Zuharman MN
Usahlah ditanya mana lagi baki sebanyak RM2,500 dan RM2,000 itu. Mimpi bila ia akan dilunaspun mungkin meleset atau sia-sia. Memang itu sudah menjadi tradisi budaya di dalam Umno.
Demikian realiti terpaksa dihadapi dua pemilik rumah yang diberi sewa kepada petugas Umno sepanjang tempoh pilihan raya kecil (PRK) Dun Manek Urai pada 14 Julai lalu sebagaimana dilaporkan.
Seorang dijanjikan dengan bayaran RM3,000 tetapi dibayar cuma RM500, dan yang seorang lagi dijanji RM4,000 namun RM2,000 sahaja dibayarnya.
Sekarang musim itu sudah berlalu, malah terlalu pantas meninggalkan kampung ditumpangnya. Malangnya penyewa pergi tanpa pamit menjadikan pemiliknya sebagai mangsa kepentingan satu pihak.
Lalu tiada ungkapan paling sesuai melainkan anggaplah ia satu pengajaran dan pengalaman terakhir dengan harapan tidak akan berulang buat kali kedua pada pilihan raya akan datang.
Kepada siapa yang sudah melalui atau mengenali, barangkali bukan sesuatu yang aneh baginya. Kepalsuan seumpama ini bukan pertama kali di Manek Urai. Malahan coretan sebegini berlaku di mana-mana setiap kali berakhirnya pilihan raya.
Persoalannya, antara Umno yang bertungkus lumus menghambat kemenangan setelah menolak pertandingan di Penanti dulu, semua jentera yang dikerah untuk membantunya dan pemilik rumah disewanya itu sendiri, siapa yang perlu dipersalahkan?
Apapun, logik segalanya bermula daripada Umno yang mengharap solidariti sekurang-kurangnya 65 peratus pengundi Melayu terpengaruh dengan retoriknya untuk memenuhi kemenangannya Umno sanggup melakukan apa saja.
Jadi amat mustahil kalau para jenteranya bertanggungjawab dalam perkara ini. Dan pemilik rumah berkenaan sudah semestinya beranggapan rugi jika menolak durian runtuh tidak selalunya berlaku.
Sikap menyusahkan orang mencerminkan tariqat Umno tersasar jauh dari syariat. Khianatnya umpama haruan sanggup memakan anaknya sendiri. Lakaran janji Umno menggamit kedukaan penduduk Manek Urai. Bukan sebaliknya. Lebih-lebih lagi apabila terpaksa pulang bersama manek yang terburai. Bukan mengurai.
Sesekali terfikir tidak ada faedahnya untuk terus dimusykilkan. Kalau sebuah kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak mereka boleh menganiayainya bersama satu kekejaman atau kezaliman maka terlalu nipis sangatlah kepada penduduk di Manek Urai.
Namun sebaliknya, sampai bila harus dibiarkan penyangak seperti ini terus bermaharajalela mengambil kesempatan terhadap rakyat di bawah naungannya sendiri melalui kerakusan autoritinya sekian lama.
Tidak hairanlah kalau di luar sana bertubi-tubi rakyat membicarakan munafik adalah perkara mainan bagi Umno. Amalan sebegitu telah sebati bersama jiwanya. Kerana itu selagi Umno tidak direbahkan selagi itu munafik terus berleluasa di dalam negara.
Apa tidaknya, jika jutaaan ringgit mereka sanggup laburkan demi mencari kemenangan di Manek Urai, sehingga satu keluarga pengundi diumpan sampai RM5,000, tetapi separuh janji sewa rumah dengan orang kampung bagi menempatkan petugas yang bekerja untuk memenangkannya dinafikan begitu sahaja.
Kalau janji sewa rumah yang bernilai kecilpun dimungkiri, bagaimana dengan janji projek mega mereka untuk Manek Urai? Orang ramai tetap, malah sentiasa menanti kenyataan itu.
Tan Sri Muhyidin, Yang Berhormat Khairy Jamaludin, Ahmad Maslan dan ramai lagi tonggak pejuang Umno di PRK Manek Urai diharap tidak terhambat dengan waktu bagi menjadikan pisau toreh sebagai sebuah nostalgia untuk melunas segala janji-janjinya walaupun tewas.
Dan rakyat Manek Urai tidak terus termanggu, menghitung segala janji-janji itu. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.