

Rodziah yang juga exco kerajaan Selangor mendapat 192 undi berbanding Asmah yang dengan hanya 35 undi.

Tiga calon mendapat undi terbanyak bagi jawatan naib ketua Wanita iaitu timbalan speaker DUN Selangor Haniza Talha (138), ADUN Rawang Gan Pei Nie (125) dan Noor Sham Abu Samah (120).

Hari ini, sebanyak 32 lagi cabang di seluruh negara akan mengadakan pemilihan masing-masing pada hari ini.

Negeri terbabit: Kedah (2 cabang), Kelantan (5), Pahang (7), Negeri Sembilan (6), Perak (9) dan Perlis (3).

Hillary Clinton bertemu Anwar Ibrahim?

MALAYSIA KINI


Setiasusaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Clinton akan mengadakan pertemuan dengan kumpulan NGO dalam lawatan rasmi sulungnya ke Malaysia minggu depan walaupun format perbincangannya masih belum ditentukan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Informasi kedutaan AS di Kuala Lumpur Tina Malone masih belum dapat menjelaskan sama ada pertemuan tersebut akan dibuat dalam bentuk dialog.

Bagaimanapun, akan terdapat "interaksi dengan kumpulan NGO" apabila Clinton (kanan) tiba bagi memenuhi sebahagian daripada siri lawatannya ke Asia minggu depan, kata Malone.

Sebelum ini, NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) pernah memohon untuk membincangkan isu-isu yang menyentuh kedua-dua negara.

Sebelum ini juga, terdapat desas desus bahawa lawatan tiga harinya ke Malaysia turut melibatkan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat sebelum beliau bertolak ke Papua New Guinea pada 3 November.

Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) juga dijangkan menganjurkan acara dengan Clinton bagi mempamerkan kerjasamanya dengan beberapa syarikat AS.

MAS juga dalam kenyataan akhbarnya berkata syarikat penerbangan negara itu juga akan menunjukkan pesawat B737-800 yang dijadual tiba pada 1 November, untuk pameran pada hari berikutnya.

Masih terdapat laporan bercanggah sama ada Clinton "mahu" menemui Anwar dalam lawatannya.

PAS tetap alukan Sultan ke Galas

Salhan K Ahmad

Pengarah pilihan raya kecil DUN Galas Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menyerahkan kepada perkenan Tuanku Muhammad V sama ada akan hadir ke Gua Musang bagi satu program seperti yang disebut-sebutkan sebelum ini.

Cakap-cakap mengenai program berkenaan telahpun dinafikan oleh pengelola istana Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad semalam, namun kedatangan baginda ke itu tetap dialu-alukan oleh PAS.

"Sebab itu atas perkenan tuanku Duli Yang Maha Mulia, dia nak buat bila-bila masa itu di pihak Sultan. Kita tidak boleh jawab di sini sebab itu urusan tuanku sendiri," kata Abdul Halim (kiri) dalam satu sidang media pagi ini.

Beliau juga menafikan tanggapan bahawa PAS cuba mengheret institusi diraja dalam isu tersebut seperti yang didakwa.

"Kita tidak pernah (minta Tuanku hadir), saya sendiri atau Datuk Wan (Abdul Rahim Abdul Rahman) pun tidak pernah telefon untuk minta (Tuanku hadir ke program PAS), tak pernah," katanya lagi.

Ditanya kesan yang mungkin timbul sekiranya Tuanku Muhammad V benar-benar hadir ke Galas, Abdul Halim berkata perkara itu tidak dapat dinilai olehnya.

"Sama ada kehadiran itu memberi kesan atau tidak, saya tidak boleh nak jawab. Tapi bagi kita, kita tidak nilai di situ, tidak ada penilaian besar di situ.

"Tapi kalau kehadiran itu (benar-benar berlaku), kita alu-alukanlah bagi pihak PAS. Mungkin di kalangan orang yang menerima itu kesannya ada.

"Maknanya kalau dia menyampaikan geran, tentulah (bagi) yang menerima daripada Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) (atau) tuanku ini lebih (baik) daripada tuanku lah. Itu memang memberi kesan di situ.

"Tapi bagi orang ramai ini, yang kita pun tak hadir, saya pun tak tahu. Tak ada kesan langsunglah,

"Sebab belum berlaku lagi. Kita tidak tahu lagi," katanya yang turut menjelaskan bahawa isu pemilikan tanah adalah melibatkan pejabat tanah serta kerajaan negeri, tanpa melibatkan Tuanku Muhammad V.

Gula-gula PRK Batu Sapi mula ditabur?

SABAH DAILY

Batu Sapi - Dewan Pemuda Pas Sabah berasa kesal dengan tindakan Barisan Nasional yang menjadikan taraf kewarganegaraan dan sijil kelahiran sebagai gula-gula untuk kempen politik mereka semata-mata, kata Ketua Penerangannya Salman Mohd Amin.

Menurut laman web kementerian Penerangan Malaysia, Majlis Penganugerahan Taraf
Kewarganegaraan dan Penyerahan Sijil Kelahiran Kepada Penduduk tersebut diadakan pada 3 November 2010 (Rabu)jam 8.00 pagi di Kawasan Flat MPS Karamunting, Sandakan oleh YB Dato' Lee Chee Leong, Timb Menteri Dalam Negeri.

