Oleh Sofi Wahab
Satu demi satu berita fitnah, tohmah dan bohong dihidangkan oleh media BN semata-mata untuk memburuk-buruk Pakatan Rakyat(PR) dan pimpinannyadi mata rakyat. Ianya tidak lain tidak bukan bertujuan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa PR adalah parti bermasalah, pimpinannya bermasalah dan perpaduan dalam PR juga bermasalah.
Sebab itulah berita-berita fitnah ini bertali arus tanpa dibuktikan fakta dan kesahihannya. Kini PR dan pimpinannya sibuk mempertahankan diri dari serangan fitnah yang tidak mengenal dosa dan pahala. Asal ada sedikit ruang dan maklumat yang mereka dapat maka ianya digunakan semahunya untuk 'menelanjangkan 'PR dan pimpinannya.
Seperti biasa pimpinan-pimpinan utama PR akan menjadi sasaran. Tentunya 'figure' seperti Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang, YAB Lim Guan Eng, YAB Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, YAB Dato Seri Azizan, YB Azmin Ali, YB Dato Haji Husam Musa dan lain-lain menjadi bahan tohmahan dan fitnah.
Pelbagai isu dan masalah diutarakan antaranya rasuah, kronisme, penyelewengan, tajaan, salah laku, penipuan, persengketaan, pertentangan pendapat dan lain-lain menjadi siulan media jahat ini
Seminggu dua Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Dato Husam Musa menjadi sasaran media. Bermula dengan kisah Pejabat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di'serang' 2 kali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merebak kepada isu kronisme yang didakwa dilakukan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz yang melantik menantu Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK. Arif dikaitkan dengan rasuah dan penyelewengan, namun sehingga kini tiada sebarang bukti untuk mendakwanya.
Tok Guru Nik Aziz atas sifat tawaddhuk dan zuhudnya meminta menantunya itu melepaskan jawatannya di PMBK. Suatu tindakan yang disifatkan amat berat untuk dilakukan oleh seseorang yang tidak punya prinsip. Berapa ramai pemimpin Umno/BN boleh melakukan perkara ini sebagaimana yang dilakukan oleh Tok Guru Nik Aziz. Boleh dibilang dengan jari, yang ramainya ialah mereka yang berlumba-lumba menggunakan kuasanya untuk meletakkan saudara-mara terdekat menduduki jawatan itu dan ini, mendapat projek besar dan kecil.
Ramai pemerhati dan ahli politik menyifatkan t9ndakan Tok Guru Nik Aziz ini mencerminkan keterbukaan dan integriti beliau. Sebagai Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan beliau menerima saranan dan pandangan parti dan pimpinan partinya.
Tok Guru sebagai Menteri Besar mempunyai kuasa untuk tidak menasihati Ariffahmi yang juga menantunya supaya tidak meletakkan jawatan. Namun oleh kerana sifat terbuka dan ikhlas beliau Tok Guru bersedia melakukan perkara tersebut.
Kalau pimpinan Umno/BN sudah tentu tidak akan tunduk kepada nasihat dan saranan orang bawahannya. Tetapi inilah sikap pemimpin PAS yang bersedia melakukan apa juga kebaikan hatta tindakan itu sukar dan memberikan yang tidak kurang besarnya.
Kini bersediakah pemimpin Umno/BN melakukan apa yang dilakukan oleh Tok Guru. Berani dan sanggupkah pemimpin Umno menasihatkan anak, adik, saudara dan kawan mereka meletakkan jawatan di mana-mana agensi kerajaan dan pejabat kerajaan yang ada kaitan dengan mereka. Kalau berani sila buat!
Tindakannya menutup mulut musuh-musuh PAS yang sentiasa mengintai peluang untuk menyerang dalam isu ini.
Tok Guru juga diserang dengan isu tajaan naik haji bersama keluarga beliau berjumlah RM65,000. Ruih rendah 1Malaysia membesar-besarkan isu ini, sedangkan pemimpin-pemimpin Umno berbelanja ratusan ribu malahan jutaan ringgit menaja perwakilan Umno pelbagai peringkat makan angin tidak pula dibisingkan. Tok Guru dikatakan mungkin akan terdorong melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa jika orang yang menaja meminta sesuatu.
