Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memberi amaran keras dengan mengambil tindakan tegas terhadap ahlinya yang mengkritik kepimpinan parti dan Pakatan Rakyat (PR) tanpa asas dan bukti kukuh.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menegaskan, demi menjaga hubungan baik dalam PR, kepimpinan parti itu bertekad mengambil langkah tegas terhadap anggotanya yang melakukan salah laku disiplin tanpa mengira status, pangkat dan kedudukan.
“Dalam hubungan ini kepimpinan PKR bertekad mengambil langkah tegas terhadap mana-mana anggota parti yang melakukan salah laku disiplin.
“Tindakan ini diambil tanpa mengira status, pangkat dan kedudukan, justeru amalan disiplin yang kuat sahaja bakal menentukan parti terus kuat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini PKR mengambil tindakan merujuk tiga pemimpinnya kepada lembaga disiplin parti selepas tindak-tanduk mereka didapati tidak selari dengan disiplin parti.
Pemimpin berkenaan ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin kerana membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Parlimen Bayan Bayu dan Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti ekoran kritikan yang dibuat terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Selain itu, turut dirujuk ke Lembaga Disiplin parti adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim.
Beliau dirujuk ekoran lantang mengkritik parti yang dikatakan tidak mengambil tindakan tegas terhadap Zulkifli berhubung laporan polis yang dibuat ke atas Khalid.
Sehubungan dengan itu Saifuddin berkata, beliau telah menghantar surat kepada pemimpin-pemimpin berkenaan berhubung keputusan merujuk mereka kepada lembaga disiplin.
“Individu terbabit diminta memberikan kerjasama membantu proses ini dan parti memberi jaminan mereka akan akan diberi ruang untuk menyampaikan hujah dan pandangan masing-masing,” katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Machang itu berkata, walaupun PKR menyediakan platform untuk ahlinya menyuarakan pandangan, namun ia tidak bermakna ruang berkenaan menjadi tiket untuk membuat kritikan melampau terhadap individu-individu tertentu.
“PKR ingin mengulangi penegasan bahawa biarpun ruang berbeza pendapat terbuka luas, namun ia bukan suatu tiket untuk mana-mana anggota parti membuat serangan keras, melampau, keterlaluan dan dakwaan tanpa diiringi bukti terhadap pimpinan parti sendiri dan pimpinan Pakatan Rakyat sehingga membelakangkan adab dan disiplin parti,” katanya.
Saifuddin juga mengingatkan agar ahli-ahli parti sentiasa mematuhi prinsip perjuangan parti serta memelihara ikatan persefahaman seperti yang dipersetujui dalam Dasar Pakatan Rakyat.
“Saya ingin mengulangi adalah menjadi tanggungjawab dan tugas setiap pemimpin dan anggota parti untuk mendokong, mempertahan dan mengembangkan nilai-nilai dan prinsip perjuangan PKR dan perkara-perkara yang disepakati dalam Dasar Pakatan Rakyat.
“Sesungguhnya agenda reformasi parti adalah jauh lebih penting dipertahankan daripada memperjuangan faedah dan keuntungan yang bersifat sementara,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin juga membidas pihak media yang didakwanya memberi gambaran negatif terhadap parti itu.
“Lewat kebelakangan ini, sebahagian media gemar memberikan gambaran PKR semacam menghadapi kemelut dalaman.
“PR juga digambarkan berdepan krisis dalaman, hakikatnya gambaran ini amat tidak tepat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.