Pemberian taraf kewarganegaraan merupakan hak dan kedaulatan negeri ini dan tidak boleh dijadikan bahan kempen politik semata-mata terutamanya untuk meraih undi.

Kata Salman, persoalannya mengapa pemberian tersebut baru sekarang diadakan ketika kempen pilihanraya sedangkan banyak lagi waktu yang sesuai untuk mengurniakan taraf warganegara kepada masyarakat Batu Sapi yang terlibat.

Selain menjadikan hak dan kedaulatan sebagai gula-gula pilihanraya, Bn sebenarnya telah menyalahgunakan hak dan kedaulatan negara ini sesuka hati mereka, tegas Salman.

Seharusnya, Bn yang menerajui kerajaan pada hari ini mengambil langkah menyelesaikan isu kad pengenalan yang menghimpit sebahagian masyarakat di Sabah sejak dulu lagi.

"Banyak lagi kes-kes kad pengenalan yang belum selesai akibat kegagalan Bn sebelum ini mengurus dan mentadbir dengan baik isu kerakyatan ini"

Penyalahgunaan kuasa ini telah mengakibatkan wujudnya sentimen berunsur negatif dikalangan masyarakat tempatan sedangkan isu ini berpunca daripada mereka (Bn) sendiri, ujar beliau lagi.

Tambah beliau lagi, isu kad pengenalan ini tidak akan selesai sampai bila-bila selagi
kerajaan Umno-Bn terus menjadikan kedaulatan negara dan rakyat negeri ini sebagai mangsa kepada cita-cita politik sempit mereka.

katanya lagi, seperti petua yang diambil dari Tuan guru Nik Aziz Nik Mat agar masyarakat di Batu Sapi mesti menjadi pengundi yang bijak.

"apa juga bentuk barang yang cuba diberikan kepada masyarakat Batu Sapi oleh Bn tidak perlu di tolak tetapi undi mesti diberikan kepada Pakatan Rakyat"

Batu Sapi - kayu pengukur masa depan BN

Oleh : wargamarhaen.blogspot.com

Batu Sapi akan menghadapi PRK kerana kematian Ahli Parlimennya Edmund dilebuhraya Sembulan Tanjung Aru 2 minggu yang lepas akibat kemalngan jalaraya. Kematian Ahli Parlimen yang mewakili PBS ini memaksa diadakan PRK dalam mana pertandingan 3 pejuru diantara BN (PBS), SAPP dan PKR yang akan berlaku serentak dengan PRK DUN Galas pada 4hb November ini.

NONEDalam banyak-banyak ‘input’ yang saya sendiri perolehi dari Sabah, Yong Teck Lee, calun SAPP dikatakan mampu untuk memberikan cabaran sengit kepada calun BN parti penyandang kepada kawasan Parlimen Batu Sapi ini. Bekas Ketua Menteri ini yang merupakan Presiden SAPP yang telah membawa partinya keluar dari BN awal tahun lepas nampaknya mempunyai ‘advantage’ jika dibandingkan dengan dua calun yang lain.

Sebagaimana ditempat-tempat yang lain isu nasional dan isu tempatan adalah isu yang besar yang bermain didalam pemikiran rakyat Sabah amnya dan juga pengundi diBatu Sapi khasnya. Penolakkan rakyat dan pengundi kepada BN diSemenanjung pada pilihanraya 2008 yang lalu sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi dalam PRK Batu Sapi ini. Ramai berpendapat pengundi Sabah telah memberikan sokongan yang padu kepada BN dalam pilihanraya yang lalu kerana mereka tidak menyangka yang penolakkan rakyat diSemenanjung terhadap BN begitu kuat.

Jika mereka dari awal telah menjangka yang diSemnanjung BN boleh kehilangan 80 kerusi parlimen, mereka secara terang-terang akan mengikut trend perubahan itu diSabah. Oleh kerana mereka tidak dapat merasakan angin perubahan itu maka mereka memberikan sokongan yang padu kepada calun-calun BN dan diSabah BN telah memenangi 100 peratus kerusi parlimen yang ditandinginya dan Sabah adalah ‘fixed deposit’ bagi BN.

Tetapi sekarang pengundi diSabah sedikit sebanyak merasakan mengundi pihak pembangkang bukan lagi satu isu besar lagi dan ini dirasakan oleh ramai kumpulan pengundi atas pagar. Sebagai seorang yang pernah menjadi Ketua Menteri Yong masih mempunyai 'network' politik yang menyeluruh terutamanya dikalangan orang Cina termasuk diBatu Sapi.

Yong merupakan tempat orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan diSabah sekarang ini. Dikalangan pemimpin-pemimpin diSabah mereka berpecah diantara satu dengan lain dan ditambah pula dengan isu yang dihadapi oleh Ketua Menterinya sendiri yang sedang hebuh diperkatakan oleh masyarakat.

NONEIsu peribadi Musa Aman yang sedang dihadapinya menyebabkan beliau tidak mendapat sokongan padu dari pemimpin dalam komponen BN sendiri dan untuk mengalihkan sokongan kepada pihak-pihak yang membangkang agak mudah seperti mana yang berlaku diSemenanjung tanah air. Janji PM Najib untuk merobah kepimpinan diperingkat negeri untuk membersihkan imej parti semasa Perhimpunan Agong UMNO baru-baru ini diharapkan akan melibatkan juga kepimpinan diSabah.

