Sabtu, 2 Januari 2010

Baiki ruang kelemahan SPRM

SINAR HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA – Masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dalam memantapkan lagi peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencegah dan menangani masalah rasuah serta penyelewengan di negara ini, kata bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Katanya, SPRM pastinya akan sentiasa berusaha memperbaiki prestasi dan imejnya dimata masyarakat yang kini tercalar akibat beberapa insiden dan isu ‘panas’ melibatkan suruhanjaya itu yang berlaku sebelum ini.

Menurutnya, tumpuan juga akan diberikan untuk penambahbaikan indeks perkhidmatannya suruhanjaya itu sekali gus melenyapkan pelbagai tuduhan tidak berasas sesetengah pihak mengenai ketelusan dan etika kerja siasatan sesuatu kes.

“Kita banyak menerima banyak tuduhan yang bukan–bukan oleh beberapa pihak yang turut mempertikaikan tugas penyiasatan yang telah kita jalankan dalam usaha kita menyelesaikan sesuatu kes rasuah.

“Ini mungkin berlaku kerana mereka tidak faham dengan cara kita menjalankan tugas namun dalam masa sama melemparkan kita (SPRM) pelbagai tuduhan. Mereka sepatutnya memberi kerjasama bukannya bertindak melulu begitu,” katanya.

Beliau juga mengakui SPRM memerlukan kerjasama dari semua pihak termasuk masyarakat dan percaya sesuatu kes akan berjaya dan lebih mudah diselesaikan sekiranya semua pihak memberi kerjasama sebaiknya.

Ahmad Said berkata demikian ketika ditemui pada majlis perpisahan dan persaraan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang diadakan di Auditorium Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau telah menyerahkan Nota Serah Tugas kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM baru, Datuk Abu Kassim Mohamed yang memulakan tugas barunya secara rasmi hari ini. Abu Kassim adalah bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya bahagian Operasi SPRM.:

Sebelum itu, Ahmad Said pada ucapannya menyatakan beliau sedih apabila pegawai-pegawainya diperlekeh, diugut dan dihina sedangkan mereka berusaha menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya.

“Sekarang adalah masa bekerjasama menjayakan objektif suruhanjaya ini dalam pembanterasan rasuah serta meraih sokongan masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.