Sabtu, 29 Ogos 2009

Tujuh Projek Bermasalah

Wan Kay & SM Noor


KUALA TERENGGANU – Sidang DUN pada 25 dan 26 Ogos lalu telah didedahkan, sekurang-kurangnya sebanyak tujuh projek kemudahan awam, bangunan serta mercu tanda kerajaan negeri Terengganu bermasalah. Pendedahan tersebut dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad.

ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut.

Katanya, antara senarai bangunan, kemudahan awam serta mercu tanda kerajaan negeri yang rosak, bocor, mendap dan runtuh sebanyak tujuh projek.

“Antaranya, Dewan Sek. Men. Bukit Besi, Dungun. Dewan Sek.Men. Wakaf Tapai yang struktur bumbung runtuh. Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin juga bumbungnya runtuh pada 2 Julai 2009.

“Stadium Tertutup di Kompleks Gong Badak juga masih dalam proses baik pulih. Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Seberang Takir mengalami masalah siling runtuh.

“Pusat Akuatik Kolam Renang di Batu Burok, Kuala Terengganu masalah kebocoran dan diarah tutup serta Taman Tamadun Islam (TTI) masih dalam kerja-kerja pembaikian,” jelasnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedua Belas Penggal Kedua di Wisma Darul Iman, 25 hingga 26 Ogos 2009, lalu.

Namun begitu, katanya jangkaan kos baik pulih bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh sahaja menelan belanja RM35 juta.

“Kos baik pulih Stadium Sultan Mizan yang bumbung runtuh itu dianggarkan RM35 juta yang ditanggung oleh pihak kontraktor terlibat,” ujarnya. (Gambar kanan - bubung SMK Wakaf Tapai yang runtuh)

Namun begitu, apabila diminta penjelasan sebab dan punca banyak projek-projek di Terengganu yang rosak, runtuh dan tumbang Exco Kerajaan Negeri tersebut menjawab sambil lewa sahaja.

Katanya, telah menjadi lumrah alam kerana pembangunan tersebut perbuatan manusia yang tidak sempurna.

“Macam orang juga sakit perut, sakit kepala. Kita ingat sakit itu sahaja rupa-rupanya mati bila sudah sampai masanya.

“Begitu juga dengan pembangunan ini perbuatan manusia. Bila perbuatan manusia tidak ada yang sempurna. Itu telah menjadi lumrah alam. Itulah keadaannya yang boleh saya beritahu,” ujarnya(Gambar kiri - Pusat Akuatik yang ditutup kerana pembinaan tidak mengikut spesifikasi) .

Sehubungan itu, Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang tidak berpuas hati menyifatkan jawapan Exco Kerajaan Negeri berkenaan tidak ada ‘standard’.

“Maaf saya katakana Exco jawab ‘tak dak’ (tidak ada) standard. Kita (wakil rakyat) bercakap soal yang serius tentang apa yang berlaku di negeri Terengganu.

“Saya minta Exco kita (kerajaan) jawab secara berhemah dan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku dan jika kita (wakil rakyat) bercakap ‘lepas-lepas’ sahaja baik kita jangan duduk dalam dewan ini,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.