Rabu, 28 April 2010

BN lulus dengan 'meniru' di Hulu Selangor

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor kerana rasuah tidak ubah seperti murid sekolah yang lulus peperiksaan tapi dengan cara meniru, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Begitulah juga kemenangan dengan cara menipu dan merasuah dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"Lulus periksa tapi tiru, menang pilihan raya tapi tipu. Menang pilihan raya tapi rasuah," katanya.

Kekuatan kuasa rasuah yang menggunakan wang negara dan rakyat untuk kepentingan politik mereka adalah faktor yang memenangkan BN, kata Mahfuz.

"Hakikatnya Umno dan BN hanya mampu mendapat kemenangan berasaskan kepada penipuan yang dikongsi bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti pembuangan lokaliti mengundi yang berjumlah 200 orang pemilih dikeluarkan dari senarai yang sepatutnya membuang undi di Hulu Selangor, pemindahan nama pemilih dari tempat mengundi sebelum ini yang berjumlah 13,000 orang adalah contoh penipuan yang terancang yang dikongsi bersama SPR," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau menyifatkan kemenangan BN itu langsung tidak menggugat Pakatan Rakyat (PR) khususnya PKR.

"Sepatutnya dengan pengumuman keluar parti oleh pimpinan dan ahli PKR dan dengan operasi beli undi serta RM165 juta yang ditabur serta dijanjikan oleh BN, tiada undi yang patut diperolehi oleh PKR.Sebaliknya PKR terus mendapat jumlah undi yang lebih dari keputusan Pilihan Raya Umum yang ke-12," kata Mahfuz.

Namun, katanya, pemimpin Umno dan BN mendabik dada mengatakan rakyat mula beralih kembali menyokong mereka.

"Yang aneh mereka mendakwa kemenangan itu kerana kejayaan Najib membawa perubahan yang meyakinkan. Najib kononnya dianggap lulus ujian. Pada hal kemenangan ini ibarat seperti murid sekolah yang lulus pepereksaan tapi dengan cara meniru," katanya.

Kemenangan yang disambut dengan gah oleh pemimpin BN itu, katanya lagi, bukan sahaja tidak mencapai sasaran majoriti 6,000 seperti dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malah BN hilang penguasaan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.