Harakahdaily |
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin dan memberi perhatian yang serius terhadap taraf sosioekonomi Orang Asli di negeri ini yang seolah-olahnya tidak dibela oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Justeru, masyarakat Orang Asli termasuk di Hulu Selangor merasakan nasib mereka lebih terbela di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah negeri sekarang. Menurut sumber, penyelesaian terhadap nasib masyarakat Orang Asli itu terkandung dalam Bajet 2010 negeri yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) pada 10 November tahun lalu. Bagi Kerajaan Selangor, isu tanah pusaka Orang Asli merupakan isu pokok kepada masyarakat yang sekian lama diketepikan oleh pentadbiran kerajaan negeri yang lalu. Pada tahun lalu, kerajaan negeri telah menjalankan kajian secara mendalam berhubung dengan isu tanah pusaka Orang Asli dan justeru itu, pada tahun ini kerajaan negeri bersedia untuk memberi milik tanah-tanah pusaka itu kepada Orang Asli yang berhak. Untuk itu, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Badan Bertindak Tanah Orang Asli yang diketuai dan dianggotai oleh wakil-wakil Orang Asli mereka sendiri, iaitu suatu jawatankuasa unik dan tidak pernah ditubuhkan oleh kerajaan BN sebelum ini. Sumber itu menyebut, objektif Badan Bertindak itu adalah untuk memastikan bahawa masalah-masalah tanah yang sedang dihadapi oleh Orang Asli dapat diselesaikan melalui perbincangan dengan kerajaan negeri. Untuk mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Negeri Selangor menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menjalankan dua projek perintis ujian bagi menaik taraf hidup kumpulan Orang Asli termiskin. Sehingga hari ini, masih banyak terdapat kampung-kampung Orang Asli tidak mendapat bekalan elektrik, air minuman bersih, dan jalan raya di mana Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di bawah Kerajaan Persekutuan gagal menyediakan dana sebelum ini. Untuk itu, kerajaan negeri merancang untuk memastikan pembangunan sosial dan ekonomik yang bersepadu, melalui program-program pendidikan golongan dewasa, skim pinjaman secara kecil-kecilan, dan program membangunkan diri. Kesemua program tersebut bermatlamatkan untuk membolehkan masyarakat Orang Asli berdikari demi menentukan masa hadapan mereka sendiri. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.