Rabu, 30 Jun 2010

Umno takut kuasa undi anak muda

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: “Pemuda Umno mungkin tiupkan sentimen perkauman ini kerana mereka sendiri mungkin yakin bahawa anak muda Melayu mampu mengancam Umno pada pilihan raya umum akan datang,” kata Mohd Firdaus Jaafar (gambar).

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat menyatakan demikian ketika mengulas kenyataan Pemuda Umno kononnya nisbah pengundi baru antara Melayu dan bukan Melayu sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu adalah 1 Melayu nisbah 40 bukan Melayu.

Menurut beliau, Umno tidak ada jalan lain untuk mengekalkan kuasa mereka dalam negara, kecuali mereka terpaksa bergantung pada undi tradisi daripada ahli-ahli Umno serta pengundi Melayu yang masih menaruh harapan pada parti perkauman tersebut.

“Kaum Cina, India dan kaum-kaum lain umumnya lebih berminat dengan Pakatan Rakyat, kalau nak bergantung pun mungkin dengan undi tradisi dari Umno dan orang Melayu,” ujar beliau.

Pun begitu, beliau berkata, para pengundi bandaran serta mereka yang terdedah dengan media baru yang sebelum ini pernah mengundi Umno telah menunjukkan minat dengan PAS dan Pakatan Rakyat menjelang tsunami politik PRU12 lalu.

Impaknya, beliau berkata, rakyat memberi mandat pada Pakatan Rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di Kedah, Selangor, Perak (sebelum kudeta) dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai turut mempersoal pendirian Umno ekoran sokongan semua kaum bukan Melayu sebelum PRU12 yang lalu.

“Sudah 50 tahun orang Cina, orang India dan lain-lain mengundi, mengapa hak mengundi mereka ini seakan terancam dengan kenyataan pemuda Umno ini.

“Jadi Umno, dia buat kenyataan bersifat ancaman macam ini kononnya orang Cina dan India nak ambil kuasa politik daripada Umno,” ujarnya.

Ekoran itu, beliau menasihatkan Pemuda Umno supaya bersikap rasional dalam melihat minat pengundi baru di kalangan masyarakat bukan Melayu.

“Dunia twitter, dunia Facebook, dunia blog serta lambakan maklumat yang mengelilingi anak muda tak kiralah Melayu atau bukan Melayu sekarang ini, bagaimana Pemuda Umno masih dengan ‘politik ancaman’ yang lama,” nasihat beliau.

Tuntas dari itu, beliau mengajak pengundi baru yang berminat dengan Pakatan Rakyat untuk menggunakan kuasa undi masing-masing pada PRU13 kelak.

“Tak cukup kalau minat saja, daftarlah mengundi dan sokonglah calon PAS dan Pakatan Rakyat guna kuasa mengundi masing-masing,” ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.