Jumaat, 27 November 2009

Teater Natrah sedia dipentaskan


Sesi latihan Teater Natrah di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - ''Kami sudah bersedia mementaskan Teater Natrah. Sudah tidak sabar menunggu Isnin ini.'' Itulah luahan pengarah Teater Natrah, Erma Fatima mengenai teater itu yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya di sini dari Isnin hingga 9 Disember ini.

Menurut Erma, komitmen setiap pelakon dilihat begitu baik sepanjang sesi latihan yang diadakan.

''Sudah dua hari kita menjalani latihan penuh di Panggung Sari.

''Semua pelakon menghayati watak yang diberi termasuk Maya Karin yang diberi tanggungjawab menghidupkan watak Natrah,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika sesi latihan di Istana Budaya malam tadi.

Sesi latihan itu turut disaksikan sendiri Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.

Teater Natrah dibintangi Maya Karin selaku Natrah ketika berusia 13 dan 20 tahun, Remy Ishak (Mansor Adabi), Umie Aida (Che Aminah), Sofia Jane (Natrah ketika berusia 70 tahun) dan Samantha Schubert (Adeline).

Natrah yang dibesarkan dalam tradisi Melayu Islam di Kemaman, Terengganu pernah menjadi tumpuan negara. Semuanya akibat konflik pertembungan budaya dan agama yang klimaks kisahnya berlaku pada Disember 1950.

Kisah gadis yang dilahirkan dengan nama Bertha Hertogh dalam keluarga askar Belanda di Indonesia itu 'bermula' apabila bapanya ditawan tentera Jepun pada Disember 1942.

Ibu dan neneknya yang dihimpit kemiskinan hidup mengambil keputusan meninggalkan Indonesia untuk kembali ke Belanda.

Bertha yang ketika itu berusia lima tahun diserahkan kepada Che Aminah Mohamad yang membawanya pulang ke Kemaman.

Sejak itu, beliau dibesarkan dalam keluarga Melayu Islam sehinggalah Natrah 'ditemui' semula oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu pada September 1949.

Sejak penemuan itu, bermulalah kepahitan hidup Natrah.

Mengulas lanjut, Erma berkata, pementasan Natrah akan berlangsung selama dua jam dengan diselitkan tujuh lagu.

''Selain pelakon utama, Natrah turut dibarisi hampir 100 pelakon termasuk pelakon kanak-kanak,'' ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Juhari berkata, jualan tiket untuk menyaksikan teater Natrah mendapat sambutan menggalakkan dengan persembahan malam pertama dan hujung minggu sudah habis terjual.

Katanya, pihak Istana Budaya turut mengundang wakil Esplanade, Singapura menyaksikan pementasan Natrah.

''Kami berharap mereka akan dapat menilai pementasan ini dan membawanya ke Singapura nanti,'' jelasnya.

Kumpulan Utusan sekali lagi diberi kepercayaan oleh Istana Budaya untuk bertindak selaku media rasmi.

Tiket-tiket berharga RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150 kini sudah mula dijual.

Pertanyaan mengenai tiket dan pementasan boleh hubungi Box Office (03-40265558) atau www.istanabudaya.gov.my.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.