Isnin, 31 Mei 2010

Kongres Nasional Tahunan PKR: Transformasi budaya politik baru

Lim Hong Siang



"Kita telah lakukan transformasi budaya politik di negara kita," demikian kesimpulannya daripada Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, ketika merungkai perbahasan Kongres Nasional Tahunan PKR ke-6, yang diadakan dari 27 hingga 30 Mei 2010, di Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bahru.

PKR sebuah parti berbilang kaum, menampilkan pembahas daripada kaum Melayu, Cina dan India dalam kongres tahunannya yang lalu. Apa yang istimewa untuk tahun ini, seorang pemuda dari kaum asal, Ramli Logan tampil untuk berucap, menyelar konsep "1Malaysia" yang diutarakan oleh Perdana Menteri Najib Razak sebagai "Pembalakan didahulukan, Projek diutamakan; Orang miskin diabaikan, Orang Asal dipinggirkan."

Ramli Logan (gambar kiri) menerima tepukan gemuruh daripada perwakilan, malah semua orang termasuk pimpinan parti berdiri untuk memberi penghargaan kepadanya selepas beliau menghabiskan ucapan. Chua Jui Meng, bekas Naib Presiden MCA yang menyertai PKR mengakui bahawa keadaan ini tidak pernah berlaku sepanjang 35 tahun beliau berada dalam MCA-Barisan Nasional, dan beliau hampir sebak melihat suasana ini.

"...tidak pernah berlaku di mana-mana parti politik, ini kali pertama di sebuah parti politik yang bernama Parti Keadilan Rakyat, " kata Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebelum menyambung, "Kita angkat seorang anak muda, letak dalam satu persada politik mainstream (arus perdana) untuk membincangkan masa depan negara!"

Chua Jui Meng, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR melanjutkan dengan cadangan agar wakil FELDA, tentera, polis diundang untuk tampil berucap dalam kongres seterusnya.

Penampilan yang memperlihatkan kemajmukan

Pembahas yang dibariskan kali ini merentasi sempadan negeri, warna kulit, gender, umur dan sebagainya. Secara keseluruhannya, penguasaan bahasa pembahas adalah baik, dengan penyampaian yang menarik. Bukan itu sahaja, penampilan pembahas memperlihatkan kemajmukan, malah kesediaan untuk menghayati budaya dan agama antara satu sama lain.

Misalnya, pembahas dari Pulau Pinang, Jason Ong tampil dengan songkok dan pakaian Melayunya, malah tidak kurang pembahas bukan Melayu-Islam yang sempat melafazkan ayat al-Quran dalam ucapan masing-masing. Kalau pantun menjadi imbuhan kepada ucapan pada dahulunya, kini wakil dari sayap Wanita, Chua Yee Ling pula mempersembahkan dikir barat sebelum mengakhiri ucapan.

Bagi perwakilan dan pimpinan Melayu-Islam, ucapan yang bermula dengan tanya khabar dalam pelbagai bahasa telah menjadi sesuatu yang lumrah. Apa yang "menghiburkan" kali ini, pembahas dari Perlis, Ko Chua Liang menyelitkan kata-kata Siam dalam ucapannya.

Wakil dari Srikandi kali ini semestinya memberi persepsi yang positif, dengan kelantangan mereka mengetengahkan pandangan. Misalnya, Farah Afzan Faridi mengingatkan bahawa parti perlu mengambil kira golongan muda, yang mana ikon Anwar Ibrahim tidak semestinya memberi makna kepada mereka, kerana terlalu muda ketika tercetusnya pergerakan Reformasi pada tahun 1998.

Farah Afzan Faridi ketika mengakhiri ucapannya berkata, "Orang muda tak mahu berada dalam sejarah, orang muda mahu cipta sejarah!"

Budaya mengkritik

Lebih daripada itu, kritikan yang dilontarkan oleh perwakilan terhadap pimpinan diterima dengan terbuka sepanjang kongres ini. Bermula dengan Kongres AMK, yang mana perwakilan secara terus memberi amaran kepada pimpinan untuk "bekerja" seandainya mahu kekal di atas pentas. Amaran ini disambut dengan sorakan dari bawah pentas.

