KUALA LUMPUR — Melabel orang Cina sebagai “tidak bersyukur” dan meminta agar “menghukum” mereka kerana tidak mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor merupakan pendekatan salah, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini.
“Hampir pasti akan kedengaran komen yang lazim dilemparkan setelah keputusan sebegini, melabel komuniti Cina sebagai ‘tidak bersyukur’, lantas BN — dan Umno khususnya — wajar lupakan sahaja komuniti ini dan memberi sepenuh fokus kepada undi Melayu.
“Saya berpendapat cara dan pendekatan ini salah atas beberapa sebab,” kata beliau yang juga Ketua Pemuda BN dalam satu kenyataan.
Pandangan itu dilihat merujuk kepada gesaan tertentu termasuk Perkasa semalam agar kerajaan BN menangguhkan bantuan dan peruntukan yang dijanjikan untuk masyarakat Cina ekoran keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor.
“Amat wajar kerajaan tangguh dulu apa jua peruntukan dan kelulusan kepada masyarakat kaum Cina, terutama desakan-desakan MCA dan Gerakan kerana jelas masyarakat Cina di Hulu Selangor serta India tidak menyokong BN.
“Mereka langsung tidak hargai apa yang diberi oleh kerajaan BN walaupun kerajaan BN terpaksa mengguris hati orang Melayu dan Bumiputera,” kata Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas mengulas keputusan yang memihak BN tetapi majoriti cuma 1,725 undi.
Selain Perkasa, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga kecewa dengan tahap sokongan pengundian Cina kepada BN.
Semalam, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga menolak gesaan Perkasa agar kerajaan pusat menangguhkan bantuan kepada masyarakat Cina susulan keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor semalam.
Tengku Adnan berkata adalah tidak wajar masyarakat Cina pada keseluruhannya dihukum hanya kerana peratusan menyokong pihak BN sangat tidak memuaskan.
Khairy yang juga Ketua Pemuda BN berpendapat cadangan untuk menghukum pengundi Cina atau mana-mana kumpulan pengundi semata-mata tidak menyokong BN adalah satu perkara yang pada dasarnya sendiri sudah salah.
“Sekiranya kita benar-benar serius membantu Perdana Menteri dalam mendukung gagasan 1 Malaysia yang bersatu, maka sudah pasti kita perlu komited dalam memastikan bahawa kita berlaku adil terhadap seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira pulangan politik.
“Apapun, saya yakin jika kita kekal atas haluan tengah atau centrist membantu semua komuniti berlandaskan konsep keadilan, maka sudah tentu persepsi terhadap BN akan bertambah baik,” kata Khairy.
Beliau percaya ramai yang tidak menyokong BN masih sinis dan mahu melihat ikatan ini benar-benar menjalani proses pembaharuan melalui tindakan, dan bukan hanya retorik sebelum mereka boleh mengundinya.
“Sentimen ini wujud di kalangan pengundi muda, terutamanya kaum Cina. Maka, agenda menjayakan 1 Malaysia menuntut kita tidak berhenti menyokong kepimpinan inklusif yang dibawa oleh Perdana Menteri semata-mata kerana ada satu komuniti yang seakan tidak memberi respon positif, setakat ini,” katanya.
Malah menurut beliau, cadangan ‘menghukum’ golongan Cina harus ditolak kerana strategi bergantung pada undi Melayu dan India semata-mata merupakan satu pendekatan yang belum tentu hasilnya, malah boleh memakan diri.
“Benar, di Hulu Selangor kita melihat sokongan kuat golongan Melayu dan India terhadap BN terutamanya berbanding 2008, tetapi ada juga sebahagian besar dari kedua-dua kelompok etnik ini yang merupakan penyokong tegar pembangkang.
“Konsep dan impian ‘perpaduan Melayu’ itu masih sukar dicapai, terutamanya bila bercakap mengenai kecenderungan politik,” kata beliau lagi.
Dari kalangan orang Melayu di mana-mana kawasan pun di Malaysia ini, menurut Khairy, akan sentiasa wujud sebahagian — dalam lingkungan 30 hingga 50 peratus — yang menyokong pembangkang, terutamanya mereka yang setia dengan PAS.
“Pengundi India pun sudah menunjukkan sikap yang lebih memilih dalam menyokong sesebuah parti berdasarkan keadaan semasa dan banyak bergantung pada persepsi mereka terhadap pembaharuan yang berlaku dalam MIC dan sama ada janji-janji yang diberikan kepada mereka akan dikotakan.
“Maka, taktik mengetepikan pengundi Cina bukanlah satu taktik yang bijak terutamanya apabila sokongan BN dari pengundi Melayu dan India tidak mungkin mencapai tahap seratus peratus,” katanya lagi.
Oleh itu, tegas Khairy, suara yang menuntut agar “menghukum”, “mengajar” atau “mengetepikan” pengundi Cina semata-mata kerana mereka tidak menyokong kita dalam pilihan raya perlu ditolak.
“Suara dan perspektif ini barangkali disambut baik oleh mereka yang melihat politik bukan sebagai sebuah amanah, tetapi dari sudut pulangan undi semata-mata — apatah lagi saya telah mengulas bagaimana pendekatan ini tidak bijak jikapun kita mengkajinya dari kanta pulangan undi.
“Saya tidak pernah lupa prinsip dan idealisme yang saya pegang ke hari ini, yakni satu idealisme yang mengangkat martabat politik lebih daripada congakan undi dan angka, tetapi sebagai suatu arena di mana kita melakukan apa yang baik dan benar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.