UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Dianggarkan lima juta orang akan menonton episod terakhir drama bersiri Nur Kasih malam esok. Drama bersiri yang mencetus fenomena baru di kalangan penonton televisyen di negara ini akan menutup tirai selepas disiarkan sebanyak 26 episod sejak 29 Mei lalu.
Ketika ditayangkan minggu lepas, Nur Kasih mencatat jumlah penonton paling tinggi dalam sejarah iaitu 3.9 juta penonton,
Rating yang dicatatkan itu sekali gus meletakkan Nur Kasih sebagai drama bersiri paling popular dan paling ramai ditonton ketika ini.
Menerusi kajian yang dikeluarkan oleh AGB Nielsen Media Research, sebanyak 3.9 juta penonton mewakili 53.9 peratus penonton televisyen di Malaysia memilih untuk menonton Nur Kasih setiap kali ia ditayangkan pada hari Jumaat pukul 9 malam.
Nur Kasih juga mencatat rekod tersendiri apabila ia turut diulang siarannya tanpa iklan dengan jumlah penonton mencecah dua juta setiap kali ditayangkan pada pukul 7.30 malam setiap hari Selasa hingga Jumaat.
Drama arahan Khabir Bhatia itu mendapat sambutan luar biasa kerana penghasilan skrip, jalan cerita selain teknik sinematografi yang cukup kreatif.
Menurut Pengurus Besar Jenama TV3, Nurul Abu Bakar, faktor utama yang mendorong kepada kejayaan Nur Kasih terletak pada jalan cerita yang menarik serta disokong oleh pelakon dan pengarah yang hebat.
Sehubungan itu, untuk episod terakhir malam esok, stesen berkenaan menyasarkan jumlah penonton yang lebih tinggi berikutan esok merupakan hari cuti umum Aidiladha.
''Episod terakhir Nur Kasih menjanjikan tayangan yang akan lebih meruntun jiwa dan perasaan penonton dan sekali gus menjawab tanda tanya kisah cinta tiga segi antara Nur dengan Adam dan Aidil,'' kata Nurul dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Nur Kasih merupakan drama bersiri yang sarat dengan kisah cinta lakonan aktor muda Remy Ishak, Fizz Fairuz, Tiz Zaqyah, Ummi Nazeera dan Sharifah Sofia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.