Dengan penyertaan Ansari dari PKR dalam PRK ini ianya akan memberikan beban yang lebih kepada BN kerana perpecahan undi dari Melayu dan Bumiputra yang merangkumi 60 perataus dari 25582 pengundi berdaftar dikawasan ini. Fenomena ini juga akan memberikan kelebihan kepada Yong Teck Lee. Seandainya Yong mendapat hanya 38 peratus dari mereka yang keluar mengundi peluang bagi Yong untuk memenangi kerusi Batu Sapi ini akan lebih cerah.

Walau bagaimana pun dalam politik berbagai-bagai kemungkinan akan terjadi. Tetapi kita kena akui untk BN mengekalkan kerusi Batu Sapi kali ini ianya memerlukan cara pendekatan pengundi yang berbeza dari yang selalu kita lakukan. Hanya orang Sabah sahaja yang sepatutnya faham bagaimana untuk meraih sokongan dari pengundi dikawasan ini.

Jika kerusi ini dimenangi oleh SAPP melalui Presidennya ini maka BN kehilangan satu lagi suara diDewan Parlimen dan sekali gus rakyat masih lagi tidak dapat menerima segala pembaharuan yang dijanjikan oleh pucuk pimpinan kita diKuala Lumpur.

Kemenangan Yong Teck Lee akan memberi gambaran yang trend penolakkan BN yang berlaku diSibu, Sarawak tidak berapa lama dahulu itu akan menular keSabah pula. Maka BN terpaksa mencari jalan lain untuk mengekang kemaraan parti alternative untuk menghampiri Putrajaya selepas PRU yang akan datang.

Kita tengok kali ini; samada BN benar-benar telah memilih ‘winable candidate’ atau pemilihan calun yang didasarkan kepada jawatan parti yang dipegangnya. Kita mesti ingat yang seseorang yang laku kepada parti mereka tidak semestinya laku kepada rakyat ramai yang mengundi.

Begitu jugalah didalam UMNO; yang berjaya memegang jawatan parti tidak semestinya memenangi hati rakyat. Jika seseorang yang memenangi jawatan dalam parti itu adalah juga yang disenangi oleh rakyat ramai masakan banyak calun UMNO jatuh tersungkur dalam PRU yang lalu.

Tetapi masih lagi ramai pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli kita sedang dibuai oleh sindrom penafian kepada hakikat ini. Mungkin kita terpaksa menghadapi kekalahan mutlak dahulu sebelum kita menerima hakikat yang kita perlu perubahan secara ‘structural’ kepada parti kita.

Jika kita kalah secara ‘total’ adalah ditakuti kita tidak mampu bangun lagi kerana kita tidak lagi pernah mengalami menjadi pembangkang diperingkat pusat. Kita sama-sama sedang melihat bagaimana terseksa UMNO/BN untuk kembali memenangi hati rakyat dinegeri-negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

BN diSelangor, Perak, Kedah, dan P Pinang serta Wilayah Persekutuan sampai sekarang belum lagi mampu untuk mencari seseorang yang sesuai mengikut kehendak rakyat siapa yang akan menjadi MB atau KM jika UMNO ingin mengambil kembali kuasa dari tangan Pakatan Rakyat.


Pemimpin Umno-BN Sibuk Kumpul Timbunan Harta, Rakyat Miskin Terus Merana

Oleh Dzulkarnain Taib

Ansari_KgGas2SANDAKAN - Pemimpin Barisan Nasional Sabah hidup bermewah-mewahan dan sibuk mengumpul harta benda hinggakan kebajikan dan hak rakyat di abaikan lalu menyebabkan warga negeri yang kaya dengan sumber alam ini hidup miskin dan melarat.

Calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Ansari Abdullah berkata dalam kesibukan pemimpin BN mengejar kekayaan mereka telah melupakan tanggungjawab asas membela nasib rakyat miskin dan golongan yang memerlukan bantuan.

Bercakap kepada penduduk Kampung Cenderamata, sebuah penempatan setinggan di pinggir Sandakan semalam, Ansari menambah kegagalan pemimpin yang kononnya berpegang kepada prinsip 'rakyat didahulukan' menyebabkan antara lain masalah perumahan rakyat tidak diatasi, bekalan air dan elektrik tidak dibekalkan, jalan raya berlubang dan tidak berturap serta tidak ada khidmat pengangkutan sampah.

"Ini adalah faktor utama mengapa pengundi Cina di Batu Sapi menolak BN menyebabkan mendiang Edmund Chong kalah di semua kawasan majoriti Cina. Mereka pindah ke Batu 4 dan Batu 7 kerana keselamatan mereka tidak terjamin disebabkan masalah pendatang asing yang sudah tidak terbendung lagi. Akhirnya ekonomi kawasan Tanah Merah dan Bandar Leila di mana dahulunya ramai penduduk Cina semakin kosong dan sudah menjadi 'slum'.

