Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: PAS akan menggerakan jentera pakarnya dari Semenanjung tanah air untuk bersama-sama jentera di Borneo bagi menggempur BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu. Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, PAS menyokong penuh pemilihan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng (gambar) sebagai calon Pakatan Rakyat pada PRK itu. "PAS mengucapkan tahniah dan menyokong pencalonan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng bagi pilihan raya kecil Parlimen Sibu 16 Mei nanti. "Wong yang juga Adun Bukit Assek merupakan pilihan terbaik untuk Pakatan menambahkan kerusi Parlimen di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan. Pada masa ini, Pakatan hanya mempunyai seorang ahli parlimen sahaja dari Sarawak iaitu Chong Chieng Jen bagi Parlimen Bandar Kuching. Walaupun Wong tewas kepada mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew yang menang dengan majoriti 3,549 pada pilihan raya sebelum ini, namun DAP mempunyai pengundi tegar hampir 16,000 orang di situ. Pakatan Rakyat, jelasnya mempunyai jentera yang kuat lebih lebih lagi dengan penyertaan Parti Nasional Sarawak (Snap). "PAS akan terus membiarkan BN bagai ayam berak kapur melihat begitu positifnya kerjasama jentera Pakatan yang kini lebih kuat dengan penyertaan Parti Nasional Sarawak (SNAP) menjelang PRK Sibu nanti," katanya lagi. Menurutnya, sokongan rakyat mula meningkat sejak DAP mencipta kejutan pada tahun 1982 dengan memenangi kerusi Bandar Sibu melalui Ling Soe Ming, yang mengalahkan Tan Sri Dr Wong Soon Kai yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak ketika itu. Rekod lama ini juga, jelasnya tidak boleh dipandang sepi kerana statistik sokongan masyarakat Cina akhir-akhir ini lebih condong kepada Pakatan seperti yang ditunjukan dalam PRK Hulu Selangor baru-baru ini. "Tidak mustahil Sibu yang dihuni 60 peratus pengundi Cina akan memberikan kemenangan kepada Pakatan bagi mengukuhkan suara masyarakat Sarawak yang tertindas sejak sekian lama," ujarnya lagi. Dengan tidak memandang rendah pengaruh wakil SUPP bagi BN, Robert Lau Hui Yew katanya, Pakatan akan berusaha memenangi baki 40 peratus pengundi di Sibu yang terdiri dari 20 peratus Melayu-Melanau, Iban 18 peratus, 1.1 peratus Orang Hulu dan 0.9 peratus lain-lain. PAS juga, tambahnya melihat bahawa pengundi bukan Cina ini juga sebagai aset penting bagi memastikan Pakatan mampu merampas kerusi itu dengan lebih selesa. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.