Dzulfikar Mashoor |
GUA MUSANG: Seramai 1,557 pengundi luar dirayu supaya pulang membuang undi dalam Pilihan Raya Kecil Galas pada 4 November depan, kata Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. Menurut Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat (JPPP) itu, PAS negeri sedia menanggung kos perjalanan pulang khususnya mereka yang pulang dari Lembah Klang dan Johor. "Semua minta rayu mereka balik, kita bayar kos perjalanan mereka," ujarnya. "Kalau pengundi luar tak balik (mengundi), kita ada risau juga, kalau peratusan pengundi luar menurun, akan memberi kesan. PAS negeri, katanya sedia memberi RM200 dan RM250 kepada pengundi luar dari Lembah Klang dan Johor. "Kita ada kaedah tersendiri, apabila balik (ke Galas) datang ke UPU dan kita buat semakan daftar pemilih," ujarnya. Majoriti mereka katanya, merupakan pengundi muda yang mempunyai kecenderungan politik kepada PAS dan Pakatan Rakyat. "Terus terang mereka ini adalah pengundi muda dan pengundi muda kebanyakannya sokong Pakatan Rakyat," ujarnya. Bagaimana pun, beliau optimis dengan kepulangan pengundi luar akan mengekalkan 81 peratus keluar mengundi sebagaimana dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12). Malah katanya, peningkatan peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil kali ini mampu memenangkan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed pada pilihan raya kecil kali ini. Pun begitu, beliau berkata, PAS menyimpan sedikit rasa risau sekiranya peratus keluar mengundi di kalangan pengundi luar menurun. "Kalau peratusan turun mengundi mereka turun (berkurangan), akan memberi kesan," beliau menambah. Sebanyak 675 pengundi luar berdaftar adalah berbangsa Melayu manakala 217 adalah Cina. Hari pembungan undi yang jatuh pada hari bekerja dijangkakan akan mempengaruhi mood rakyat keluar mengundi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.