Ahad, 26 Julai 2009

Tindakan ratusan polis halang ceramah ISA dikesali

Mohd Sabri Said


PERMATANG PAUH - Ceramah Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan Padang Awam Taman Guar Perahu, Penanti semalam dihalang ratusan pasukan keselamatan tanpa sebarang alasan kukuh.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah dalam kenyataannya pada Harakahdaily menambah, kedatangan pasukan keselamatan itu memang diduga kerana permohonan untuk mendapatkan permit tidak diperdulikan bahkan sengaja memberi jawapan lewat dengan harapan menyusahkan pihak penganjur.

Walaupun ceramah di padang awam dibatalkan namun penganjur berjaya mengadakan ceramah berkenaan di rumah ahli PAS berhampiran padang berkenaan.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang telah mengantar permohonan tetapi tidak mendapat jawapan sehinggalah dua hari lepas pihak keselamatan memanggil dan memberitahu permit tidak boleh dikeluarkan atas alasan orang atasan, " jelasnya.

Harakahdaily yang berada dilokasi mendapati pasukan polis dan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dikejarkan ke situ sejak Maghrib tambahan lagi anggota tidak beruniform berada sejak petang lagi.

Enam buah trak termasuk sebuah 'water cannon' turut diarahkan ke situ bagi menghalang sekiranya penganjur meneruskan aktiviti mengajak rakyat ke Perhimpunan Mansuhkan ISA di Kuala Lumpur pada 1 Ogos ini.

Selepas perbincangan dengan pihak polis akhirnya mereka membenarkan ceramah berkenaan diadakan di kawasan rumah yang sempit. - mks._

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.