"Malangnya yang memenangkan Edmund Chong ketika itu adalah pengundi Melayu di kawasan Melayu yang hidup melarat dengan pendapatan rata-rata RM200 hingga RM300 sebulan yang hidup di kawasan setinggan yang kotor dan tidak terurus.Ansari_Kggas
"Kalau pengundi Cina yang menguasai perniagaan di Batu Sapi sudah tolak BN mengapa pengundi Melayu yang miskin masih mahu terus menyokong BN yang telah mengkhianati mereka," tanya Ansari.

Suara Keadilan yang mengikuti rombongan Ansari ke ceramah kelompok di kawasan tersebut mendapati kampung setinggan itu amat kotor sekali dengan sampah sarap di merata tempat serta mengeluarkan bau yang meloyakan.

Malah jambatan katu (catwalk) yang digunakan oleh penduduk kampung untuk berjala di celah ratusan rumah kayu yang usang dan bertampal dengan zink buruk sudah berlubang-lubang dan membahayakan pejalan kaki.

"Pakatan Rakyat berharap pengundi Batu Sapi mengambil sikap rakyat di Sibu yang mengambil keputusan menolak BN sekali gus menamatkan riwayat parti itu.

"Tuhan telah memberi peluang kepada rakyat Batu Sapi untuk melihat samada mereka mahu membuat perubahan atau tidak , kerana Tuhan tidak mengubah sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah nasib mereka.

Ansari_KgGas3"Kemenangan kerusi Parlimen yang pertama bagi Parti Keadilan Rakyat di seluruh Borneo akan menandakan runtuhnya Putrajaya pada pilihan raya umum nanti. Ayuh mari kita sama-sama buat perubahan di batu Sapi dan insyaAllah kemenangan di tangan kita," kata Ansari menyuntik semangat kepada penyokong.

Sebelum itu ketika sampai di Kampung Gas baru, sebuah lagi penempatan setinggan, secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus menyebabkan Ansari terpaksa memberi penerangan berlampukan lilin.

"Inilah akibatnya mengundi BN. Di Semenanjung kalau terputus bekalan elektrik dua minit sahaja riuh satu Semenanjung tetapi di Sabah terutamanya di Batu Sapi rakyat hanya menyerah kepada takdir apabila hari ini ada eletrik, luas tiada, lepas itu ada, dua hari tiada dan begitulah seterusnya yang berlaku selama berpuluh-puluh tahun. Negeri kaya, pemimpin BN yang kenyang dan rakyat terus dihimpit kemiskinan," tegas beliau lagi.

Sokongan Meningkat, PR Tembus Kubu Kuat Umno-BN Di Batu Sapi

Oleh Dzulkarnain Taib

IMG_3705SANDAKAN - Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa optimis terhadap peluang Pakatan Rakyat memenangi kerusi Batu Sapi pada pilihan raya kecil 4 November berdasarkan kepada respons yang baik dari pengundi serta kejayaan menembusi beberapa kawasan yang dahulunya kubu kuat Umno.

Anwar yang tiba di Sandakan semalam untuk membantu memantapakan jentera pilihan raya Pakatan Rakyat di sini berkakat kejayaan di Batu Sapi seterusnya akan mempunyai kesan yang besar pada peringkat negeri Sabah dan seluruh negara untuk membuat perubahan kerajaan pusat.

"Saya tinjau di beberapa kawasan Batu Sapi dan dapati sesetengah kawasan amat keterbelakang dari segi pembangunan seperti Semenanjung 30 tahun dahulu. Ini jelas membuktikan walaupun BN sudah memerintah Sabah hampir 50 tahun parti itu gagal membantu rakyat malah membiarkan rakyat terus dihimpit kemiskinan.

"Walaupun kita berjaya menembusi kawasan-kawasan ini cabaran kita ialah merayu kepada mereka supaya berani membuat perubahan sebagaimana pengundi Sibu.

"Lihat sahaja insiden jambatan runtuh semalam yang melibatkan calon kita, Ansari Abdullah. Berbilion bilion balak di ambil dari Sabah, tidak boleh kalah satu atau dia batang balak di korbankan untuk membuat jambatan bagi orang miskin di Batu Sapi? Adakah nilai orang Islam di Batu Sapi hanya RM200 sahaja setiap kali datang pilihan raya?" kata Anwar pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Parti Keadilan Rakyat pagi tagi.

Anwar berkata rakyat menyambut baik apabila mendengar penerangan mengenai kejayaan dasar pembangunan ekonomi dan kebajikan di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat di Semenanjung.IMG_3717

Rakyat Batu Sapi dan Sabah juga berpeluang menikmati dasar air percuma, bantuan kepada warga emas, pelajar universiti dan mikrkredir kalau mereka memilih Pakatan Rakyat mewakili mereka di Parlimen.

"Kita cakap apa yang kita sudah buat bukan janji kosong macam Umno-BN

Ditanya mengenai tahap sokongan pengundi dan masyarakat Cina, Anwar berkata beliau yakin sokongan akan bertambah dalam beberapa hari sebelum hari mengundi terhadap Pakatan Rakyat daripada 40 peratus setakat ini.

Mengenai Parti Maju Sabah, Anwar berkata Pakatan Rakyat sudah bersikap lunak dan berlembut terhadap parti tersebut tetapi presidennya, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkeras dan mengambil sikap tidak mahu berkompromi.

