Selasa, 27 April 2010

Lagi simpati terhadap Anwar menjelang prosiding kes liwat bulan depan?

Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR — Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) dilihat meneruskan usaha untuk mendapatkan simpati masyarakat antarabangsa berhubung kes liwat terbaru beliau — yang kedua sejak 1998 — menjelang prosiding kesnya disambung semula bulan depan.

The Malaysian Insider difahamkan Ketua Pembangkang itu mengetuai delegasi ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk Yusmadi Yusoff, Ahli Parlimen Balik Pulau dan Elizabeth Wong, Exco Kerajaan Negeri Selangor ke Jakarta, Indonesia untuk menghadiri perhimpunan agung keenam World Movement for Democracy dari 11 hingga 14 April lalu, beberapa hari sebelum penamaan calon pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Yusmadi memberitahu, jawatankuasa pemandu gerakan itu, yang diketuai bekas perdana menteri Kanada Kim Campbell, telah memulakan inisiatif untuk mengundang kesemua ahli persidangan dalam usaha menghimpunkan solidariti global bagi Anwar dan juga pejuang prodemokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi.

Anwar juga merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat.

“Sekurang-kurangnya 300 ahli Parlimen masyarakat madani telah menandatangani petisyen dan berjanji untuk mendapatkan lebih banyak sokongan dari negara masing-masing,” kata Yusmadi kepada The Malaysian Insider hari ini.

Akhir bulan lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 10 Mei hingga 30 Ogos depan sebagai tarikh menyambung perbicaraan kes liwat Anwar.

Hakim Mohamad Zabidin Md Diah menetapkan 10 hingga 14 Mei depan untuk perbicaraan dan akan disambung semula pada 31 Mei hingga 4 Jun, 14 hingga 23 Julai dan 2 hingga 30 Ogos.

Petisyen itu menurut beliau, telah dihantar oleh pengarah perhimpunan Bambang Harymurti kepada Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan sejurus selepas selesainya perhimpunan itu, menggesa agar siasatan bebas dijalankan berhubung perbicaraan Anwar dan juga Suu Kyi.

Katanya, lebih 500 orang termasuk pemimpin-pemimpin masyarakat madani, ahli-ahli Parlimen dan sarjana dari 110 negara Caribbean, Asia, Afrika, Eropah, Amerika Latin dan rantau Timur Tengah telah menghadiri pertemuan itu.

Surat berkenaan, menurut Yusmadi, menggesa Asean menjalankan siasatan bebas mereka sendiri berhubung perbicaraan “pejuang demokrasi” selepas ia memeterai Suruhanjaya Hak Asasi Antara Kerajaan.

“Ini adalah permulaan bagi kami mendapatkan sokongan daripada komuniti global. Ketika perhimpunan, adalah jelas nasib Anwar dikongsi oleh kesemua anggota yang bersetuju perbicaraannya adalah satu pelanggaran jelas hak asasi manusia,” katanya.

Sambil menekankan Pakatan Rakyat menggunakan mekanisme demokratik terkemuka untuk mendapatkan keadilan, beliau mempertahankan tindakan Anwar mendapatkan simpati antarabangsa.

“Kita akan menolak sebarang usaha yang mengatakan yang ini sebagai tidak demokratik, lebih-lebih apakah tahap kepercayaan yang kita letakkan terhadap sistem kehakiman negara untuk memastikan Anwar mendapat perbicaraan yang adil,” kata beliau.

Justeru kata beliau, masih ada masa bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “untuk membetulkan kesilapan” yang dilakukan pemimpin terdahulu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Kerajaan tidak boleh melihat yang ini sebagai satu bentuk campur tangan. Sebenarnya, mereka seharusnya melihat ini sebagai rintihan warga global,” katanya.

Menurut Yusmadi, petisyen ini hanya sekadar peringatan komuniti global untuk memperjuangkan maruah diri seseorang yang seharusnya menjadi keutamaan berbanding kedaulatan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.