BERNAMA
JUTAAN Umat Islam sedang mengerjakan Haji di Makkah memenuhi tuntutan Rukun Islam kelima. |
Sebab kematian tiada kaitan dengan H1N1
MAKKAH: Seramai 20 jemaah haji Malaysia meninggal dunia pada musim haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, semalam.
Beliau berkata, jemaah yang meninggal dunia itu disebabkan oleh sakit biasa seperti sakit tua dan bukannya disebabkan oleh jangkitan penyakit berjangkit seperti selsema babi (H1N1).
"Mereka yang meninggal dunia itu ialah 16 lelaki dan empat perempuan yang rata-rata berusia 50 tahun ke atas.
"Jemaah haji Malaysia tiba di Tanah Suci sejak 20 Oktober lalu," katanya kepada petugas media Tabung Haji di sini.
Selain itu, Jamil Khir juga berkata empat jemaah haji Malaysia yang sedang menerima rawatan di hospital Arab tidak dapat dibawa ke Arafah pada Khamis kerana berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Bagaimanapun, katanya lebih 20 pesakit yang dirawat di hospital Tabung Haji di Aziziah dan Sisya dibawa ke Arafah oleh petugas perubatan Tabung Haji dengan ambulans.
Mengenai perkembangan jemaah haji Malaysia, beliau berkata mereka masih berada di Mina dan kebanyakannya telahpun selesai menjalankan ibadah melontar Jamrah dan mereka akan kembali semula ke Makkah untuk mengerjakan tawaf dan sae haji sehari dua lagi.
Menurutnya, bagi jemaah haji yang belum berkesempatan untuk pergi ke Madinah, Tabung Haji akan menguruskan pemergian mereka ke sana setelah semua ibadah haji selesai dilakukan.
Secara keseluruhan, beliau berpuashati dengan operasi musim haji tahun ini yang berjalan lancar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.