"Kita berbincang secara baik tetapi Sapp tidak mahu menunjukkan komitmen mereka menentang Barisan Nasional. Jadi kita tidak tahu sejauh mana parti ini serius untuk membuat reformasi dan perubahan walaupun pada mulanya mereka menjadi bebas namapakm sedikit harapan tetapi tidak lagi sekarang," tegas Anwar lagi.

Sebelum itu Anwar menemui pengundi di Lupak Meluas dan menyeru mereka melipat gandakan usaha untuk menyebarkan mesej Pakatan Rakyat kepada rakyat Batu Sapi.

"Anak-anak muda harus sebarkan pesanan ini kepada kawan-kawan, ibubapa dan jiran mereka supaya angin perubahan yang ingin di bawa oleh Pakatan Rakyat sampai ke pengetahuan mereka," kata beliau.

AMK Sabah Buat Laporan Polis Terhadap Kroni Musa Aman Berhubung Wang Haram

Oleh Dzulkarnain Taib

IMG_3722SANDAKAN - Ketua Angkatan Muda KEADILAN Sabah, Abdul Razak Jamil hari ini membuat laporan polis terhadap seorang rakyat Sabah yang dikaitkan dengan skandal pengubahan wang haram berjumlah RM16 juta dan didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Menteri,
Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Dalam laporannya, Abdul Razak berkata kroni Musa yang bernama Michael Chia telah di tahan oleh pihak polis Hong Kong di lapangan terbang antarabangsa pulau itu tahun lalu kerana disyakki membawa bersamanya wang haram tersebut.

Ekoran daripada itu, Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin telah pergi ke Hong Kong untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) terhadap Chia.

Abdul Razak yang tiba di Balai Polis Sandakan kira-kira pukul 1.00 tengahari di soalsiasat oleh pegawai penyiasat selama hampir satu jam.

"Pihak polis tanya saya sebagai seorang peguam Polis DiRaja Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat kes ini. Saya menjawab aktiviti pengubahan wang haram adalah bidang kuasa ICAC tetapi saya berpandangan PDRM mempunyai kuasa menyiasat sumber dan kepada siapa wang tersebut diserahkan.

"AMK Sabah menggesa pihak polis menjalankan siasatan rapi terhadap dakwaan ini kerana kita mahu samada wang haram yang di bawa keluar tersebut adalah milik rakyat Sabah," kata beliau kepada Suara Keadilan.

Pada 2 Oktober 2009 Shamsul membuat laporan kepada ICAC di Hong Kong mengenai penahanan Chia di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kerana disyaki membawa wang haram di dalam matawang Singapura berjumlah RM16 juta.

ICAC kemudiannya telah membuka kertas siasatan terhadap Chia.

Ansari Sedia Tukar Tajuk, Debat Dengan Ketua Menteri

Oleh Dzulkarnain Taib

IMG_3709SANDAKAN - Calon Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Batu Sapi, Ansari Abdullah berkata beliau bersetuju menukar tajuk Debat Perdana anjuran Pakatan Rakyat yang bakal di adakan esok sekiranya calon Barisan Nasional dan Parti Maju Sabah (Sapp) bersetuju mengambil bahagian dalam acara tersebut.

"Saya tidak ada masalah kalau Datuk Yong mahu menukar tajuk daripada tema agenda setiap calon kepada pengundi Bastu Sapi kepada soal otonomi jika beliau mahu. Jika calon BN tidak selesa berdebat disebabkan masalah pertuturan Bahasa Malaysia, saya minta Ketua Menteri sendiri ambil bahagian.

"Kita mahu jayakan acara debat ini supaya pengundi Batu Sapi mampu membuat keputusan yang terpilih bagi memilih calon mereka ke Parlimen. Debat ini bukan dianjurkan atas dasar saya sebagai Ketua Cabang Tuaran tetapi sebagai calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil Batu Sapi," kata Ansari pada sidang media di Bilik Gerakan Parti Keadilan Rakyat pagi tadi.

Ansari juga membidas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahalan yang mendakwa kejadian jambatan kayu yang runtuh semalam semasa lawatan beliau ke Kampung Gas Besar dirancang.

"Ada dua jurugambar yang berada di tempat kejadian, mereka boleh memberi keterangan. Saya juga dedahkan keangkuhan Umno dan BN daripada kenyataan Reezal Merican yang mendakwa kejadian itu adalah sumpahan Batu Sapi terhadap diri saya. Saya rasa biar dia tengok bangunan kerajaan yang tidak dijaga di Batu Sapi sebelum dia kata kepada saya.

Bangunan setinggi tujuh tingkat itu tidak ada lif dan bayangkan rakyat terpangsa menaikki tangga sebanyak tujuh tingkat untuk menyelesaikan masalah mereka, Bayangkan ia berlaku kepada kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Tarikh Lihat Anak Bulan Aidiladha Petang 6 November

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia menetapkan tarikh melihat anak bulan Zulhijjah pada 6 November ini, bersamaan 29 Zulkaedah.

Perkara itu telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Majlis Raja-Raja juga turut mempersetujui cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Sementara itu, 30 lokasi di seluruh negara ditetapkan untuk melihat anak bulan Zulhijjah, iaitu:

1. Pontian Kecil, Johor.

2. Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.

3. Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

4. Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor.

5. Pulau Angsa, daerah Kuala Selangor, Selangor.

6. Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor.

7. Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, selangor Darul Ehsan

8. Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak.

9. Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

10. Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah.

11. Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah.

12. Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah.

13. Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu.

14. Bukit Kemuning, Kemaman, Terengganu.

15. Pulau Perhentian, Besut, Terengganu.

16. Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu.

17. Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Kelantan.

18. Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, daerah Olak Jeram, Kuala Krai, Kelantan.

19. Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Baharu, Kelantan.

20. Tanjong Lubang, Miri, Sarawak.

21. Teluk Bandung, Kuching, Sarawak. 22. Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak.

23. Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah. 24. Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang. 25. Gunung Berincang, Cameron Highlands, Pahang. 26. Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang.

27. Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan.

28. Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.

29. Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya.

30. Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah akan membuat perisytiharan mengenai tarikh Hari Raya Qurban, menerusi radio dan televisyen pada malam itu juga.

Memorandum bantahan kepada KPN: Penangkapan dan penahanan saksi inkues

MERDEKA REVIEW

Pengenalan

Penurunan prestasi PDRM secara berterusan ke arah tidak memperdulikan undang-undang dapat dilihat dengan jelas dalam peristiwa penangkapan dan pemukulan K. Selvach Sathiran pada 25 Oktober lalu. Dia dipukul dan ditangkap oleh sekumpulan lelaki berpakaian biasa yang mendakwa diri mereka sebagai anggota polis yang tidak memperkenalkan diri mereka secara jelas. Selvach merupakan salah seorang saksi utama yang membuat kenyataan terhadap polis dalam inkues kes kematian R. Gunasegaran dalam tahanan pihak polis yang diputuskan baru-baru ini.

Pada hari keputusan itu disampaikan dalam inkues tersebut, polis bertindak ke atas Selvach dan datang ke rumahnya untuk menangkapnya. Ketika anak-anak Selvach bertanya kepada polis mengapa ayah mereka diseret pergi, polis menjawab dengan memukul Selvach di hadapan anak-anaknya sendiri. Pihak polis dalam memutarbelit kasih sayang suami isteri, cuba membuat S.Saraswathy (gambar kiri), isteri kepada Selvach untuk mencium suaminya, sebelum memukul Selvach di hadapan isterinya.

Selvach telah melaksanakan tugasnya sebagai warga yang bertanggungjawab dengan memaklumkan kebenaran berkenaan kematian R.Gunasegaran dalam inkues kematian di dalam tahanan polis. Selvach kini ditahan di suatu tempat yang tidak diketahui tanpa dibenarkan untuk dihubungi oleh keluarga dan peguam, biarpun banyak usaha telah dibuat untuk menemuinya atau mengetahui kedudukannya.

Difahamkan dia kini ditahan tanpa bicara dibawah undang-undang menindas Ordinan (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) Darurat 1969 ataupun Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 yang membenarkan polis menahan seseorang itu bagi tempoh 60 hari tanpa sebarang perlindungan kehakiman dan kemudiannya perintah penahanan selama 2 tahun oleh Menteri Dalam Negeri.

Bantahan Kami

Sementara kami memahami bahawa pihak polis mempunyai tugas penting dan berat untuk mencegah dan membanteras jenayah, namun polis juga perlu memahami bidang kuasa luas penangkapan dan penahanan tidak boleh disalahgunakan dan digunakan sewenang-wenangnya. Sebagai pasukan polis yang profesional, mereka harus dipandu oleh undang-undang dan proses undang-undang di negara ini dan tidak boleh bertindak dengan kebebasan atau sesuka hati dan tidak mengendahkan perlindungan perlembagaan dan kehakiman.

Hal ini malangnya menunjukkan gejala ketidakmampuan pihak polis untuk bertindak profesional sebagai pasukan polis yang boleh bekerja dalam sistem kehakiman jenayah moden dan tidak menggunakan langkah-langkah pencegahan yang tidak memerlukan ketekunan dan kerja-kerja polis yang sebenar. Pasukan polis seharusnya bekerja keras untuk menjadi sebuah pasukan moden dan profesional yang sesuai dengan piawaian antarabangsa serta dengan amalan terbaik dan tidak mundur dengan amalan salah yang menyebabkan masyarakat banyak hilang kepercayaan terhadap pasukan polis.

Tindak balas ganas dan tidak sah di sisi undang-undang oleh pihak polis mencerminkan keangkuhan dan kurangnya rasa hormat terhadap Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan prosedur perundangan. Ini bukan kejadian terpencil tetapi kelanjutan daripada serangkaian panjang tindakan pihak polis yang menunjukkan kebencian mereka terhadap hak-hak rakyat, yang telah mengakibatkan penyalahgunaan kuasa polis yang mengarah kepada keganasan, penyiksaan, penangkapan sewenang-wenangnya, penahanan berpanjangan, penembakan, keganasan dalam tahanan dan kematian.

