SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Penganalisis politik meramalkan akan wujudnya ketegangan dalam MIC sekiranya calon yang bakal diputuskan pada 14 April ini tidak memihak kepada Timbalan Presidennya, Datuk G Palanivel.
Pensyarah Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman berkata, kesan ketegangan itu kemungkinan MIC akan berpecah dua berterusan.
“Ucapan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu mengumumkan parti yang dipertaruhkan dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, beliau hanya memutuskan parti dan bukannya calon sebagaimana yang diusulkan oleh Samy Vellu,” katanya.
Menurutnya, MIC perlu meletakkan calon yang meyakinkan sekiranya ingin memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor.
"Selain meletakkan calon yang sesuai untuk selamat daripada kekalahan teruk tersebut, MIC juga perlu mentransformasi partinya untuk memikat lebih ramai golongan muda sama ada untuk meraih undi ataupun penglibatan dalam dunia politik,” katanya.
Beliau berkata, calon yang bakal dipertaruhkan kelak haruslah dekat dengan masyarakat.
“Sekiranya Karam Singh Walia itu ahli MIC dan parti memutuskan meletakkan ikon masyarakat itu, saya yakin MIC akan menang,” katanya sambil menyifatkan wartawan alam sekitar itu dekat dengan rakyat.
Sementara itu, penganalisis politik bebas, Dr Mahyuddin Ghazali berkata, perpecahan awal dalam MIC sudah berlaku kerana ada yang setuju Palanivel dicalonkan dan sesetengahnya pula tidak bersetuju.
“Namun saya tidak terkejut sekiranya akhirnya Palanivel ‘diturunkan’ MIC kerana ia berbalik kepada tradisi iaitu yang mempunyai suara kuat akan menang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.