Jumaat, 30 April 2010

Habuan Kepada Yang Berjasa!

Oleh Mohd Sayuti Omar

Baru ini Najib Razak telah menyampaikan replika cek sebanyak RM3 juta kepada sekolah Cina di Rasa. Hulu Selangor. Penyampaian itu dibuat di Putrajaya. Pemberian wang itu sebagai melunasi janji beliau semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor untuk membantu sekolah Cina di situ.

Sebelum ini belum sampai 48 jam diistyharkan menang, Kamalanthan telah menyampaikan cek RM1,000 kepada 30 bekas peneroka Felda Sungai Buaya yang tidak sempat menerimanya semasa kempen baru lalu.

Juga sebagai melunasi janji pilihan raya. Semasa kempen Najib berjanji akan memberi pampasan kepada bekas peneroka itu sebanyak RM50,000 tiap seorang. RM1,000 diberikan sebagai deposit. Yang lebihnya akan diberikan dalam bentuk bank deraf. (Diharap baki itu akan diterima peneroka dalam masa terdekat dan bukan ‘gombalan’ saja!).

Pelunasan hutang janji pilihan raya itu menunjukkan Najib bukan pembohong. Janjinya adalah janji berisi. Tentulah rakyat gembira dengan apa yang dilakukan itu. Rakyat tidak akan peduli apakah pemberian dan janji itu meyalahi peraturan atau tidak, yang penting mereka mendapat habuan. Rakyat hendak makan dan nak rasa, bukan rakyat nak dengar cerita. Rakyat tidak suka tenggelam dalam retorik.

Sekiranya Najib terus mengamalkan sikap sebegini ia boleh memberi kesan kepada Pakatan Rakyat, terutmanya orang Melayu yang mudah cair bila diberikan seringgit dua. Tetapi tidak dengan masyarakat Cina yang ambil tetapi akan mengigit jari orang yang memberi! Tak salah, kerana itulah politik! Sejak dulu lagi saya melihat politik orang Cina bijak tak macam politik orang Melayu. Apa yang berlaku mereka akan untung. Umpama naik perahu karam di depan mereka menyelam karam di belakang mereka berenang!

Berbicara bak melunasi janji atau memberi habuan ini, bukan saja rakyat di Hulu Selangor mendapat nikmat dan tuah dari Najib. Tetapi beberapa individu lain juga turut sama menerima habuah dan bahagian masing-masing. Najib kini sedang melunasi janji dan memberi penghormatan orang yang menyokongnya tanpa sangat mengira jasa mereka kepada nusa dan bangsa.

Apakah habuan itu kerana janji atas sesuatu yang dilakukan oleh individu ini atau individu ini yang menagihnya sebagai gaji atau upah, tak kisah. Yang penting selepas berlalu pilihan raya kecil Hulu Selangor Najib kini menyampai hadiah dan imbuhan.

Antara mereka yang mendapat ‘penghargaan’ dari Najib ialah Presiden Mubarak, Abu Zahar Ujang, yang dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Negara, Timbalan Presiden MIC, Palanivel dan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd Noor yang dilantik menjadi senator bersama dua yang lain.

Selalunya mereka yang dilantik menjadi senator adalah mereka yang cemerlang dari berbagai bidang profesional. Seorang tokoh yang berpengalaman dan ada kebolehan. Apakah keistimewaan orang-orang ini dilantik menjadi senator. Apakah ia bermeritkan kepada ketokohan mereka ataupun kerana apa?

Saya tidak mahu merendahkan mereka. Kesemuanya ada kelebihan dan kehebatan masing-masing. Tetapi jika hendak dilihat bukan saja mereka berempat atau bertiga yang hebat, tetapi masih banyak dalam Umno dan setia dengan Umno juga layak untuk menjadi ahli senet.

Malahan mereka yang lain lebih lama dan besar jasa mereka. Tetapi kenapa mereka?
Inilah yang menjadi pertanyaan atas dasar dan merit apa mereka dipilih? Penyegeraan perlantikan mereka ini juga menyebabkan ada tuduhan mereka telah berjasa besar kepada Najib dan bukan kepada negara, bangsa dan agama.

Perlantikan senetor adalah kuasa mutlak Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Beliau bebas untuk melantik sesiapa saja dan dari bidang apa saja. Perlantikan itu tidak boleh dipertikaikan, kerana itu kuasa prerogatif Najib sebagai PM. Tetapi begitu pun ia tentu ada meritnya.

Siapa dia Abu Zahar Ujang? Dan apakah jasa besar beliau kepada negara dan Najib dalam konteks ini? Sudah pasti ada sesuatu yang istimewa buat Najib untuk melantik Najib.