Kes penangkapan dan penahanan Selvach bertambah parah apabila dia ditangkap pada hari yang sama - selepas "keputusan terbuka (open verdict)" yang memalukan dan mengundang skandal itu disampaikan oleh Koroner Kehakiman Siti Shakirah Mohtarudin, dalam inkues mencari punca kematian R.Gunasegaran dalam tahanan polis. Selvach merupakan salah seorang daripada tiga orang yang berada dalam tahanan polis bersama-sama dengan R.Gunasegaran dan mereka secara konsisten mengenal pasti Lans Kopral Mohd Faizal secara fizikalnya menyerang mendiang si mati. Mereka memberi keterangan walaupun terdapat ancaman terhadap keselamatan mereka oleh pihak polis dan biarpun terdapat pujukan bahawa kerjasama mereka akan menjamin mereka dibebaskan segera.

Hal ini bukanlah suatu kebetulan yang menyaksikan Selvach ditangkap begitu cepat dan tambahan lagi beliau ditahan di bawah tuduhan yang tidak jelas dan di bawah peruntukan perundangan menindas yang membenarkan pihak polis menahan seseorang tanpa bicara, selama dua tahun. Pelapor kesalahan seharusnya diberi jaminan perlindungan oleh sistem perundangan dan bukannya dihukum oleh para penguatkuasa undang-undang. Kes ini telah dengan terang menunjukkan penyalahgunaan kuasa polis dan suatu kesalahan yang serius dan boleh didakwa menurut Kanun Keseksaan dan juga boleh dikenakan tindakan hina Mahkamah.

Selanjutnya, tindakan ini menunjukan pihak polis bertindak balas dengan dendam dan jelas bertujuan untuk menakutkan sesiapa saja yang bersuara melawan ketidakadilan atau kesalahan yang dilakukan oleh para anggota polis.

Perundangan tidak adil dan tidak bertamadun semacam Akta Dadah Berbahaya dan Ordinan Darurat tidak patut wujud dalam sebuah negara moden dan demokratik seperti Malaysia. Undang-undang dan pendekatan menindas ini melanggar hak-hak asasi manusia setiap rakyat yang dijamin perlembagaan serta meremehkan kuasa kehakiman dan proses perundangan. Majlis Peguam Malaysia dan masyarakat sivil secara tegasnya telah berkali-kali menyeru pemansuhan semua undang-undang tahanan pencegahan serta untuk berhenti melakukan penangkapan dan tangkapan berulang kali yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Polis tidak boleh dibenarkan untuk terus beroperasi dalam persekitaran yang bebas dan kebal daripada proses undang-undang dan kehakiman. Namun seperti apa yang jelas digambarkan dalam episod menyayat hati ini, pihak polis baru saja menyampaikan mesej mereka yang kuat, bahawa mereka boleh bertindak sesuka hati tanpa mengambil peduli undang-undang, profesionalisme pasukan polis serta undang-undang dan prosedur yang mengatur tata cara perilaku mereka.

Tuntutan Kami

Ketua Polis Negara mesti:

a) melepaskan Selvach serta-merta dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada dirinya dan keluarganya;

b) mengambil tindakan tegas, termasuklah pendakwaan jenayah dan tindakan disiplin terhadap anggota polis yang menyerang dan menangkap Selvach;

c) menyokong penubuhan Suruhanhaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang akan berfungsi secara bebas, sebagai lembaga luar yang akan menyiasat aduan terhadap anggota polis dan akan membuatkan pihak polis bertanggungjawab terhadap perilaku mereka;

d) menghentikan amalan menangkap dan tangkapan semula dibawah undang-undang tahanan pencegahan;

e) berjanji untuk menghormati hak rakyat untuk mendapat akses yang luas dan bebas terhadap khidmat peguam pada bila-bila masa;

f) mewajibkan pihak polis berpakaian biasa untuk memperkenalkan diri mereka dan memaparkan kad kuasa mereka apabila melaksanakan penguatkuasaan;

g) menyokong pendidikan hak asasi manusia dan program latihan, dengan maksud untuk mengubah sikap dan kaedah penguatkuasaan undang-undang.

*Memorandum ini diserahkan oleh Lawyers for Liberty (LFL) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bagi pihak keluarga K. Selvach Santhiran.

Dr Zul mesra berbanding Aziz

GUA MUSANG - Calon PAS, Dr Zulkifli Mohamed, telah berada di stesen bas Gua Musang seawal jam 8.30 pagi ini untuk menghantar rombongan penyokong Kelantan dengan menaiki lima buah bas yang akan ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan pertandingan akhir Piala Malaysia di antara Negeri Sembilan dan Kelantan, malam ini.

Calon PAS itu juga sempat ke Ibu Pejabat Polis Gua Musang untuk bertemu dan beramah mesra dengan para anggota polis yang menjaga keselamatan kempen pilihan raya kecil kali ini.

Kemudian beliau juga tidak melepaskan peluang ke Pasar Gua Musang untuk bertemu peniaga-peniaga di sekitar pasar tersebut. Kemesraan Dr. Zulkifli dengan rakyat begitu terserlah.

Seorang peniaga sayur di pasar tersebut, Rahmat 33 tahun berkata, "Dr. zul lebih mesra berbanding calon Umno. Calon Umno dilihat seperti terpaksa berjumpa kami dan beliau tidak menghulurkan tangan untuk bersalam dengan kami. Semua peniaga di pasar bersungut tentang perkara tersebut".

