BERNAMA
PULAU PINANG: Kira-kira 8,000 pengguna di sekitar George Town terputus bekalan eletrik hari ini selepas kabel voltan tinggi bawah tanah Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Farlim, Ayer Itam ke Prangin Mall di sini mengalami kerosakan.
Pengurus Besar TNB Pulau Pinang, Abdul Aziz Jaafar berkata, gangguan bekalan eletrik akibat kerosakan pada kabel sepanjang lima kilometer itu berlaku sejak pukul 8 pagi ini.
"Kita terpaksa meminjam generator dari Kedah, Perak dan Kuala Lumpur bagi menyalurkan bekalan elektrik kepada pengguna ekoran belum dapat mengenal pasti kerosakan pada kabel yang terlibat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, seluruh kawasan George Town termasuk bangunan Komtar terjejas akibat kejadian itu dan sehingga pukul 2 petang ini, kira-kira 6,000 pengguna telah menerima bekalan elektrik dengan bantuan generator.
Abdul Aziz berkata, pihaknya menjangkakan semua kawasan yang terlibat akan pulih kira-kira pukul 9 malam ini.
"Kejadian ini adalah yang pertama berlaku dan satu pasukan khas TNB sedang giat mengesan kerosakan pada kabel berkenaan," katanya.
Abdul Aziz berkata, gangguan bekalan elektrik itu tidak melibatkan mana-mana kilang. Sebahagian besar yang terlibat adalah peniaga dan sehubungan itu TNB memohon maaf kepada pengguna yang terlibat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.