Reuters/AP
PENDUDUK terperangkap dalam banjir yang melanda Jeddah. Jurucakap Arab Saudi berkata, pada 26 November lalu, 77 orang terkorban dalam tragedi banjir yang melanda Jeddah dan persekitaran, ramai lagi yang menghilang. Kebanyakan mereka yang terkorban terperangkap dalam kenderaan dan bas. - Foto AFP |
Kebanyakan maut nahas, jambatan runtuh
DUBAI: Angka kematian berikutan banjir kilat melanda bandar pelabuhan Jeddah minggu lalu dilaporkan meningkat kepada 106 orang manakala 1,400 mangsa yang lain diselamatkan pihak berkuasa.
Banjir melanda pelabuhan berhampiran Laut Merah itu Rabu lalu selepas hujan lebat melanda Arab Saudi yang disifatkan paling lebat dalam tempoh beberapa tahun.
Kebanyakan mangsa mati akibat lemas atau terbunuh berikutan jambatan runtuh dan kemalangan kereta.
Bagaimanapun mereka yang terkorban tidak membabitkan jemaah yang menunaikan haji di Makkah kira-kira 80 km dari Jeddah.
Jeddah adalah pintu masuk utama bagi jemaah haji menunaikan ibadat tahunan berkenaan di negara terbabit.
Akhbar berulang kali menyiarkan laporan mengenai keadaan perairan yang lemah di bandar raya itu menjadi punca kepada masalah terbabit.
Sementara itu di MINA, hampir tiga juta jemaah haji meneruskan melontar jamrah semalam sebelum bergerak ke Makkah hari ini.
Setakat ini, penularan penyakit selesema babi (H1N1) pada perhimpunan besar membabitkan jemaah dari lebih 100 negara itu agak terkawal.
Hanya, 73 kes selesema babi di kalangan jemaah dikesan tetapi pegawai kesihatan memberi amaran virus itu mungkin secara senyap menular di kalangan jemaah dan hanya akan diketahui ketika mereka pulang ke negara masing-masing.
Pegawai Arab Saudi, bersama pakar kesihatan Amerika Syarikat dan antarabangsa berusaha mengehadkan penularan virus H1N1 pada musim haji tahun ini.
Menteri Kesihatan Arab Saudi, Abdullah al-Rabeeah, berkata lima orang terkorban akibat virus H1N1 pada musim haji ini.
Beliau berkata, hanya 10 peratus daripada tiga juta jemaah haji didapati menerima suntikan vaksin sebelum berangkat menunaikan ibadat itu, walaupun peringatan diberi mengenai perkara itu.
Pakar kesihatan akan menggunakan pengalaman musim haji tahun ini untuk mengawal penularan selesema itu pada perhimpunan lain seperti pertandingan bola sepak Piala Dunia tahun depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.