Beliau yang merupakan pengundi UPU Gelang berkata, "Saya mengenali beliau sudah lama semenjak menjadi Penyelia Parlimen Gua Musang lagi. Saya yakin beliau dapat menarik banyak golongan untuk mengundi PAS. Malah, dari segi pergaulan pula, kami senang dengannya dan beliau sangat baik. InsyaAllah, kami akan memberikan sokongan padu untuk beliau", jelas beliau.

"Kami di sini semua memberi sokongan kepada Dr Zul", tegas seorang pengusaha nasi kerabu yang turut bersetuju dengan pandangan peniaga di pasar tersebut.

Umno pertaruh Ku Li atau Abdul Aziz?

GALAS - Bahang pilihanraya kecil N.45 Galas semakin hangat, apabila pelbagai sepanduk dinaikkan oleh parti yang bertanding. Namun begitu, timbul persoalan apabila sepanduk yang dinaikkan oleh BN lebih banyak menentang calon PAS dan menonjolkan pengarah pilihanraya mereka, Ku Li berbanding calon.

"Ku Li jaga hak kita", "Ku Li Intelek" dan sebagainya, namun tiada langsung sepanduk mempromosi calon mereka sendiri, Abdul Aziz Yusof, seolah-olah beliau tidak memiliki apa-apa kekuatan untuk dijadikan modal kempen.

Senator Mumtaz Md Nawi ketika ditanya berhubung perkara ini, beliau berkata; "Perkara ini sudah biasa di dalam politik Umno. Perlantikan Ku Li sebagai pengarah jentera pilihanraya Umno hanyalah helah mereka. Tidak pelik kalau mereka menentang Ku Li di dalam isu royalti tetapi mengiktiraf Ku Li di Gua Musang."

Ujarnya lagi, "Encik Aziz tidak bersalah di dalam perkara ini. Umno meletakkan calon mereka berdasarkan hierarki jawatan di dalam parti, bukan berdasarkan kemampuan individu seperti yang diamalkan PAS. Oleh itu tidak hairan jika mereka mempertaruhkan mana-mana individu tetapi mempromosi individu lain kerana semua ini adalah untuk kepentingan politik mereka."

"Namun rakyat kena pilih calon yang bertanding, bukannya pengarah pilihanraya".

"Apa guna pengarah peperiksaan yang berhempas pulas membaca sedangkan yang harus menjawab soalan peperiksaan adalah calon. Begitulah yang dibuat Umno."

"Mereka berkempen dan menaikkan sepanduk Ku Li seolah-olah yang bertanding adalah Ku Li bukannya Abdul Aziz kerana mereka tahu Ku Li mempunyai pengaruh yang kuat di sini. Namun prestasi pengarah tidak mencerminkan prestasi calon." tegas beliau.

Beliau yang ditemui di markaz Muslimat PAS Negeri Kelantan turut bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat tempatan.

"Kita amat berharap pengundi bakal mengundi calon PAS. Dahulu kita menampilkan lulusan agama (Allahyarham Che Hashim Sulaima) sebagai wakil dan kali ini PAS mempersembahkan seorang doktor perubatan. Inilah keistimewaan Pas. Gabungan ulama dan profesional yang mantap, membayangkan kemantapan gabungan Pakatan Rakyat yang bakal berdiri di persada Malaysia."

Walaubagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa jentera tidak boleh berasa selesa memandangkan Gua Musang adalah kubu kuat Umno. "Jika kita bersedia mereka juga bersedia. Namun rakyat kena sedar, kalau BN benar-benar mengotakan janji, Gua Musang pasti lebih membangun daripada yang kita lihat hari ini."

Beliau turut menyeru seluruh jentera agar mempertingkat komitmen bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.

"Menjelang 10 Zulhijjah ini, muslimin muslimat kita beribadah dengan tawaf dan sai. Jihad mereka di Mekah dan Mina. Jihad kita di sini untuk menjulang dasar-dasar Islam di Kelantan. Segala pengorbanan, sumbangan tenaga yang kita curahkan walaupun besar namun tidak dapat menandingi perjuangan dan ketabahan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Kita mohon doa-doa mereka menghantar kekuatan kepada kita di sini," ujar beliau mengakhiri pertemuan.

Kontraktor Baru Hospital Shah Alam

SELANGOR KINI



KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) kini dalam proses memanggil tender baru melantik kontraktor penyelaras untuk meneruskan baki kerja terbelengkalai dalam projek pembinaan Hospital Shah Alam yang sebelum ini diserah kepada Sunshine Fleet Sdn Bhd.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, berdasarkan perancangan, hospital berkenaan dijangka mengambil masa 30 bulan untuk disiapkan bermula dari tarikh milik tapak oleh kontraktor baru.

Pembinaan Hospital Shah Alam dengan kos kontrak RM482.6 juta ini dimulakan pada 15 November 2007 dan dijadual siap pada 25 Jun 2011.

Bagaimanapun JKR telah mengeluarkan Notis Penamatan Kontrak kepada kontraktor pada 3 September 2010 berikutan kelewatan pelakanaan projek selama 62 hari dan ketiadaan sebarang aktiviti ditapak bina sejak Ogos 2010.

Sehingga tarikh kontrak ditamatkan, kemajuan kerja di tapak bina hanya 27 peratus, sedangkan sepatutnya 38.9 peratus mengikut jadual asal. Jumlah bayaran yang sudah dibelanja ialah RM139.9 juta.