Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat selesai petang tadi dengan perwakilan memperbaharui tekad untuk meneruskan perjuangan bagi membawa keadilan kepada segenap lapisan rakyat.
Lebih dua ribu perwakilan turut menguatkan iltizam untuk membebaskan Malaysia dari pemerintahan rakus dan rasuah Umno-Barisan Nasional dengan menawan Putrajaya pada Pilihanraya Umum ke-13.
Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim meniupkan semangat baru di kalangan akar umbi ahli dengan mendedahkan kenapa PKR menjadi sasaran utama Umno dalam setiap asakan yang dilakukan oleh parti itu.
Anwar berkata Umno-BN tentunya tidak akan mempedulikan PKR jika parti itu tidak berpotensi untuk menggugat kelangsungan Umno malah seluruh Barisan Nasional sendiri.
"Parti ini punya potensi yang besar. Kalau parti ini parti-parti serpihan, dia tak payah ganyang kita mati-matian. Ya kita parti yang terbuka, yang demokratik. Orang Malaysia tak biasa dengan kongres parti dimana pemimpin besar dipertanggungjawabkan, dikritik dan disoal. Ini budaya kita," kata Anwar.
Anwar berkata walau apa-pun tohmahan dan fitnah yang cuba ditaburkan oleh Umno-BN, hakikat ialah PKR berjaya membawa transformasi budaya fikiran yang menolak politik perkauman sempit yang di dokong oleh pemerintah selama ini.
"Pernah kita dengar orang Cina sebut Al-Quran dan Hadis. Maknanya kita menerima dengan berlapang dada dengan cara hormat," kata Anwar.
Justeri Datuk Seri Anwar mengajak ahli PKR menguatkan tekad bagi meneruskan usaha membela rakyat berlandaskan prinsip-prinsip parti yang menolak rasuah dan mengutamakan pembelaan untuk semua kaum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.