Jelas, Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim menjadi tumpuan dalam kongres ini apabila beberapa orang pembahas meluahkan ketidakpuasan yang menyasar kepadanya. Bagaimanapun, Khalid tetap menerima kritikan secara terbuka, malah tidak membalas dengan emosi.

Apa yang lebih menarik, ketika beliau tampil memberikan perjelasan, pengerusi membunyikan loceng sebagai isyarat masa tamat. Perwakilan di bawah pentas pula yang membela agar Khalid diberi lebih masa untuk memberi penjelasan. Selepas beliau habis berucap, perwakilan malah pimpinan berdiri untuk memberi tepukan sebagai penghormatan.

Budaya kritikan ini bukan sahaja bersifat sehala, malah Naib Presiden PKR Lee Boon Chye juga menyuap perwakilan dengan "ubat pahit". "Budaya tunggu durian runtuh" dan "face presentation" (tunjuk muka) di sesetengah pimpinan akar umbi, iaitu program tidak berjalan selagi Anwar tidak turun, dan hanya "tunjuk muka" semasa kehadiran Anwar, dikritik oleh Lee Boon Chye.

Beliau menambah, "jangan buat aktiviti shiok sendiri antara kroni sahaja", sebaliknya mencadangkan kerja-kerja seperti pendaftaran pengundi kepada perwakilan. Kritikan-kritikan ini direstui, apabila sesetengah perwakilan membalas dengan tepukan untuk menyatakan persetujuan.

Kurang senang digelar YB

Selain itu, "parti reform" ini cuba menampilkan pendekatan baru dalam perhubungan antara pemimpin dengan akar umbi. Bermula dengan Ong Chin Wen, ADUN Bukit Tengah yang menyatakan ketidakselesaannya ketika digelar "Yang Berhormat" oleh pengerusi dalam Kongres AMK, Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah turut meluahkan pandangan yang sama, semasa sesi penggulungan, hari ini.

Sivarasa Rasiah menganggap gelaran ini tidak adil untuk pemimpin yang selama ini berjuang, tetapi tewas dalam pilihan raya, kerana kemenangan wakil rakyat diberikan oleh rakyat. Malah, Sivarasa Rasiah menyatakan bahawa dirinya tidak bersetuju dengan pengaturan majlis, yang mengasingkan antara pimpinan dengan perwakilan ketika menjamu selera.

Jangan diperangkap UMNO

Hakisan sokongan Melayu terhadap PKR khususnya jelas menjadi tekanan kepada PKR. Pada 28 Mei, AMK mencadangkan agar Kongres Melayu diadakan untuk membincangkan permasalahan Melayu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Zaid Ibrahim hari ini memberi peringatannya, "Saya alu-alukan (Kongres Melayu). Tapi pada masa yang sama, kita jangan terperangkap dengan persoalan-persoalan yang berkisar pada race (kaum). Kita parti yang berbilang kaum."

"Masalah kita bukan soal Melayu, masalah ekonomi kita masalah orang kaya dengan orang biasa. Kalau kita nak buat kongres, kita perlu bincang permasalahan orang asli, orang Iban, orang-orang miskin di Sabah dan Sarawak," katanya.

Zaid Ibrahim menafikan kenyataan bahawa PKR tidak disokong Melayu, "Yang kita belum dapat, undi Melayu, undi pos, FELDA, RISDA...", sambung beliau, "Jangan percaya kepada propaganda UMNO-BN bahawa PKR hanya disokong pengundi bandar dan bukan Melayu."

"Kumpulan satu lagi yang tidak menyokong PKR adalah kumpulan seperti Mahathir," tambahnya. Zaid Ibrahim menyarankan PKR memperjuangkan "orang Malaysia", malah memetik sejarah pertaruhan antara Hang Jebat dengan Hang Tuah untuk menyatakan Melayu yang harus disanjung adalah "Melayu yang memperjuangkan keadilan".

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.