Sabtu, 2 Januari 2010

Bukan salah saya: Nazri

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak akan bertanggung jawab terhadap kegagalan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) hadir untuk pengundian meluluskan Bajet 2010, di persidangan Dewan Rakyat, 14 Disember lalu.

Katanya, tiada keperluan untuknya meletak jawatan seperti diminta Pergerakan Wanita UMNO kerana tidak bersalah terhadap insiden tersebut

"Bukan saya yang patut lepaskan jawatan, tetapi wakil-wakil rakyat yang tidak hadir (di Dewan Rakyat pada 14 Disember untuk pengundian meluluskan sesi bacaan ketiga Bajet 2010) perlu letak jawatan dan memohon maaf", kata kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kenyataan Pergerakan Wanita UMNO yang mendakwa beliau bertanggungjawab terhadap kegagalan wakil-wakil Barisan Nasional (BN) hadir ke sidang Dewan Rakyat pada hari itu menunjukkan mereka tidak faham bidang tugasnya.

"Tindakan mereka kurang bijak. Mereka tidak faham tugas saya sebagai individu bertanggungjawab terhadap Kerajaan dan bukannya parti. Sekiranya tidak faham, jangan bercakap dan bertindak seperti orang bodoh,” katanya

“Saya tidak bersalah dalam hal ini dan yang patut disarankan meletak jawatan bukannya saya, sebaliknya wakil rakyat yang tidak hadir di Parlimen, Itu adalah tanggungjawab mereka sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Jamelah A. Bakar, dalam kenyataannya kelmarin, meminta Nazri meletak jawatan ekoran kegagalan wakil rakyat BN hadir ke sidang Dewan Rakyat bagi meluluskan sesi bacaan kali ketiga Bajet 2010.

Mohamed Nazri berkata, jawatan Ketua Whip BN disandang oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Pengerusi BN.

Katanya, kesalahan tidak seharusnya diletakkan dibahunya, sedangkan wakil rakyat yang tidak hadir dan sesuka hati bercuti sewaktu sidang Dewan Rakyat berlangsung.

“Sekiranya saya yang bersalah dalam hal ini, pastinya pihak pembangkang terlebih dahulu menghentam saya, tidak perlu tunggu sehingga Wanita UMNO melakukannya, bekas Ketua Wanitanya (Tan Sri Rafidah Aziz, Ahli Parlimen Kuala Kangsar) juga tidak hadir,” katanya.

Ditanya adakah surat tunjuk sebab diberikan kepada wakil rakyat yang tidak hadir, Mohamed Nazri berkata, keputusan itu bergantung kepada Muhyiddin sebagai Ketua Whip.

Sebelum ini, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamalia Ibrahim, turut mendesaknya meletak jawatan kerana didakwa bertanggungjawab terhadap kes itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.