KUALA LUMPUR : Isu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang mahu digunakan Umno sebagai ‘modal’ untuk politik besar mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor hanya akan membuatkan Umno gigit jari.
“Cubaan untuk menjatuhkan imej dan wibawa Menteri Besar (MB) selangor sekali lagi akan menemui kegagalan.
“Apa yang lebih buruk lagi pimpinan Umno akan diaibkan sekali lagi dalam PRK kali ini,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam blognya.
Menurut Dzulkefly, MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim cukup bijak dalam menangani pembangkang di Selangor dan dalam dua tahun pentadbirannya, ramai pimpinan pembangkang telah di’dedahkan’ akibat gelagat buruk mereka sendiri.
Terdahulu, Tan Sri Khalid yang diserang teruk dengan dakwaan kononnya menghalang penubuhan kampus UiTM di atas tanah seluas 448 ekar di Serendah oleh YBK, telah mengarahkan YBK diaudit.
Namun dakwaan tersebut ditangkis apabila laporan awal terhadap YBK telah diedarkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Jabatan Audit Selangor.
Selain itu, sebuah Jawatan Kuasa Khas juga akan ditubuhkan dan bakal dianggotai oleh pihak Majlis Peguam dan sebuah badan integriti tempatan iaitu Transparency International bagi meneliti laporan dan melengkapkan serta membuat tindakan selanjutnya.
“Kertas Putih Kerajaan Negeri Selangor bakal mendedahkan segala-segalanya tentang perilaku buruk pimpinan Umno dalam pengurusan kewangan negeri dalam dekad-dekad pemerintahan Umno dan BN,” tegas beliau lagi.
Dzulkefly akhirnya menasihatkan BN dan Umno agar bersiap sedia dalam menghadapi serangan demi serangan yang datang melalui laporan kertas putih itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.