Rabu, 30 Jun 2010

Dr Lo' Lo’ persoal penjelasan Nong Chik

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali (gambar) semalam mempertikai penjelasan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berhubung pembangunan komprehensif Kampung Baru yang didakwa mendapat persetujuan pemilik tanah.

Beliau mendakwa, pemilik serta pewaris Kampung Baru tidak pernah menyatakan persetujuan seperti dinyatakan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin kepada Dewan Rakyat.

"Keputusan dari pendengaran awam juga belum diperdengarkan lagi. Bagaimana menteri mendakwa dapat persetujuan dari penduduk Kampung Baru?" soalnya.

Pembangunan komprehensif Kampung Baru yang dinyatakan kerajaan juga, jelasnya masih kabur dari sudut perinciannya dan menjadi tanda tanya penduduk.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi membangkitkan insiden menteri yang didakwa telah menafikan haknya pada pertemuan dengan pemilik dan pewaris Kampung Baru di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 29 Mei lalu.

"Sebagai menteri yang sepatutnya bersifat profesional, telah menafikan hak saya untuk bercakap di situ sebagai wakil rakayat.

"Kalau menteri bercakap atas kapasiti menteri, saya bercakap atas kapasiti wakil rakyat dan pemilik tanah Kampung Baru, menteri berapa inci tanah Kampung Baru menteri ada?” soalnya.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan sentiasa melibatkan Malay Agricultural Settlement (MAS) dalam setiap perbincangan pembangunan Kampung Baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.