Ada juga yang mendakwa kalau tidak ada apa-apa kepentingan takkanlah penaja sanggup menaja puluhan ribu ringgit untuk Tok Guru dan keluarga naik haji. Isu ini padam begitu sahaja apabila Tok Guru membatalkan hasratnya untuk menunaikan fardhu haji atas 'package' tajaan tersebut.
Minggu lalu orang kuat Tok Guru iaitu Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Haji Husam Musa pula diserang dan difitnah kononnya beliau akan meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri dan PAS. Ianya suatu laporan yang paling tidak bertanggungjawab. Husam dan Tok Guru Nik Aziz menafikan berita itu.
Husam menafikan laporan tersebut dalam kenyataan yang disiarkan melalui blog peribadinya cetusan-hati.blogspot.com. Husam berkata beliau mengambil cuti sakit untuk melakukan pembedahan kecil bukannya mengambil cuti sebelum meletakkan jawatan dalam kerajaan dan parti. Besar sungguh fitnah dan tohmah yang dilakukan oleh media pengampu ini.
Dalam blognya Husam menulis bahawa "Apa kena mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan? Letak semua pulak tu?
Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama? Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?
Tok Guru telah cuba dimalukan. Cuba dipinggirkan kerana pendiriannya yang tegas dan hasratnya yang jelas untuk membawa negara kita menuju perubahan.
Saya sebagai murid dan 'budak' Tok Guru, mengangkat bendera putih semata-mata kerana Utusan cuba mengagendakan kami?
Sakit adalah lumrah insan. Letak jawatan tidak boleh diikat dengan satu dua hari di hospital - maka ia bukti Husam letak jawatan.
Kepada teman dan rakan, sahabat dekat dan jauh, saya ucapkan terima kasih atas ingatan anda semua. Ustaz Aziz menalipon pagi hari dari Mekah kerana terbangun dari mimpi, saya hargai erti persahabatan.
Bolehkah media kita diajar erti kredibiliti? cetus Husam.
Dalam isu ini sepatutnya Utusan bukan sahaja menyiarkan penafian tersebut malah memohon maaf kepada Husam, Tok Guru Nik Aziz, pimpinan PAS, ahli PAS serta rakyat Kelantan kerana pemfitnah Husam dalam isu perletakkan jawatannya dalam kerajaan negeri dan parti.
Namun seperti biasa memohon maaf tiada dalam kamus hidup Utusan yang tugasnya hanya memfitnah, mentohmah, berbohong dan adu domba. Hanya Allah yang akan membalas semua kejahatan Utusan selagi fitnah tersebut terlekat pada kepala pembaca. Sebelum terlambat pohonlah kemaafan segera.
Selasa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyerang Tok Guru dengan menyatakan Mursyidul Am PAS itu sebagai tidak hala dalam membuat sesuatu keputusan dalam pentadbirannya. Muhyiddin berkata peletakan jawatan Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) mencerminkan ketidaktentuan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam membuat keputusan dan pendirian.
Muhyiddin Yassin juga berkata, Mursyidul Am Pas itu juga sering bersikap memilih dalam membuat keputusan yang berhubung kait kepentingan peribadinya. Tuduhan Muhyiddin ternyata tidak tepat kerana Tok Guru melantik Ir Ariffahmi atas dasar pengalaman dan kelayakannya bukannya atas dasar kepentingan peribadi. Malah Tok Guru bersedia pula mengarahkan menantunya itu meletakkan jawatan selepas beberapa isu kecil berkaitan dengan tuduhan tidak berasas pelbagai pihak.
Ramai pemerhati melihat serangan media kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Husam ini adalah senjata serampang dua mata BN. Pertama BN cuba memburuk-burukkan PAS dan kerajaan Kelantan di mata rakyat dan kedua mereka cuba mengalih tumpuan rakyat khasnya rakyat Kelantan dari terlalu memberi perhatian kepada isu royalti minyak Kelantan yang sedang hangat diperkatakan.
Kita semua sedar bahawa BN berada dalam keadaan tersepit dalam isu royalti minyak dan masalah dalaman MCA. Maka cara untuk mengalihkan tumpuan rakyat ialah membesar-besarkan isu kecil yang dikatakan sensasi.
Jadi sebagai rakyat yang bermaruah kita jangan mudah terpedaya dengan mainan media jahat dan menyesatkan ini.
http://mutaligat.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.