Saya akan mendedahkan satu perisitwa yang berlaku dua tahu lalu menjelang saat permilihan kepimpinan dalam Umno. Satu pertemuan di KLCC di pejabat Dr Mahathir Mohamad telah diadakan. Dalam pertemuan ini hadir beberapa bekas pemimpin Umno yang skeptikal dengan Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Pertemuan itu membincangkan mengenai cara untuk menjatuhkan Abdullah. Ia diadakan selepas Najib yang kelihatan penakut untuk mencabar kedudukan Abdullah sebagai perdana menteri. Perjumpaan itu telah mengambil konsensus untuk meregukan Tengku Razaleigh Hamzah untuk melawan rejim lemah Abdullah Ahmad Badawi. Tengku Razaliegh akan bertanding merebuat jawatan presiden manakala Muhyiddin, sebagai Timbalan Presiden.

Katanya, Abu Zahar mengetahui konsesus ini telah memaklumkan kepada Najib. Makluamt itu menyebabkan Najib gelabah dan tergesa-gesa memanggil ahli keluarganya dan juga penyokong setianya bagi membincang konsesnus itu. Selepas mendapat maklumat itu kata Najib telah mengubah sikap bersedia untuk mencabar Abdullah Badawi.

Walhasilnya apabila Najib menggerakkan jentera perang sarafnya akhirnya menyebabkan Abdullah Ahmad Badawi terpaksa membuat pengumuman berundur. Dengan itu juga konsesus untuk meregukan Tengku Razaleigh dengan Muhyiddin tidak menjadi.

Apakah kerana jasa itu maka Abu Zahar diberi penghormatan dengan melantiknya menjadi Yang Dipertua Dewan Negara? Kalau benar ini bermakna pemilihan Abu Zahar bukan kerana jasa dan kecemerlangannya sebagai seorang tokoh politik tetapi kecemerlangannya kerana telah menyelamatkan Najib Razak dari ditentang oleh Muhyiddin dan Tengku Razaleigh.

Bagaimana pula dengan perlantikan Ezam Mohd Noor? Apakah Ezam telah memberi jasa dan bantuan besar kepada Najib atau lebih besar dari Abu Zahar? Saya rasa tidak payah saya ulas panjang mengenai perlantikan Ezam ini. Ezam bukan saja pantas menjadi ahli parlimen atau ahli dewan negara, tetapi jauh dari itu. Bagi saya Ezam seorang yang mempunyai telent untuk jadi pemimpin di masa depan. Ia terserlah sejak menjadi pemimpin muda Keadilan lagi.

Apabila beliau keluar Keadilan dan menyertai Umno, beliau tidak habis-habis menyerang bekas bosnya. Ezam tidak sangat mengkritik dasar parti PKR yang disertainya, tetapi beliau membelasah Anwar Ibrahim. Di samping belasah Anwar beliau memuji Najib sebagai seorang yang bijak. Hanya dengan menggunakan kredik yang dibuat Anwar kononnya mengatakan Najib sebagai seorang bijak, Ezam menjadikan modal untuk memuji Najib.

Itulah jasa Ezam yang saya lihat sehingga beliau diangkat menjadi senator. Ertinya jasa dan kelebihan Ezam bukan pada yang lain tetapi pandai memuji dan mengkosmetikkan imej Najib. Ia ditambah dengan kritikan tidak henti-henti terhadap bekas bosnya. Mungkin atas ketrampilan itulah maka Ezam dikira Najib wajar berada di senat untuk terus mengguilap Najib sebagai seorang perdana menteri yang bijak. Kalau itulah dasar pemilihan Ezam ini bermakna Ezam akan menambahkan satu lagi rubber stam di dewan negara.

Pada saya, baik kepada Abu Zahar Ujang atau Ezam Mohd Noor, perlantikan mereka oleh perdana menteri adalah tepat. Stail politik negara ini, seseorang itu akan dikatakan hebat dan cemerlang seseorang mampu menggilap seseorang yang menjadi ketuanya. Dan ketuanya pula akan menjadi cerah mata untuk melihat orang-orang yang boleh menjaga maruah dirinya, kepentingan peribadinya, walaupun seseorang jasanya kepada agama dan negara masih belum sampai secupak.

Jadi kepada mana-mana orang dan individu yang ingin menjadi senator atau menteri, jangan tumpukan sangat berbuat jasa kepada agama dan negara, ia tidak akan dinilai untuk diangkat menjadi anggota senat, sebaliknya berlumbalah untuk berjasa kepada perdana dan membina kilang ampu yang besar dan lebih canggih. Sesiapa yang dapat menaikan imej perdana menteri ataupun menyelamatkan perdana menteri dari ditimpa musibah, mereka akan dinilai dan akan diberi habuah berupa pangkat dan jawatan serta merta

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.