Oleh Nazura Ngah
KUALA LUMPUR: Tindakan memecat Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dianggap keterlaluan kerana membelakangi kehendak perwakilan yang memilih beliau untuk menyandang jawatan nombor dua parti pada pemilihan parti, Oktober lalu.
Malah kejayaan mengetepikan tiga pencabar iaitu bekas Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan; bekas Naib Presiden, Datuk Donald Lim Siang Chai dan Lee Hack Teik membuktikan kewibawaan Dr Chua tidak terjejas walaupun berdepan dengan skandal seks pada 2007.
Pengerusi MCA Bandar Tun Razak, Datuk Tan Chai Ho, berkata hukuman yang dikenakan ke atas Dr Chua menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong Pengerusi MCA Batu Pahat itu terutama perwakilan yang mengundinya kerana ia dianggap terlalu berat.
“Hukuman dikenakan terhadap Dr Chua dianggap terlebih dan ramai yang tidak puas hati kerana kes DVD seks bukan isu baru, sebaliknya ia sudah terlalu lama, kenapa baru sekarang hukuman itu dilaksanakan, kenapa tidak dibuat sebelum pemilihan parti.
“Perwakilan sudah memilih Dr Chua sebagai Timbalan Presiden, ini bermakna perwakilan tidak menjadikan kes itu sebagai alasan untuk tidak memilih beliau,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya, walaupun pemecatan itu dibuat sebulat suara oleh ahli Lembaga Disiplin parti, pucuk pimpinan atau Majlis Presiden tidak boleh sewenang-wenangnya memecat Dr Chua, sekali gus membelakangi kehendak perwakilan.
Sementara itu, Lim yang juga bekas Naib Presiden berharap mesyuarat agung luar biasa (EGM) akan dapat menyelesaikan kemelut antara dua penyokong, sekali gus dapat menjernihkan semula suasana politik dalam MCA.
“Memang sekarang sudah sampai ke tahap mengelirukan tetapi buat masa ini saya tidak mahu mengambil pendirian, sebaliknya saya nak tengok dulu keadaan macam mana,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.