LanH
Akhbar Siasah keluaran terbaru (26 Julai - 1 Ogos 2009) memetik Perdana Menteri ke-5, Dato' Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dalam ruangan 'Cakap-Cakap Pemimpin' dengan tajuk 'Mansuhkan ISA' sebagai berkata: "ISA sebagai suatu akta sudah dicemari dengan stigma sebagai unsur negatif kepada agenda pemerkasaan demokrasi negara dan untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani untuk melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru dalam melakukan perubahan seumpamanya seperti memansuhkan ISA.
"ISA memberi kuasa yang besar serta skop yang mungkin terlalu luas untuk pihak berkuasa menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan."
Apa diperkatakan Pak Lah begitu mempesonakan. Betulkah ini Pak Lah? Saya tidak mahu membuat apa-apa komentar sebaliknya menyiarkan kembali tulisan lama saya di ruangan ini, bertarikh Jumaat, 5 Oktober 2005 (ketika Pak Lah masih berkuasa) dengan tajuk 'Pak Lah, isteri beraya; tahanan ISA sekeluarga merana'. Sila lihat http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=10163&Itemid=76
Pak Lah dan isteri beraya, tahanan ISA dan keluarga terus derita, bebaskan mereka, kembalikan ke pangkuan keluarga.
Pak Lah and wife celebrate Hari Raya, ISA detainees and family suffer. Release them now, return them to their families.
Tulisan di dua kain pemidang putih yang dipamer aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di pekarangan OCBC berhampiran Stesen LRT dan Masjid Jamek, jam 12:00-12:30 tengah hari Jumaat, 5 Oktober, cukup untuk menceritakan kisah derita mangsa dan keluarga tahanan ISA.
Panas terik mentari tidak memadamkan semangat kira-kira 10 aktivis lelaki dan perempuan berdiri gagah mempamerkan kain rentang dan sepanduk kepada ratusan warga kota yang berpusu-pusu menuju masjid dan keluar beramai-ramai pada waktu rehat tengah hari.
Sebahagian besar, melihat sepintas lalu, mengangkat kaki dan pergi. Ada pemandu, membunyikan hon tanda simpati.
Kebanyakannya tidak mengerti, tetapi bagi yang terbabit, derita dan kesedihan ditanggung berpanjangan, sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Ramadan hanya berbaki kurang seminggu, anak isteri masih mengharap kepulangan insan tercinta, nun berada di Kamunting sana. Debaran anak-anak menunggu raya kian memuncak, mengharapkan belaian dan pelukan abah di pagi mulia, tetapi dari sehari ke sehari, harapan itu kian tipis, bertukar hampa.
Tergenanglah air mata, tatkala tabir bergema 'Allahhu Akhbar, Allahhu Akbar, Allahhu Akbar walillah ilhamd'. Si ibu pasti kehilangan punca, sukar mengawal perasaan dan keadaan. Maka berpeluk-pelukanlah anak beranak itu 'apakan daya, musnah segala harapan'.
Namun khutbah Jumaat dan ceramah sebelum Jumaat di Masjid Jamek pada tengah hari itu, bagaikan siraman air dingin, menyirami hati-hati lara dan mengetuk pintu hati insan yang bersimpati. Perbanyakkan doa terutama pada 10 hari terakhir Ramadan, Yang Maha Kuasa tidak menghampakannya. Doa insan dizalimi amat mustajab, tiada hijab untuk dimakbulkan Rabbul Jalil.
Pada akhir perhimpunan anjuran GMI itu, alangkah sejuk hati melihat seorang anak muda, bersih mukanya, tiba-tiba muncul di depan perhimpunan, mengetuai bacaan doa; doa daripada orang dizalimi, doa untuk sejahteraan seluruh rakyat agar bebas daripada belenggu dan rantai besi ciptaan manusia.
Jika iblis dan syaitan dibelenggu pada Ramadan mulia, rantai dan jeriji bikinan manusia makin kejap. Ramadankah, Syawalkah, mereka tidak kenal itu semua. Yang penting, aku sentiasa berada di takhta kuasa, di puncak singgahsana.
Tatkala bergegas ke Masjid Jamek untuk solat Jumaat, terdengar seseorang berkata: "Kalau undang-undang manusia pun orang berkuasa tidak takut dan patuhi, apatah lagi undang-undang Tuhan."
Demikianlah betapa manusia begitu zalim pada diri sendiri. Sesudah zalim pada diri sendiri, mereka menzalimi orang lain pula.
Mereka mengurung, memenjarakan sesama insan tanpa ada niat menghadapkan tertuduh ke muka pengadilan.
Pak Lah dan isteri berhari raya; tahanan ISA dan keluarga terus derita (Pak Lah and wife celebrate Hari Raya; ISA detainees and families suffer).
Demikian dua perbandingan ketara; tetapi hidup bukankah bagai roda? Detik ini kita gembira tak terkata, sesaat kemudian kita duka nestapa. Kubur di sana terngangga, menunggu kita.
Jika gembira dan tawa itu milik manusia, di manakah kini orang-orang termana seperti Firaun, Hamman, Julius Ceaser? Atau untuk lebih dekat di mata, di mana kini Saddam Hussein yang sentiasa tertawa dalam portret keluarga? Atau Suharto? Atau Bush laknatullah yang hampir menyamai watak Nero, si maharaja gila yang membakar kota Rom? _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.