Ahad, 26 September 2010

Masa Depan Melayu-Bumiputera Terjamin Di Bawah Pakatan Rakyat


Oleh Dzulkarnain Taib

PORT DICKSON - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hanya di bawah pentadbiran pusat Pakatan Rakyat nasib masyarakat Melayu dan Bumiputera terbela dan masa depan mereka terjamin.

Mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan orang Melayu akan kehilangan kuasa politik di bawah Pakatan Rakyat, Anwar berkata motif kenyataan tersebut hanya mahu menakut-nakutkan pengundi Melayu supaya terus menyokong Barisan Nasional.

"Kenyataan Mahathir tidak langsung menusabah. Ia merupakan satu pandangan jumud yang sudah usang, ia bertujuan khusus untuk menutup kelemahan Umno dan terus menerus memenjarakan pemikiran masyarakat Melayu.

"Kita melihat sebahagian besar kekayaan negara ini tergadai di tangan peniaga Cina dan India yang menjadi sekutu dan kroni Mahathir pada zaman pemerintahan beliau dahulu," kata Anwar ketika menghadiri majlis jamuan rumah terbuka Parlimen Teluk Kemang hari ini.

Malah kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bukanlah menjadi rahsial lagi bahawa amalan serta budaya kronisme bermaharajalela seerta dibiarkan berleluasa di mana hanya segelintir golongan elit Melayu yang rapat dengan pimpinan Umno-BN yang diberikan keutamaan dengan mengkesampingkan masyarakat Melayu majoriti.

"Kita dapat melihat kumpulan peniaga besar yang sentiasa mendapat kontrak kerajaan secara rundingan terus seperti Ananda Krishnan, Vincent Tan dan segelintir Melayu yang menjadi kroni seperti Tan Sri Syed Mokhtar," tegas beliau.

Ini berlainan dengan pendekatan yang diambil Pakatan Rakyat yang menitik beratkan konsep kesamarataan dalam pengagihan sumber kekayaan negara berlandaskan prinsip keadilan dan ketelusan.

Pakatan Rakyat kata Anwar tetap menyanjung dan mempertahankan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung hak istimewa orang Melayu.

"Ini yang dijadikan isu kononnya kita akan memberi kekayaan kepada kaum Cina sahaja, ini merupakan taktik kotor Umno di mana dia akan mencipta satu isu dan menggunakannya untuk menakutkan kaum Melayu. Di sini, Umno menakutkan kaum Melayu mengatakan hak mereka akan terhakis.

"Siapa yang memulakan isu mempertikaikan hak Melayu? Umno! Mereka akan mencipta isu sebegini dan akan mengesahkan bahawa warga Melayu perlu mempertahankan hak keistimewaan mereka," tegas Anwar lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.