KUALA LUMPUR : Para pengundi di kawasan parlimen Hulu Selangor diingatkan supaya memandang serius isu APCO Worldwide yang dikaitkan dengan Umno dan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain dalam satu kenyataan dipetik media berkata, apa yang dibuktikan oleh kerajaan sekarang harus menjadi penilaian kepada rakyat khususnya di kawasan itu yang akan menghadapi pilihan raya kecil pada 25 April ini.
Menurutnya, ekoran daripada apa yang berlaku itu, rakyat khususnya dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor harus menolak kerajaan Umno/BN daripada memenangi pilihan raya kecil tersebut.
Beliau turut menyifatkan keangkuhan Umno/BN akan berterusan sekiranya mereka masih lagi mendapat mandat daripada rakyat walaupun tindakan yang telah dilakukan itu tidak selaras dengan apa yang dilaung-laungkan selama ini.
"Saya yakin, rakyat kawasan Hulu Selangor mampu untuk membuat perubahan dengan tidak memberi sokongan kepada BN sekali lagi sebagaimana yang telah mereka buktikan dalam pilihan raya umum yang lalu," katanya lagi.
Tindakan kerajaan meneruskan aktiviti APCO Worldwide membuktikan mereka tidak prihatin terhadap apa yang berlaku kepada umat Islam dan itu merupakan satu pengkhianatan terhadap umat Islam di negara ini.
“Sekiranya mereka prihatin maka mereka mampu untuk menolak hubungan ini diteruskan setelah sekian lama menjadikan syarikat APCO Worldwide ini sebagai satu gandingan yang memalukan umat Islam di negara ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.